Selepas bekerja sehari, adalah biasa seseorang berasa letih dan tidak sabar untuk pulang dan berehat.
Namun, bagi Cik Siti Rabi’ah Mohamad Yazid, 28 tahun, beliau tidak membiarkan rasa letih menghalangnya membantu orang yang memerlukan.
Apabila melihat seorang wanita warga emas jatuh dan dalam kesakitan, beliau tidak teragak-agak menghulurkan bantuan.
“Dalam perjalanan pulang dari kerja di Pertukaran Bas Bukit Merah, saya terlihat seorang warga emas yang sedang berjalan tiba-tiba terjatuh dan kepalanya terkena palang besi,” cerita eksekutif pentadbiran di Sekolah Rendah Blangah Rise itu.
Beliau berkata wanita itu kelihatan dalam keadaan terkejut dan kesakitan.
“Walaupun tidak berdarah, saya risau jika wanita itu mengalami pendarahan dalaman. Beliau juga mengadu bahawa kakinya sakit,” tambah beliau.
Menurut Cik Siti, wanita itu tidak memahami bahasa Inggeris.
Mujur ada kakitangan di tempat pertukaran bas yang bantu terjemahkan perbualan mereka dan mereka dapat menenteramkan warga emas tersebut.
Beliau juga berkongsi bahawa mereka menghubungi anggota keluarga warga tua itu, namun anggota keluarganya tidak sempat datang ke tempat kejadian untuk membantu.
Bantuan yang Cik Siti hulurkan tidak berhenti apabila ambulans tiba.
Beliau malah secara sukarela menawarkan untuk menemani warga emas itu ke hospital.
“Pada mulanya, warga emas itu enggan dan takut ke hospital sendirian. Saya meyakinkan beliau bahawa beliau tidak akan bersendirian dan saya akan temankan beliau ke hospital,” kata Cik Siti.
Setibanya di hospital, kakitangan hospital meyakinkan Cik Siti bahawa beliau sudah boleh pulang dengan pihak hospital akan menjaga warga tua dan cuba menghubungi anggota keluarga wanita itu.
Menjelaskan mengapa beliau tergerak membantu warga emas tersebut, Cik Siti berkata adalah penting orang ramai peka terhadap persekitaran dan mengambil inisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan, terutama golongan tersebut.
“Ini kerana mereka mudah cedera dan perlu keyakinan untuk kekal aktif, tidak terkurung di rumah dan menjalani kehidupan harian tanpa rasa takut mereka akan cedera,” jelasnya.
Langkah Cik Siti menghulur bantuan itu tidak terlepas pandang.
Beliau diiktiraf oleh Jawatankuasa Penumpang Caring SG dan dianugerahkan Anugerah Richard Magnus bagi Penumpang Prihatin Cemerlang pada 9 November.
Anugerah Penumpang Prihatin telah dilancarkan pada 2019 bagi mengiktiraf penumpang pengangkutan awam yang telah memaparkan nilai dan sikap prihatin semasa perjalanan harian mereka.
Cik Siti berkata beliau terharu dan tidak sangka diberi anugerah itu dan turut berterima kasih kepada pihak SBS transit kerana menobatkannya.
“Saya tidak sangka akan diberi anugerah apabila menolong warga tua tersebut,” kata beliau.
Beliau melihat pemberian anugerah serupa itu satu inisiatif yang baik daripada Jawatankuasa Penumpang Caring SG.
“Ini akan menggalak lebih ramai orang membantu satu sama lain,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg