Unit Perhubungan Masyarakat (CRU) yang baru, terdiri daripada pegawai yang mempunyai kuasa menyiasat dan menguatkuasa undang-undang bagi menangani kes bunyi bising dan sorok barang serius telah memulakan projek perintisnya selama setahun di Tampines.
Ia akan menyokong usaha lain pemerintah untuk mengekalkan kehidupan masyarakat yang harmoni, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, dalam satu hantaran Facebook pada 7 April.
Pasukan perintis CRU terdiri daripada 15 pegawai sepenuh masa, lapor The Straits Times (ST).
Pegawai CRU akan campur tangan apabila dimaklumkan mengenai pertikaian antara jiran berkenaan bunyi bising yang tidak dapat diselesaikan meski usaha pengantaraan telah dijalankan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) atau pegawai barisan hadapan lain.
Pindaan Akta Penyelesaian Pertikaian Masyarakat pada November 2024 memberi pegawai CRU pelbagai kuasa, termasuk mengeluarkan arahan untuk memaksa pihak terlibat menghadiri sesi pengantaraan di Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC).
Pasukan CRU juga akan menjalankan siasatan lanjut, memasang alat pengesan bunyi dan, dalam kes serius, mengeluarkan amaran serta perintah pemberhentian gangguan.
Kegagalan mematuhi perintah pemberhentian gangguan adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman denda, penjara atau kededuanya sekali.
Tampines dipilih sebagai lokasi perintis kerana jumlah kes di kawasan itu sederhana berbanding estet lain, menurut Cik Sim di Parlimen pada November 2024.
Bagi kes sorok barang keterlaluan, pegawai CRU mempunyai kuasa memasuki rumah dan menjalankan proses pembersihan secara paksa, selepas usaha agensi barisan hadapan didapati tidak membuahkan hasil dan individu terlibat enggan memberi kerjasama.
Cik Sim menjelaskan sebilangan besar kes yang akan ditangani CRU melibatkan gangguan bunyi, memandangkan jumlah kes sorok keterlaluan tidak begitu banyak.
Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT) juga akan diberi kuasa tambahan bagi menyelesaikan kes dengan lebih pantas dan berkesan, termasuk mengeluarkan perintah rawatan mandatori (MTO) bagi individu yang dipercayai menyebabkan gangguan dek masalah kesihatan mental.
Merujuk kes kepada CDRT adalah langkah terakhir jika sesuatu isu tidak dapat diselesaikan melalui pengantaraan atau campur tangan CRU.
Penduduk HDB di Tampines yang memerlukan bantuan berkaitan gangguan bunyi daripada jiran boleh menghubungi talian utama 3300-3300 antara 9 pagi dan 9 malam pada hari bekerja. Mereka juga boleh menggunakan Aplikasi OneService dan Chatbot OneService.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg