Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Undangan haji datang lagi selepas 2 kali tertangguh

Jun 2, 2024 | 6:49 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (barisan depan, kanan) yang juga penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC East Coast hadir pada 1 Jun untuk Majlis Pelepasan Haji bagi 73 jemaah haji yang juga penduduk GRC East Coast, antaranya adalah Encik Sani Kudin (baju kuning, berdiri).
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (barisan depan, kanan) yang juga penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC East Coast hadir pada 1 Jun untuk Majlis Pelepasan Haji bagi 73 jemaah haji yang juga penduduk GRC East Coast, antaranya adalah Encik Sani Kudin (baju kuning, berdiri). - Foto PERSATUAN RAKYAT (PA)

Bagi Encik Sani Kudin, peluang menunaikan ibadah haji adalah satu panggilan dari Ilahi.

Ketika berusia 64 tahun pada 2020, pekerja kawalan pelabuhan di PSA Singapore itu, diberikan kesempatan untuk menunaikan haji.

Namun, dugaan melanda dek penularan wabak Covid-19 yang menjejas seluruh dunia.

“Sebenarnya segala urusan saya telah pun saya siapkan, termasuk segala macam suntikan yang saya perlu ambil.

“Tetapi kerana Covid-19, saya diberitahu bahawa saya perlu tangguhkan rencana saya buat masa tiga tahun,” kongsi Encik Sani kepada Berita Harian (BH).

Walaupun hampa, beliau telah dinasihati isterinya, seorang pegawai bersama syarikat Shahidah Travel, agar bersabar kerana rezeki tidak pernah salah alamat dengan tawaran ke haji akan datang lagi.

Apabila tiba masanya pada 2023, dugaan melanda sekali lagi buat Encik Sani yang tidak berkesempatan untuk memohon masa cuti daripada majikannya.

“Alhamdullilah, saya diberi peluang sekali lagi pada 2024.

“Susah nak gambarkan perasaan saya kerana terdapat banyak halangan yang saya lalui tetapi kini saya hanya ingin mendoakan agar saya panjang umur dan diberikan kesihatan,” tambah Encik Sani, 68 tahun.

Beliau merupakan antara 73 jemaah haji yang menetap di kawasan Bedok dan Chai Chee yang hadir pada Majlis Pelepasan Haji anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) GRC East Coast dan M³Bedok pada 1 Jun di Heartbeat@Bedok.

Turut hadir semasa majlis itu adalah Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Anggota Parlimen GRC East Coast.

Berucap selaku pemimpin Delegasi Haji 2024 Singapura, Dr Maliki berkata:

“Saya amat berbesar hati untuk memimpin delegasi haji Singapura 2024 buat kali pertama.

“Majlis pelepasan haji anjuran MAEC East Coast dan M³Bedok ini mempunyai kepentingan yang mendalam untuk bakal jemaah haji dan anggota keluarga mereka, kerana ia melambangkan permulaan perjalanan suci dan transformatif.

“Ia adalah saat perpaduan dan refleksi rohani, di mana masyarakat berkumpul untuk memberikan rahmat dan salam kepada bakal jemaah haji ketika mereka memulakan ibadah haji yang amat bermakna ini,” tambah Dr Maliki.

Jemaah yang hadir turut menerima cenderahati khas seperti sabun, bedak ihram dan losyen pelindung sinar matahari.

Ketua Dakwah dan Pendekatan Masyarakat, Masjid Darul Aman, Ustaz Muhd Ridzwan Abdul Manap, yang memberikan ceramah, juga menggariskan komitmen dan berpesan kepada jemaah agar mengutamakan kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan rohani.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg