Pemilik Golden Mile Tower di Beach Road telah ditawarkan ruang lantai kasar bonus oleh pihak berkuasa jika kompleks tersebut dibangunkan semula, dengan syarat blok pawagam ikonik kompleks komersial itu dipelihara.
Tawaran daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) ini datang semasa proses jualan kolektif yang sedang berjalan untuk pembangunan strata tersebut, yang terdiri daripada menara pejabat 18 tingkat di atas podium runcit dan tempat letak kereta enam tingkat yang menempatkan blok pawagam.
Langkah terbaru daripada URA ini menunjukkan bagaimana agensi tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini turut memberi perhatian kepada pemeliharaan bangunan strata berskala besar, seperti Golden Mile Complex, lapor The Straits Times.
Pada Oktober 2021, pembangunan yang terletak bersebelahan dengan Golden Mile Tower itu dipelihara selepas pelbagai insentif ditawarkan untuk pengubahsuaiannya, termasuk bonus keluasan lantai kasar.
Ejen jualan Golden Mile Tower, Cik Anna Tan, berkata pemilik kompleks mendapat kebenaran membangunkannya semula kepada 48,871.2 meter persegi jika blok pawagam dipelihara.
Ini merupakan peningkatan 25 peratus daripada ruang lantai pada masa ini.
Kebenaran dari URA pada 23 Disember menyebabkan lanjutan jualan kolektif hingga 12 Februari, selepas ia bermula pada Ogos 2024 dan sepatutnya tamat pada 31 Disember.
Usaha jualan kolektif ketiga ini mempunyai harga rizab sebanyak $556 juta, lebih rendah daripada harga rizab $650 juta pada November 2022, dan $600 juta pada April 2023.
Pada 7 Ogos 2024, jawatankuasa jualan kolektif Golden Mile Tower memohon kepada URA untuk membangunkan semula kompleks itu menjadi pembangunan pelbagai guna seluas 46,253 meter persegi, untuk menunjukkan potensi pembangunan hartanah kepada pembeli.
Cadangan tersebut – yang melibatkan menara pejabat dan kediaman 35 tingkat, menara pejabat dan hotel 32 tingkat, dan podium runcit lima tingkat – ditolak oleh URA pada 23 Disember.
Namun, agensi itu mengemukakan cadangan lain dengan dua pilihan kepada jawatankuasa.
Pilihan pertama adalah membangunkan semula Golden Mile Tower sepenuhnya, dengan ketinggian maksimum 145 meter dan ruang lantai kasar kekal pada 38,953.72 meter persegi.
Pilihan kedua adalah membangunkan projek seluas 48,871.2 meter persegi dengan ketinggian maksimum 164 meter, jika blok pawagam yang sedia ada dipelihara.
Tidak kira sama ada blok pawagam dipelihara atau tidak, pembangunan yang menggantikan Golden Mile Tower boleh digunakan untuk tujuan komersial, hotel dan kediaman.
Golden Mile Tower terletak di tapak seluas 0.87 hektar dengan pajakan 99 tahun yang bermula pada 9 Jun 1969.
Apabila ditanya mengapa URA menawarkan insentif jika blok pawagam dipelihara, jurucakap agensi berkata Golden Mile Tower adalah “sebuah mercu tanda yang mencerminkan transformasi Beach Road sejak beberapa tahun lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg