Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha bantu bekas pesalah wanita bangkit semula diiktiraf
Penerima Anugerah Karyawan Perkhidmatan Sosial 2026, Saleha Rashidi, bantu penghuni wanita Rumah Peralihan PPIS Rise Above, bina hidup baharu
Usaha bantu bekas pesalah wanita bangkit semula diiktiraf
Seramai 12 karyawan dan dua pasukan telah diiktiraf pada Majlis Anugerah Karyawan Perkhidmatan Sosial (SSP) 2026 pada 11 September. Anugerah SSP mengiktiraf dedikasi dan sumbangan yang diberikan oleh para penerima anugerah tersebut dan mencerminkan iltizam mereka dalam memperkasa golongan yang berdepan cabaran penyepaduan dalam masyarakat. Ikuti wawancara Berita Harian (BH) bersama dua penerima anugerah tersebut.
Kesilapan lalu tidak menentukan masa depan seseorang.
Itulah pesanan yang sering disampaikan pengurus pusat di Rumah Peralihan PPIS Rise Above, Cik Saleha Rashidi, kepada bekas pesalah kaum Hawa agar mereka tidak terus dibelenggu rasa bersalah ketika berusaha membina semula kehidupan.
Selepas sedekad berkhidmat sebagai pekerja sosial di PPIS, beliau membentuk PPIS Rise Above, pusat peralihan sekular pertama di Singapura bagi bekas pesalah wanita.
Pusat itu dibangunkan dengan kerjasama Perkhidmatan Penjara Singapura.
Sejak ditubuhkan pada 2021 dan mula beroperasi pada 2023, pusat di 1 St George’s Lane, pusat itu telah membantu lebih 130 wanita dan keluarga mereka.
Hasil sumbangan Cik Saleha menabur bakti di pusat itu, beliau meraih Anugerah Merit pada Anugerah Karyawan Perkhidmatan Sosial 2026.
Anugerah itu mengiktiraf karyawan dengan lebih tiga tahun pengalaman yang berpotensi sebagai pemimpin dan memberi kesan pada masyarakat.
Cik Saleha, 40 tahun, merupakan salah seorang daripada lima penerima anugerah berkenaan.
Anugerah Merit itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu majlis anugerah yang berlangsung di hotel Parkroyal Collection Marina Bay, pada 11 September.
Penerima memperoleh wang tunai $1,000, sijil berserta piala.
Mengimbau detik paling bermakna sepanjang menjalankan tugasnya, Cik Saleha memberitahu Berita Harian (BH):
“Seorang bekas penghuni menunjukkan perkembangan tekal sepanjang berada di sini dan terus menjalani kehidupan dengan baik selepas menamatkan program pada awal 2026.
“Beliau sering kembali sebagai sukarelawan meskipun tidak diwajibkan berbuat demikian, malah pernah membawa anak lelakinya untuk membantu dalam acara kami.
“Semasa acara keluarga di Taman Haiwan Singapura pada Julai 2026, beliau menyerahkan sekeping kad kepada kami.
“Dalam kad itu, beliau menulis, ‘Saya dijemput menghadiri hari keluarga ini, tetapi bagi saya, Rise Above ialah keluarga tempat saya dilahirkan semula’.”
Cik Saleha memainkan peranan penting dalam membangunkan pusat itu, termasuk merangka dasar dan aliran kerja serta membentuk budaya pasukannya.
Dalam kepimpinannya, pasukannya berkembang daripada tujuh kepada 14 anggota bagi memastikan pusat itu dapat beroperasi sepanjang masa.
Antara cabaran yang dihadapi bekas pesalah wanita adalah mengimbangi tuntutan pekerjaan dengan peranan sebagai ibu, selain menangani tekanan sebagai penjaga keluarga.
Bagi membantu menghadapi cabaran tersebut, Cik Saleha menerapkan amalan pemulihan; memberikan penghuni tanggungjawab mengurus kehidupan harian; mengadakan lawatan ke rumah; taklimat keluarga; dan kegiatan mengeratkan hubungan bagi menyokong penyepaduan semula.
Dalam pada itu, Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang hadir sebagai tetamu kehormat, turut menyampaikan Anugerah Presiden, pengiktirafan tertinggi dalam sektor perkhidmatan masyarakat, kepada dua penerima atas kecemerlangan profesional, kepimpinan dan inovasi mereka.
Penerimanya ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Disleksia Singapura (DAS), Encik Lee Siang; dan Pengarah Eksekutif, Boys’ Town, Dr Roland Yeow.
Pengerusi Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), Encik Gregory Vijayendran, berkata kecemerlangan dalam khidmat sosial bukan sekadar dinilai melalui mutu penjagaan, malah keupayaan memperbaharui penyampaian khidmat.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah kerana menyerlahkan kecemerlangan dalam bidang perkhidmatan sosial.
“Mereka menggabungkan kepakaran profesional dengan inovasi untuk memberikan sokongan lebih baik kepada golongan yang menghadapi cabaran semakin rumit.
“Teladan mereka menunjukkan kecemerlangan bukan sahaja diukur melalui penjagaan yang diberikan, malah keberanian untuk berinovasi serta komitmen memperbaharui penyampaian khidmat dan membina sistem lebih kukuh untuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
