Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Undang-undang benarkan penahanan tanpa bicara dilanjut lagi lima tahun

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Undang-undang benarkan penahanan tanpa bicara dilanjut lagi lima tahun

Akta diguna dalam kes saksi enggan beri keterangan kerana takut tindak balas sindiket, kumpulan kongsi gelap
Apr 03, 2024 | 08:21 PM



Parlimen pada 3 April meluluskan langkah melanjutkan undang-undang yang membolehkan pemerintah menahan seseorang tanpa bicara berhubung dakwaan yang ada kaitan dengan sindiket dan kongsi gelap.

Buat kali ke-15, Akta Undang-Undang Jenayah (Peruntukan Sementara) (CLTPA) akan dilanjutkan selama lima tahun lagi, mulai 21 Oktober 2024.

Kali akhir ia dilanjutkan oleh Parlimen ialah pada 21 Oktober 2019.

Dikenali sebagai Seksyen 55, ia membolehkan Menteri Ehwal Dalam Negeri menahan atau meletakkan seseorang yang dikaitkan dengan jenayah di bawah pengawasan polis atas sebab keselamatan.

Selain kongsi gelap, ia sekarang meliputi juga pinjaman wang tanpa lesen, pengedaran dadah, penculikan dan jenayah terancang.

Undang-undang itu telah digunakan dalam kes apabila saksi enggan memberi keterangan kerana takut akan tindakan balas daripada sindiket atau kumpulan kongsi gelap.

“CLTPA telah menjadi undang-undang penting bagi pihak berkuasa Singapura untuk menangani kegiatan jenayah berat yang mengancam keselamatan di Singapura, khususnya kegiatan kumpulan samseng dan kongsi gelap,” kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Parlimen.

Meskipun akta tersebut memberi pemerintah Singapura kuasa menangani masalah itu dengan berkesan, Dr Faishal berkata kumpulan kongsi gelap dan kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam perbuatan jenayah, termasuk pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia, terus menjadi ancaman besar kepada masyarakat di seluruh dunia.

Beliau menambah bahawa disebabkan cara kumpulan samseng beroperasi, ugutan saksi dalam perbicaraan kumpulan samseng adalah kebimbangan serius bagi kebanyakan bidang kuasa, termasuk di Singapura.

Kumpulan kongsi gelap telah beralih kepada teknologi dan laman rangkaian sosial seperti X, Instagram dan Facebook untuk menakut-nakutkan saksi, menyebabkan beberapa saksi menarik diri daripada memberi keterangan, dan disebabkan itu, perbicaraan terpaksa ditangguhkan.

“Pada hakikatnya perkara ini mustahil untuk diukur, kerana ugutan saksi sering tidak dilaporkan,” kata Dr Faishal.

Beliau menambah bahawa masih terdapat kumpulan kongsi gelap yang aktif di Singapura, walaupun tidak dalam jumlah dan skala seperti di negara lain.

Bagaimanapun, mereka masih menjadi ancaman kepada undang-undang dan ketenteraman, keselamatan dan keselamatan awam, merekrut rakyat Singapura yang masih muda dan terlibat dalam kegiatan haram dan kelakuan keganasan.

“Itulah sebabnya kita mesti terus mengetatkan kawalan terhadap mereka,” ujar Dr Faishal.

Anggota Parlimen (AP) pembangkang daripada Parti Pekerja (WP) menyertai Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam mengundi untuk melanjutkan undang-undang ini.

Ini merupakan satu peralihan daripada pendirian WP pada 2018 apabila ia mengundi menentang pelanjutan dan pindaan lain akta tersebut.

Semasa berucap, Encik Dennis Tan (Hougang), yang merupakan antara tujuh AP yang mengemukakan hujah mereka terhadap rang undang-undang itu, menekankan kebimbangan terhadap pelanjutan akta sementara ini, yang membenarkan perintah penahanan dan pengawasan tanpa prosiding undang-undang tradisional.

“Bagaimanapun, kali ini kami amat berhati-hati dalam menyokong cadangan lanjutan lima tahun ini, tertakluk pada penjelasan pemerintah mengenai penggunaan CLTPA oleh pihak berkuasa sepanjang lima tahun lalu dan kewajaran bagi pelanjutannya selama lima tahun lagi,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >