Seramai 21 asatizah Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) berjaya menamatkan Kursus Pensijilan Kompetensi Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Tinggi hasil kerjasama dengan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pencapaian itu diraikan dalam majlis penyampaian sijil di UTM, Skudai, Johor, 30 Oktober 2026.

Perjalanan latihan ini bermula dari Mac 2025 hingga Oktober 2026.

Program pensijilan ini merupakan sebahagian komitmen berterusan IPIP untuk memperkasa profesionalisme asatizah dengan memperkukuh kompetensi pedagogi berasaskan keilmuan dan pengalaman yang dimiliki.

Latihan itu merangkumi sembilan komponen kompetensi yang disusun dalam tiga tahap, meliputi asas pendidikan, pengukuhan kemahiran pedagogi serta amalan profesional pengajaran dan pembelajaran pendidikan tinggi.

Antara bidang yang diberikan penekanan ialah falsafah pendidikan, strategi pengajaran, pendidikan kontemporari, pentaksiran, pengajaran mikro dan amalan reflektif.

PENGORBANAN DAN KOMITMEN ASATIZAH

Di sebalik pencapaian tersebut, peserta turut berdepan cabaran mengimbangi tanggungjawab terhadap keluarga, tuntutan kerja, serta pembelajaran sepanjang tempoh latihan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Bagi Ustaz Dr Md Yusri Yubhi Md Yusoff, pengalaman mengikuti kursus tersebut merupakan pembelajaran berpusatkan pelajar.

Walaupun perlu membahagikan masa antara pelbagai tanggungjawab, beliau kini lebih menggalakkan penglibatan aktif pelajar, pemikiran kritis dan perbincangan bagi menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif dan bermakna.

Seorang lagi peserta, Ustazah Zahratur Rofiqah Mochamad Sandisi, menyifatkan latihan tersebut sebagai pengalaman yang memperluaskan pemahamannya tentang falsafah pendidikan, psikologi pelajar dan tanggungjawab seorang pendidik.

Beliau turut menjadikan refleksi kendiri sebagai sebahagian daripada amalan pengajaran, termasuk menilai pencapaian objektif pembelajaran, keberkesanan pendekatan yang digunakan serta tahap kefahaman pelajar.

Sementara itu, Ustazah Tan Nurul Hafidzah melihat penekanan terhadap amalan refleksi sebagai antara pengalaman paling bermakna sepanjang latihan, kerana hubungannya dengan konsep muhasabah dalam Islam.

“Sebagai pendidik, ada kalanya kita terlalu sibuk merancang dan melaksanakan pengajaran sehingga kurang memberi ruang bagi menilai semula keberkesanannya.

“Bagi saya, amalan refleksi ini sangat dekat dengan konsep muhasabah dalam Islam. Ia mengajak kita agar sentiasa melihat kekurangan diri dan memikirkan apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik,” katanya.

MEMPERKASA KOMPETENSI DAN AMANAH PENDIDIKAN

Pengerusi Lembaga Pengarah IPIP, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, menegaskan bahawa pembangunan profesional berterusan penting bagi memperkaya pengetahuan dan kemahiran asatizah, di samping meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam.

Asatizah mempunyai keilmuan dan pengalaman yang menjadi asas penting dalam mendidik masyarakat.

Latihan profesional seperti ini memberi ruang untuk mereka terus memperkaya pendekatan pengajaran, memperkukuh kemahiran pentaksiran serta membudayakan amalan refleksi.

Pendidikan Islam bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah merupakan amanah bagi membentuk kefahaman, akhlak dan adab pelajar, katanya.

KERJASAMA STRATEGIK DALAM PEMBANGUNAN PENDIDIKAN TINGGI ISLAM

Pengarah Eksekutif IPIP, Ustazah Nazrana Haniff, berkata hubungan akademik antara IPIP dengan UTM yang terjalin sejak 2013 terus berkembang melalui latihan profesional, pembangunan kurikulum, khidmat perundingan serta bimbingan kepakaran dalam penubuhan dan pengurusan institusi pengajian tinggi.

Kerjasama dengan UTM, khususnya FEST, amat bermakna dalam usaha IPIP memperkukuh keupayaan akademik dan institusi, termasuk pembangunan program Sarjana Muda Pengajian Islam yang turut memberikan penekanan kepada bidang Dakwah dan Kepimpinan.

Kepakaran dan bimbingan yang dikongsikan menjadi antara sumber rujukan penting dalam usaha kami membangunkan pendidikan tinggi Islam yang mengambil kira keperluan dan hakikat masyarakat Islam Singapura, katanya.

PERKUKUH PEMBANGUNAN PENDIDIKAN TINGGI ISLAM

Program Sarjana Muda Pengajian Islam yang dibangunkan IPIP berteraskan tradisi keilmuan Islam, dengan penekanan terhadap pembentukan lulusan yang berilmu, beradab dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, IPIP turut menerima pengiktirafan UTM sebagai rakan strategik dalam pembangunan institusi pengajian tinggi Islam bagi tempoh 2024 hingga 2026.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan hubungan akademik yang berterusan antara kedua-dua institusi, sekali gus menjadi dorongan kepada IPIP dengan terus memperkukuh mutu pendidikan, pembangunan tenaga pengajar dan keupayaan institusi.

Maklumat lanjut mengenai program Sarjana Muda Pengajian Islam dan program pengajian lain yang ditawarkan IPIP boleh didapati melalui laman web rasmi www.ipip.sg.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti