URA tawar dua tapak kondo utama di Holland Plain, River Valley untuk dijual
URA tawar dua tapak kondo utama di Holland Plain, River Valley untuk dijual
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 25 Februari menawarkan dua tapak kediaman utama di Holland Plain dan Morrison Lane yang terletak di kawasan Robertson Quay, untuk dijual dalam Program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) bagi separuh pertama 2026.
Dengan projek baru di Kawasan Tengah Utama (CCR) mencatat jualan yang baik sepanjang 2025, penganalisis menjangkakan tapak di Holland Plain akan menerima antara empat dengan enam bidaan.
Tapak Morrison Lane di River Valley, yang dikeluarkan daripada senarai rizab, juga dijangka dibuka untuk bidaan.
Tender bagi tapak dalam senarai rizab akan dibuka melalui permohonan dengan tawaran minimum yang diterima pemerintah.
Tapak di Holland Plain yang seluas 15,716.9 meter persegi (m²) – terletak bersebelahan dengan tapak Holland Link yang dijual pada 2025 – boleh menampung sebanyak 280 unit kediaman privet.
Tapak tersebut mempunyai keluasan lantai kasar maksimum (GFA) seluas 28,291m², dengan nisbah plot kasar 1.8 dan ketinggian bangunan maksimum antara enam dengan lapan tingkat.
Terletak berhampiran Kawasan Banglo Kelas Baik (GCB) Brizay Park, projek pajakan 99 tahun dengan ketinggian agak rendah ini akan menjadi sebahagian daripada kawasan kediaman baru Holland Plain seluas 34 hektar, dalam Kawasan Perancangan Bukit Timah.
Penganalisis menjangkakan tawaran tertinggi untuk tapak ini berada dalam julat $1,350 hingga $1,450 setiap kaki persegi (psf) bagi setiap nisbah lot.
Tawaran ini selaras dengan penanda aras yang ditetapkan tender bagi tapak berhampiran, Holland Link, pada Julai 2025.
Tapak Holland Link tersebut menerima lima bidaan, dengan Sim Lian memenangi tapak itu dengan tawaran bernilai $368.4 juta atau $1,432 psf.
Sebagai tapak kedua di kawasan Holland Plain, Ketua Pegawai Penyelidikan Mogul.sg, Encik Nicholas Mak, berkata pemaju boleh mendapat kelebihan sebagai perintis “tanpa perlu membayar terlalu tinggi untuk tapak ini”.
Saiz tapak yang agak sederhana juga mengurangkan pendedahan modal, menjadikannya menarik bagi pemaju bersaiz kecil dan sederhana yang ingin memasuki pasaran CCR dengan risiko terkawal, menurut Ketua Eksekutif ERA, Encik Marcus Chu.
Sementara itu, tapak di sepanjang Morrison Lane, berhampiran Robertson Quay, dijangka dapat menampung sebanyak 205 unit kediaman.
Tapak seluas 6,669.8m² itu ditetapkan untuk kegunaan kediaman dengan ruang komersial di tingkat pertama.
Keluasan maksimum GFA ditetapkan pada 18,676m², dengan sekurang-kurangnya 500m² diperuntukkan untuk pusat jagaan kanak-kanak dan 500 hingga 1,000m² untuk ruang komersial.
Berdasarkan nisbah plot kasar 2.8, pembangunan ini boleh dibina sehingga 15 tingkat.
Manakala, kawasan yang ditetapkan sebagai zon rendah hanya boleh dibangunkan sehingga empat tingkat.
Tapak ini dijangka dibuka untuk bidaan, terutamanya apabila keyakinan terhadap pasaran CCR semakin kukuh, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huttons Asia, Encik Mark Yip.

