Keluarga berpendapatan rendah di kawasan Bukit Merah akan meraih manfaat daripada kegiatan pengayaan dan sokongan pembelajaran, hasil satu usaha memperluas inisiatif sokongan masyarakat untuk membantu kanak-kanak daripada latar belakang sedemikian.
Pemaju hartanah UOL dan anak syarikat hotelnya Pan Pacific Hotels Group (PPHG) mengumumkan pada 10 Januari bahawa mereka akan menderma $50,000 kepada skim tersebut.
Jumlah itu adalah sebahagian daripada sumbangan lebih besar iaitu $150,000 untuk membiayai Program Peningkatan Masyarakat UOL-PPHG, yang dilancarkan di Jurong West pada 2023 untuk menyokong kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menurut UOL, jumlah penyertaan telah berganda sejak program itu dilancarkan, daripada 57 benefisiari pada 2023 kepada 120 benefisiari pada 2025.
Dengan usaha memperluas inisiatif itu, lebih 35 keluarga di bawah skim ComLink+ di Bukit Merah akan menerima bantuan sepanjang program itu.
ComLink+ ialah inisiatif Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) yang menyatukan pelbagai agensi pemerintah, pejabat perkhidmatan sosial dan rakan kerja masyarakat bagi menyokong keluarga yang mempunyai anak bawah usia 21 tahun.
Inisiatif itu antara lain membantu keluarga membina kestabilan, menjadi lebih bedikari dan mempertingkat mobiliti sosial melalui sokongan jangka panjang yang diselaraskan.
Di Bukit Merah, program itu akan menyediakan sokongan termasuk tuisyen mingguan matematik bagi pelajar sekolah menengah, geran bakat bagi program pengayaan seni dan sukan, riadah bersama keluarga dan sistem ganjaran dengan pengalaman seperti staycation dan hidangan bufet.
Hasil pelaksanaan inisiatif itu di Jurong West menunjukkan kesan positif, dengan maklum balas daripada 36 keluarga dari Boon Lay menunjukkan 96 peratus kanak-kanak berjaya membuat kawan baru sementara 63 peratus ibu bapa rasa lebih rapat dengan jiran mereka.
Sekitar 80 peratus kanak-kanak berkata sistem ganjaran itu menggalak mereka untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh manakala 77 peratus pula berkata sesi jalan-jalan bersama keluarga telah mengeratkan hubungan keluarga mereka.
Dari segi akademik, 41 peratus daripada 81 murid sekolah rendah dan menengah yang menerima sokongan matematik menunjukkan peningkatan dalam gred mereka.
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata program itu memberikan peluang berharga kepada kanak-kanak daripada keluarga ComLink+ untuk belajar kemahiran baru, bina keyakinan dan meluaskan perspektif mereka.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian anugerah tahunan untuk mengiktiraf pencapaian keluarga ComLink+ dalam Program Peningkatan Masyarakat UOL-PPHG di Hotel ParkRoyal di Beach Road pada 10 Januari.
Encik Lee, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, menambah bahawa kerjasama dengan syarikat seperti UOL dan PPHG adalah penting untuk membantu keluarga mencapai kestabilan dan mewujudkan laluan bagi mobiliti sosial.
Encik Lee berkata ini adalah model yang unik, dengan badan korporat, perkhidmatan sosial dan pertubuhan sekular serta agama bekerjasama bukan sebagai rakan kerja individu tetapi sebagai peneraju yang membawa bersama seluruh kejiranan, masyarakat dan pihak berkepentingan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg