Pemansuhan undang-undang Singapura yang pernah menjenayahkan hubungan seks antara lelaki adalah contoh mengapa kedaulatan undang-undang tidak boleh dianggap sebagai hasil usaha yang telah selesai.

Ia perlu berubah seiring evolusi nilai serta keadaan masyarakat, kata Ketua Hakim Negara, Encik Sundaresh Menon pada 2 September.

Seksyen 377A Kanun Keseksaan mencerminkan norma sosial yang berlaku pada era yang terdahulu.

Pemansuhannya menunjukkan bahawa kedaulatan undang-undang perlu berubah untuk menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan masyarakat, walaupun prinsip asasnya kekal, katanya.

Beliau berucap pada satu dialog selepas menyampaikan Kuliah Undang-Undang Dua Abad Universiti Nasional Singapura (NUS) mengenai Kedaulatan Undang-Undang di Dewan Kolej Yale-NUS.

Dalam kuliah selama sejam itu, beliau membincangkan bagaimana kedaulatan undang-undang telah memainkan peranan penting dalam kestabilan dan pembangunan Singapura sejak zaman Sir Stamford Raffles.

Ia dicapai menerusi jaminan bahawa undang-undang menghasilkan kepastian, keadilan dan kesaksamaan di samping responsif terhadap keadaan politik, sosial dan sejarah yang melingkunginya.

Cabaran terhadap Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan pemansuhannya akhirnya menggambarkan perkara itu, katanya pada dialog yang menyusul.

Undang-undang itu dimansuhkan secara rasmi oleh pemerintah pada Januari 2023, selepas Mahkamah Rayuan memutuskan pada Februari 2022 bahawa ia tidak boleh dikuatkuasakan secara keseluruhan.

Dalam penghakimannya, mahkamah tertinggi itu turut menyatakan bahawa undang-undang tersebut berkemungkinan melanggar Perkara 12 Perlembagaan — peruntukan perlindungan sama rata — sekiranya pendekatan tertentu digunakan untuk menilainya. 

Membincangkan kes itu semasa dialog, Hakim Menon berkata kedaulatan undang-undang telah menyediakan rangka kerja bagi kebebasan yang teratur, di mana kebimbangan pelbagai kumpulan mengenai Seksyen 377A dapat ditangani.

Pelbagai cabang pemerintah turut memainkan peranan masing-masing yang membawa kepada pemansuhannya.

Memandangkan banyak isu yang dibangkitkan bersifat politik, sosial dan moral — seperti sama ada undang-undang itu patut dimansuhkan dan sama ada hubungan sejenis itu bermoral atau tidak — ia bukan persoalan yang perlu diputuskan oleh mahkamah, katanya.

Sebaliknya, mahkamah memberi tumpuan kepada persoalan undang-undang mengenai sama ada pendakwaan di bawah undang-undang itu dibenarkan, memandangkan janji pemerintah sebelum 2023 untuk mengekalkan undang-undang itu tanpa menguatkuasakannya secara proaktif, katanya.

Namun, keputusan mahkamah untuk tidak campur tangan dalam persoalan politik mengundang kritikan sesetengah pihak yang berpendapat mahkamah seharusnya memainkan peranan lebih besar, tambahnya.

Hakim Menon berkata adalah penting untuk membenarkan setiap cabang pemerintah beroperasi sepenuhnya dalam bidang dan skop masing-masing.

“Jika anda gagal berbuat demikian, ia boleh mengakibatkan kemudaratan, kerana perubahan yang dipaksakan hasil kemenangan kehakiman boleh menyebabkan kumpulan yang kalah berasa terpinggir dan disisihkan, dan ini pula boleh menjejaskan legitimasi sesuatu perjuangan, yang akhirnya boleh menjadi ancaman asas kepada kedaulatan undang-undang,” katanya.

Selepas penghakiman mahkamah tertinggi itu, pemerintah, sebagai cabang politik, kemudiannya mengadakan rundingan meluas sebelum akhirnya memansuhkan undang-undang itu, jelasnya.

“Persoalan seperti ini — persoalan politik, persoalan sosial, persoalan moral — sebaiknya diserahkan kepada ranah politik, di mana masyarakat dan pelbagai kumpulan dapat mencapai konsensus serta mencari kompromi atau penyelesaian yang boleh diterima,” tambahnya.

Akhirnya, dengan cabang kehakiman, eksekutif dan perundangan masing-masing memainkan peranan, undang-undang itu dimansuhkan.

Perlembagaan turut dipinda bagi mengelakkan cabaran undang-undang pada masa hadapan mengenai definisi perkahwinan.

“Saya percaya ia telah menghasilkan sesuatu yang memenuhi keperluan dan keadaan unik kita,” kata Hakim Menon, sambil menambah bahawa isu itu secara umumnya tidak lagi menjadi punca perpecahan dalam masyarakat Singapura.

Undang-undang Jenayah (Peruntukan Sementara) (CLTPA), yang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan, turut merupakan hasil daripada penyesuaian terhadap keperluan masyarakat, katanya semasa ucapannya.

Akta itu digubal pada 1955 dan kemudiannya diperluas untuk menangani kumpulan kongsi gelap di Singapura.

Kumpulan kongsi gelap ketika itu berkembang menjadi pertubuhan jenayah yang berkuasa.

Oleh kerana mangsa dan saksi enggan memberi keterangan kerana bimbang akan pembalasan, proses perbicaraan jenayah biasa menjadi tidak berkesan.

Hakim Menon mengakui bahawa kuasa CLTPA mungkin menimbulkan rasa kurang selesa bagi sesetengah pihak, tetapi katanya, pilihan yang wujud bukanlah antara proses perbicaraan yang sempurna dengan tahanan pencegahan. 

Sebaliknya, persoalan sebenar adalah sama ada negara mampu memulihkan ketenteraman awam asas yang diperlukan supaya undang-undang dapat berfungsi, tambahnya.