Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha kolektif masyarakat, pemerintah, akar umbi kunci jaya pembangunan Masjid Darul Makmur

Jun 7, 2025 | 2:50 PM
Encik K. Shanmugam, Dr Syed Harun Alhabsyi,  Saat Abdul, faishal ibrahim
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (dua dari kanan) bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri); Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi (dua dari kiri); dan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat Abdul Rahman (kiri) beramah mesra dengan jemaah di Masjid Darul Makmur pada 7 Jun. - Foto BM oleh DESMOND WEE

Usaha menyediakan ruang sementara bagi penduduk Islam di Yishun menunaikan solat berjemaah apabila Masjid Darul Makmur ditutup selama dua tahun bukan perkara yang remeh, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi.

Sebaliknya, terdapat banyak faktor logistik dan penyelarasan yang perlu dilakukan dengan melibatkan agensi serta badan dan penasihat akar umbi bagi memastikan penduduk Islam di Yishun mempunyai ruang menunaikan solat Jumaat, tarawih, Aidilfitri dan Aidiladha semasa penutupan masjid itu.

Dr Harun berkata demikian ketika ditemui media selepas solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Darul Makmur di Yishun Avenue 2 yang membuka semula pintunya kepada jemaah selepas selesai menjalani kerja naik taraf secara besar-besaran.

Tambahnya, pembukaan semula masjid itu bukti kerjasama antara lembaga pentadbir masjid, masyarakat, agensi pemerintah dan penduduk.

“Melihat jemaah dapat menunaikan hasrat mereka untuk kembali ke Masjid Darul Makmur amat menggembirakan saya. Mereka sudah lama menantikannya.

“Ia benar-benar bukti semua kerjasama yang dilakukan dalam kalangan masyarakat dengan agensi pemerintah, serta dengan penduduk juga,” kata Dr Harun.

Sepanjang penutupan masjid itu selama dua tahun, sebuah tapak sementara telah dibuka di tapak Sekolah Menengah North View di Yishun Ring Road untuk menyediakan ruang bagi penduduk Yishun menunaikan solat Jumaat, tarawih, Aidilfitri dan Aidiladha.

“Saya amat berterima kasih kepada jemaah di Nee Soon.

“Alhamdulillah kita dapat menikmati kemudahan baru di Masjid Darul Makmur sekarang dan insya-Allah kita akan lebih meningkatkan lagi masjid ini dan memakmurkannya,” ujar Dr Harun.

Antara jemaah yang menunaikan solat Hari Raya Aidiladha di masjid itu, Encik Yahya Darmawi, 36 tahun, berkata beliau teruja dapat kembali menunaikan solat Aidiladha sambil menikmati prasarana baru Masjid Darul Makmur.

Tambahnya, pengalamannya kembali ke masjid tersebut lebih bermakna kerana beliau dapat membawa anaknya, Yusuf Yahya, enam tahun, yang pernah menjalani tahnik di masjid tersebut ketika masih bayi.

“Dulu sebelum kerja naik taraf, saya tahnik anak saya di sini. Alhamdulillah, sekarang dia sudah besar, dia gembira dapat datang ke sini.

“Reka bentuk masjid ini juga sangat menarik. Dahulu rasa macam panas, tapi sekarang rasa lebih lapang untuk jemaah,” kata Encik Yahya, yang tinggal di Yishun sejak 2019.

Seorang lagi penduduk Yishun, Encik Muhammad Zainudin Yahya, 70 tahun, berkata beliau tersentuh melihat kerja naik taraf yang telah dijalankan di masjid tersebut.

Beliau, yang telah lama tinggal di Yishun sejak sebelum Masjid Darul Makmur dibuka secara rasmi pada 1987, berkata beliau gembira masjid tersebut dapat menampung lebih ramai jemaah.

Sebelum ini, Masjid Darul Makmur mampu menampung sekitar 3,000 anggota jemaah pada setiap waktu solat.

Namun, setelah projek penambahbaikan masjid tersebut dijalankan, kapasiti ruang solat dipertingkat dan kini boleh menampung sekitar 4,000 anggota jemaah.

“Baguslah sekarang ada lif. Alhamdulillah, apa yang kita nak, semua ada sekarang di masjid baru ini.

“Sekarang pun, lebih ramai jemaah dapat datang dan solat jemaah bersama. Lebih mudah dan selesa untuk semua,” kata Encik Zainudin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg