Siapa boleh hentikan bunyi bising dari rumah sebelah?
Isu bukan terletak pada rangka undang-undang sebaliknya pada pelaksanaan
Kes-kes terkini yang melibatkan jiran bermasalah telah menyentuh perasaan ramai kerana ia menggambarkan kekecewaan yang biasa dialami dan bersifat sangat peribadi.
Di Tiong Bahru, seorang penduduk baru-baru ini melaporkan bunyi jam loceng yang berdering kuat pada waktu yang tidak menentu, selama beberapa minggu, sehingga mengganggu tidur dan rutin bekerja dari rumah.
Di Boon Keng pula, satu pertikaian yang berlarutan lama akhirnya memuncak dalam perbalahan terbuka.
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Encik Shawn Loh, menyifatkan kes tersebut sebagai antara yang paling mengecewakan dan sukar diselesaikan di kawasan undi itu, meskipun pelbagai agensi telah dilibatkan secara berterusan.
Dalam kededua keadaan ini, penduduk telah melakukan apa yang mereka sepatutnya lakukan.
Mereka mendekati jiran masing-masing.
Mereka membuat laporan kepada Majlis Bandaran, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan pihak polis.
Ada juga yang mendapatkan bantuan melalui proses pengantaraan.
Namun, walaupun semua langkah ini diambil, gangguan tersebut tetap berterusan.
Undang-undang Singapura berkaitan pertikaian kejiranan baru-baru ini telah diperkukuh bagi meningkatkan keberkesanannya.
Antara saranan ialah perintah rawatan mandatori (MTO), yang membolehkan pengantaraan diwajibkan dalam kes-kes tertentu, serta pengukuhan kuasa tribunal bagi menangani pertikaian yang telah berlarutan dengan lebih berkesan.
Sebuah Unit Perhubungan Masyarakat (CRU) kini dilaksanakan di Tampines bagi menangani kes bunyi bising yang teruk serta kes pengumpulan barangan secara melampau.
Namun, semua ini tidak memberi penyelesaian yang bermakna kepada penduduk yang kehidupan harian mereka terus terganggu.
Wujud perasaan buntu.
Mengapa terasa seolah-olah tiada siapa dapat membantu?
Mengapa penyelesaian mengambil masa yang begitu lama?
Ruang yang sememangnya sukar
Kebuntuan ini bukan berpunca daripada ketiadaan kerangka kerja.
Ia timbul kerana pertikaian jiran terperangkap antara ruang peribadi dengan campur tangan awam.
Sebahagian besar perbuatan ini berlaku di dalam rumah.
Gangguan pula sering bersifat berselang-seli, seperti bunyi bising yang datang dan pergi.
Penduduk mungkin mengalami dan merakam gangguan tersebut, namun kes pada peringkat awal lazimnya memerlukan pengesahan lanjut sebelum langkah yang lebih tegas dapat diambil.
Dalam keadaan ini, pihak berkuasa perlu bertindak secara berpatutan, menurut undang-undang dan adil, yang seterusnya menentukan bila dan bagaimana tindakan yang lebih tegas digunakan.
Sistem sedia ada berfungsi secara berperingkat dan berhemat, namun proses ini memakan masa bagi mereka yang berdepan gangguan hampir setiap hari.
Dalam menangani pertikaian jiran, Singapura mengambil pendekatan berperingkat, bukannya terus mengambil tindakan penguatkuasaan.
Sebagai langkah awal, penduduk yang berdepan pertikaian digalakkan untuk mendekati jiran mereka dan berbincang secara tenang.
Pemimpin akar umbi juga boleh memainkan peranan membantu meredakan keadaan.
Sekiranya pertikaian tidak dapat diselesaikan, pengantaraan secara sukarela menjadi langkah seterusnya.
Dalam kes tertentu, pengantaraan wajib boleh diarahkan.
Jika semua usaha ini kekal gagal, sebagai pilihan terakhir, penduduk boleh mendapatkan penyelesaian melalui Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT), yang mempunyai kuasa lebih kuat.
Kerangka ini mencerminkan pemahaman kebanyakan pertikaian jiran bukanlah jenayah, justeru campur tangan secara paksaan yang terlalu awal boleh menjejas kepercayaan masyarakat dan keharmonian sosial dalam jangka panjang.
Falsafah di sebalik struktur ini adalah disengajakan.
Menurut Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, dalam Parlimen pada November 2024, sedikit sebanyak ketegangan pasti akan timbul dalam masyarakat bandar yang sesak.
Matlamatnya bukan untuk menghapuskan semua ketegangan melalui penguatkuasaan serta-merta, tetapi untuk memelihara keharmonian masyarakat dengan menggalakkan penyelesaian awal dan meningkatkan tahap campur tangan hanya apabila perlu.
Inilah sebabnya mengapa tiada satu pihak berkuasa yang khusus akan campur tangan serta-merta bagi setiap aduan gangguan.
Polis tidak ditugaskan untuk mengadili pertikaian gaya hidup.
Majlis Bandaran dan HDB pula memberi tumpuan kepada pengurusan estet dan penglibatan masyarakat, bukannya tindakan menghukum.
CRU juga mencerminkan sifat berperingkat dan berhemat ini.
Unit tersebut bukan bertujuan menjadi pihak pertama yang menangani setiap pertikaian jiran, sebaliknya tindakan hanya diambil apabila syarat tertentu dipenuhi.
Ini termasuk gangguan bunyi bising yang teruk dan berpanjangan, tingkah laku gangguan yang disengajakan, serta kes pengumpulan barangan tidak terkawal yang memberi kesan lebih luas kepada masyarakat.
Pendekatan ini membolehkan kerangka tersebut diuji dan diperhalusi sepanjang tempoh percubaan, sambil memastikan kuasa yang lebih tegas digunakan secara berhemah dan penyelesaian berasaskan masyarakat kekal sebagai langkah utama.
Melalui projek rintis ini, agensi akan menilai cara terbaik untuk memperluaskan pendekatan tersebut secara berperingkat.
Rasa disokong oleh sistem
Namun, pelbagai kes yang dilaporkan media menunjukkan masih banyak yang boleh dibaiki.
Yang paling penting, penduduk perlu merasakan mereka disokong oleh sistem.
Masalahnya bukan pada kerangka sedia ada, tetapi pada cara ia dilaksanakan.
Apabila pertikaian mula timbul, ramai penduduk mungkin tidak pasti bagaimana untuk memulakan perbualan dengan jiran secara selamat.
Panduan seperti cara meredakan keadaan, dokumentasi asas dan bila perlu melibatkan pihak ketiga boleh membantu penduduk bertindak dengan lebih yakin.
Namun, pendekatan sebegini tidak selalu berhasil.
Oleh itu, pegawai atau agensi berkaitan boleh terlibat lebih awal untuk membantu menyelesaikan keadaan tanpa berat sebelah.
Sebagai contoh, jika aduan bunyi bising lewat malam berulang dan jirannya menafikannya, pegawai boleh berbincang dengan kedua-dua pihak, menetapkan had tingkah laku, menilai keperluan pengantaraan, dan mengambil tindakan lanjut jika perlu.
Langkah ini bukan untuk menentukan siapa betul atau salah.
Sebaliknya, ia menetapkan hala tuju yang jelas, mengarahkan langkah seterusnya, dan memberi keyakinan perkara ini ditangani secara adil.
Bagi gangguan yang disengajakan, penglibatan awal pegawai membantu dalam mengenal pasti corak gangguan serta menggunakan langkah sedia ada seperti pengantaraan terarah, amaran rasmi atau rujukan ke tribunal bagi mengelakkan kebuntuan berpanjangan.
Gabungan sokongan awal dan kewibawaan yang jelas ini mengelakkan pertikaian daripada memuncak, memberi keyakinan kepada penduduk terjejas, serta mengekalkan kekuatan langkah lebih tegas jika perlu.
Pada masa yang sama, pihak terlibat juga perlu dimaklumkan dengan jelas.
Penduduk sering tertanya-tanya dalam keadaan bagaimana MTO boleh digunakan.
Panduan yang jelas membantu orang ramai memahami apa yang boleh dijangka dan bagaimana kes ini ditangani.
Selain itu, apabila agensi atau pegawai telah mengumpul maklumat, penduduk perlu tahu bagaimana maklumat itu digunakan seterusnya.
Kesinambungan ini memberi keyakinan setiap langkah seterusnya dibina atas usaha sebelumnya, sambil memastikan pengantaraan kekal sebagai langkah awal yang membina dan berteraskan masyarakat.
Semua langkah ini selaras dengan pendekatan pemerintah.
Malah, langkah-langkah ini mengukuhkannya.
Encik Tong mengingatkan kerangka yang diperkukuh ini bukan jawapan kepada semua masalah dan masih ada kes yang sukar diselesaikan.
Namun, jika kerangka ini terus dibaiki, ia dapat membantu penduduk dan menangani gangguan berterusan apabila perlu.
Artikel ini pertama kali disiarkan di akhbar The Straits Times.
“
Namun, pelbagai kes yang dilaporkan media menunjukkan masih banyak yang boleh dibaiki. Yang paling penting, penduduk perlu merasakan mereka disokong oleh sistem.Masalahnya bukan pada kerangka sedia ada, tetapi pada cara ia dilaksanakan... Panduan seperti cara meredakan keadaan, dokumentasi asas dan bila perlu melibatkan pihak ketiga boleh membantu penduduk bertindak dengan lebih yakin. Namun, pendekatan sebegini tidak selalu berhasil. Oleh itu, pegawai atau agensi berkaitan boleh terlibat lebih awal untuk membantu menyelesaikan keadaan tanpa berat sebelah.

