Topik diikuti
Pergi ke BHkuUOB sedia 1,000 peluang pekerjaan untuk lepasan universiti baharu
UOB sedia 1,000 peluang pekerjaan untuk lepasan universiti baharu
UOB akan mengambil 1,000 lepasan universiti muda dalam tempoh 12 bulan akan datang, walaupun kebimbangan semakin meningkat tentang kesan penggunaan pesat kecerdasan buatan (AI) terhadap pengambilan pekerja untuk pekerjaan peringkat permulaan.
Kebanyakan jawatan itu adalah jawatan tetap merangkumi peranan dalam perkhidmatan kewangan peribadi dan pencegahan pengubahan wang haram, serta peluang awal kerjaya melalui Program Jurubank Masa Depan, Program Rakan Kongsi Pengurusan dan program latihan industri.
Bank tersebut juga sedang melengkapkan 5,500 pengurus di seluruh rantau ini dengan kemahiran untuk menjadi pemimpin lebih baik di tempat kerja yang dilengkapi AI menjelang akhir 2027.
Selain itu, ia menambah baik program Gig+U supaya profesional berpengalaman dapat menyumbangkan kepakaran mereka dalam peranan berhadapan pelanggan dan nasihat jualan.
Mengumumkan inisiatif itu pada acara tahunan pekerja UOB, Better U, pada 8 Oktober, Ketua Eksekutif, Encik Wee Ee Cheong, berkata walaupun AI boleh melakukan banyak tugas rutin yang kini dilakukan kakitangan peringkat permulaan dan lepasan universiti baharu, pelaburan dalam manusia dan pertimbangan manusia akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.
“Oleh itu, adakah kami berhenti mengambil pekerja? Tidak. Kami akan terus mengambil pekerja kerana anda masih memerlukan manusia untuk menjual dan membuat keputusan.
“Anak muda perlu peluang untuk mendapat pengalaman, membina kepakaran dan membangunkan kerjaya mereka,” kata Encik Wee ketika berucap kepada kira-kira 100 kakitangan di UOB Employee Clubhouse di Boat Quay.
Bank itu juga akan melatih 1,000 anak muda itu sebagai komitmen untuk melabur dalam generasi akan datang, kata Encik Wee.
Encik Russell Yong, 25 tahun, dan Cik Shrutikhaa Katakam, 22 tahun, antara kohort pertama Program Jurubank Masa Depan 2026.
Program dua tahun itu menyediakan latihan berstruktur, putaran jawatan dan pengalaman praktikal dalam nasihat kekayaan dan perbankan runcit. Ia mempunyai empat kohort dengan kira-kira 100 peserta setiap tahun, termasuk profesional awal kerjaya.
Encik Yong, yang mempunyai bidang pengurusan perniagaan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata program sebegini bernilai kerana memberi lebih keyakinan kepada profesional muda dan menyediakan mereka menghadapi cabaran akan datang.
Cik Katakam, yang lulus dengan ijazah sains komputer dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata beliau mendapati peluang berhubung dengan pemimpin bank amat bernilai ketika dijemput mendengar tentang program itu.
Beliau turut berpeluang bertanya tentang gaya kerja dan tugas harian mereka. Menurutnya, pendedahan secara langsung kepada pemimpin berpengalaman itu memberinya gambaran berharga tentang industri dan apa yang boleh dijangka dalam kerjayanya.
Ditanya sama ada mereka bimbang apabila tenaga kerja berdepan gangguan akibat AI, Encik Yong dan Cik Katakam berkata bersikap terbuka semakin penting bagi lepasan universiti baharu.