Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

UOB sumbang $30j bantu pendidikan pelajar di Asia Tenggara

Mar 4, 2025 | 3:56 PM
Lebih 120,000 kanak-kanak dan pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan akan mendapat akses kepada pendidikan hasil sumbangan $30 juta daripada UOB bagi menyediakan alat pembelajaran digital, bantuan kewangan dan biasiswa.
Lebih 120,000 kanak-kanak dan pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan akan mendapat akses kepada pendidikan hasil sumbangan $30 juta daripada UOB bagi menyediakan alat pembelajaran digital, bantuan kewangan dan biasiswa. - Foto REUTERS

Lebih daripada 120,000 kanak-kanak dan pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan akan mendapat akses kepada pendidikan susulan ikrar UOB untuk menyumbang $30 juta bagi menyediakan alat pembelajaran digital, bantuan kewangan dan biasiswa.

Daya usaha itu yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-90 bank tersebut, akan membantu pelajar dan kanak-kanak di seluruh Asia Tenggara melalui empat program utama, kata UOB pada 3 Mac.

Salah satu program tersebut akan menyediakan pendidikan bermutu kepada 90,000 kanak-kanak kurang bernasib baik di Indonesia dan Vietnam melalui kerjasama UOB dengan wadah teknologi pendidikan untuk melaksanakannya, kata bank itu.

Melalui wadah itu, kanak-kanak akan dapat mengakses sumber dalam bidang berkaitan dengan pengekodan, latihan pengiraan dan literasi digital dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Satu lagi inisiatif, ‘UOB My Digital Space Programme’, akan melengkapkan lagi 20,000 kanak-kanak di seluruh rantau ini dengan peralatan dan kemahiran pembelajaran digital, lapor The Straits Times (ST).

Di Singapura, 11,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah akan menerima wang saku selama 90 hari melalui Dana Wang Saku Sekolah ST (STSPMF).

Mereka boleh menggunakannya untuk perbelanjaan berkaitan sekolah seperti makanan, pengangkutan dan kegiatan persekolahan lain, kata bank itu.

STSPMF ialah projek kemasyarakatan oleh ST yang menyediakan wang saku kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, untuk membantu mereka membiayai kos perbelanjaan sekolah, pembangunan sosial dan pendidikan.

Biasiswa prapengajian juga akan diberikan kepada 90 pelajar dari Asia Tenggara dalam beberapa tahun akan datang untuk membolehkan mereka melanjutkan pengajian di Singapura, kata UOB.

Biasiswa itu akan menampung yuran pendidikan dan kos sara hidup mereka.

“Ketika kami meraikan dan mengimbau kembali 90 tahun yang lalu, kami tahu kami hanya boleh mencapai apa yang kami ada kini adalah hasil sokongan setia dan berterusan semua pihak, termasuk masyarakat,” kata Timbalan Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB, Encik Wee Ee Cheong.

“Menyokong pendidikan adalah pelaburan dalam masa depan kolektif kami di seluruh Asean,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg