Syarikat minyak dan gas Shell telah memaklumkan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) bahawa ia telah menutup salah satu unit pemprosesan minyak kendaliannya di Pulau Bukom untuk menyiasat kemungkinan berlakunya kebocoran.
Dalam satu kenyataan bersama pada 27 Disember, MPA, NEA, Lembaga Taman Negara (NParks) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) menyatakan unit pemprosesan minyak itu terletak di Taman Tenaga dan Kimia Shell dan digunakan untuk menghasilkan produk minyak ditapis seperti diesel.
Air yang diambil daripada laut digunakan sebagai sebahagian daripada proses untuk menyejukkan produk minyak yang ditapis dalam unit tersebut.
Shell menganggarkan bahawa beberapa tan produk minyak ditapis berserta air penyejuk telah mengalir keluar, tambah kenyataan itu.
Berikutan kebocoran tersebut, Shell telah meletakkan pelampung pembendung dan penyerap, serta penyembur di saluran air penyejuk mengalir keluar.
Sistem pengasingan minyak yang siap dipasang dalam saluran juga telah diaktifkan.
“Pelampung pembendung dan penyerap telah diletakkan di muara saluran untuk mengelakkan sisa minyak daripada melimpah ke laut. Tiada tompok minyak dikesan pada masa ini di sekitar Pulau Bukom,” jelas kenyataan itu lagi.
MPA dan Shell telah mengerahkan bot pembersihan untuk membersihkan percikan minyak yang dapat dilihat di Pulau Bukom, menggunakan pelampung penyerap.
Agensi-agensi tersebut berkata: “Kami akan memantau keadaan dengan teliti dan telah mengerahkan satelit serta dron bagi pengawasan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, pelampung penyerap minyak akan diletakkan di Taman Marin Kepulauan Subar (Sisters’ Island) dan di pantai Sentosa.”
Navigasi trafik di sekitar kawasan itu tidak terjejas, dan tiada kesan kepada operasi bunkering – proses membekalkan bahan api kepada kapal bagi penggunaan kapal itu sendiri – bagi Pelabuhan Singapura.
Maklumat lanjut akan diberikan jika terdapat perkembangan penting, tambah kenyataan itu.
“NEA sedang menyiasat insiden ini dengan MPA dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan jika sebarang salah laku dikesan,” tambah mereka.
Pada 20 Oktober, satu limpahan minyak dari saluran paip Shell yang berlaku sekitar 5.30 pagi telah menjejas perairan Singapura.
Minyak itu bocor ke laut dari saluran paip yang berpangkalan di darat antara Pulau Bukom dengan Bukom Kecil.
MPA dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira 1 petang dan kebocoran itu dilaporkan telah berhenti dari sumber.
Shell menyatakan dalam satu kenyataan pada 21 Oktober bahawa sekitar 30 hingga 40 tan ‘slop’ iaitu campuran minyak dan air telah bocor dan mengalir ke dalam laut.
“
“Kami akan memantau keadaan dengan teliti dan telah mengerahkan satelit serta dron bagi pengawasan. Sebagai langkah berjaga-jaga, pelampung penyerap minyak akan diletakkan di Taman Marin Kepulauan Subar (Sisters’ Island) dan di pantai Sentosa.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg