Topic followed successfully
Go to BHkuKetua Hakim: AI ubah masa depan peguam muda
Ketua Hakim: AI ubah masa depan peguam muda
Sektor itu turut hadapi cabaran kekalkan peguam bermutu
Ketua Hakim: AI ubah masa depan peguam muda
Kebimbangan telah dibangkitkan mengenai peluang pekerjaan dan latihan bagi peguam muda apabila tugas rutin semakin banyak dilakukan oleh kecerdasan buatan (AI), kata Ketua Hakim Sundaresh Menon pada 20 April.
Di samping gangguan teknologi, kerjaya itu juga menghadapi cabaran lama untuk mengekalkan peguam bermutu di tengah-tengah kerja perundangan yang kian rumit seiring tekanan daripada “penumpuan berlebihan terhadap sasaran pengebilan”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada 129 peguam baru dalam upacara rasmi sesi pertama bagi 2026 di auditorium Mahkamah Agung.
Encik Menon berkata kepimpinan pertubuhan dan institusi sektor perundangan memainkan peranan penting dalam menangani cabaran itu.
Institusi dan pertubuhan mesti bertindak dengan “berpandangan jauh, tekun, dan (melaksana) tanggungjawab bersama demi masa depan kerjaya profesional ini” agar ia bersedia menghadapi perubahan teknologi, memelihara laluan kerjaya dan mengekalkan amalan sihat.
Seramai 321 peguam yang sedang berkhidmat akan dipanggil ke Badan Peguam dalam tiga sesi pada 20 dan 21 April.
Ini merupakan pengambilan pertama di bawah proses dua peringkat baru.
Sebelum ini, lulusan undang-undang perlu lulus peperiksaan Badan Peguam dan melengkapkan latihan enam bulan di syarikat guaman sebelum mereka boleh diterima masuk.
Kini, lulusan boleh diterima sebagai peguam yang tidak berkhidmat selepas lulus peperiksaan itu, dan menjadi peguam yang berkhidmat selepas latihan amali setahun.
Peguam yang berkhidmat boleh memberi nasihat dan mewakili pelanggan di mahkamah, manakala peguam yang tidak berkhidmat tidak boleh memberi perkhidmatan kepada pihak luar.
Dalam ucapannya, Ketua Hakim Menon berkata peningkatan penjanaan AI bermakna sebahagian kerja peguam muda mungkin berkurang, disusun semula atau digantikan.
Beliau menegaskan, generasi peguam muda terdahulu mengasah kemahiran mereka melalui pembacaan teliti, penyelidikan, semakan undang-undang dan penyediaan dokumen.
Jika tugas asas diserahkan kepada AI, bagaimana dapat dipastikan peguam muda masih dapat membina naluri, disiplin dan pertimbangan profesional, soal beliau.
Namun, jika digunakan dengan bijak, AI memudahkan perolehan pengetahuan dan mengalihkan tumpuan peguam kepada persoalan aras tinggi.
Peguam muda mungkin dapat beralih kepada kerja yang lebih teknikal, lebih strategik dan berkait rapat dengan pengurusan risiko perundangan.
Ini memerlukan karyawan perundangan menguasai undang-undang serta memahami AI secukupnya agar dapat menggunakannya dengan lebih bertanggungjawab dan berkesan.
Menurutnya, usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan kefahaman AI dalam kerjaya itu.
Beliau menekankan bahawa Akademi Undang-Undang Singapura (SAL) telah bekerjasama dengan Microsoft bagi menghasilkan panduan amali, serta dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk memperluas latihan AI bagi peguam.
Namun AI tidak mempunyai nilai, hati nurani atau kefahaman tentang kepentingan kemanusiaan dalam pertimbangan undang-undang.
“Tugas kita bukan sekadar mengajar peguam menggunakan AI, tetapi memastikan apabila teknologi mengambil alih tugas rutin perundangan, penekanan lebih diberikan kepada sifat kemanusiaan: pertimbangan, etika, tanggungjawab, kebijaksanaan dan kejujuran,” katanya.
Beliau menambah bahawa selain AI, amalan moden turut memberi tekanan lain kepada peguam muda.
Dalam tinjauan lima hari lalu terhadap peguam yang bakal diterima masuk selepas latihan amali, kira-kira satu pertiga berkata mereka berkemungkinan meninggalkan kerjaya itu dalam tempoh tiga tahun akan datang, tambah beliau.
Sebab utama ialah beban kerja berlebihan, budaya kerja lemah dan kekurangan bimbingan.
“Jika peguam sentiasa terbeban dan kurang sokongan, bidang ini tidak boleh mengharap untuk mengekalkan piawaian yang bergantung kepada kesahihannya,” kata beliau.
