Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Usaha masjid kumpul dana Ramadan melalui pelbagai kaedah

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usaha masjid kumpul dana Ramadan melalui pelbagai kaedah

Tarik perhatian orang muda, beri kesenangan pada warga tua
Mar 10, 2024 | 05:30 AM



Menjelang Ramadan, banyak masjid di Singapura melancarkan usaha mengumpul dana bagi membiayai kos operasi dan kegiatan sepanjang bulan mulia itu, di bawah program yang biasanya dipanggil, ‘tajaan Ramadan’ atau ‘infak Ramadan’.

Dalam usaha menonjolkan diri bagi menarik perhatian anggota masyarakat Melayu/Islam untuk menyokong program infak Ramadan masing-masing, pihak masjid telah mengatur pelbagai strategi di dalam dan luar talian.

Secara umum, infak bermaksud membelanjakan harta ke jalan Allah swt.


Ini termasuk menghasilkan kandungan kreatif di media sosial dengan mesej berkaitan Ramadan, yang berakhir dengan ajakan menderma kepada program mengumpul dana secara digital.

Namun cara tradisional, seperti menderma menggunakan wang tunai di pejabat masjid atau di tabung-tabung masjid masih digunakan.

Malah masih ada masjid yang melakukan kunjungan ke rumah penderma untuk mengambil sumbangan mereka.

Cabaran mencapai sasaran

Beberapa masjid yang dihubungi Berita Minggu (BM) berkata mereka akur terdapat cabaran dalam mencapai sasaran yang ditetapkan bagi program infak Ramadan mereka dalam suasana ekonomi muram dan kos sara hidup yang meningkat kini.


Mereka juga sedar banyak pertubuhan selain masjid turut mengumpul dana sepanjang Ramadan dan khuatir berlakunya “keletihan penderma” .

“Semua masjid juga mengharapkan sumbangan daripada penderma yang sama terutama masjid yang berdekatan seperti di kawasan barat.

“Dalam masa yang sama, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, masyarakat juga mempunyai cabaran kewangan untuk menyumbang,” kata Pengerusi Eksekutif, Masjid Darussalam di Clementi, Ustaz Rashid Ramli.

Cabaran mencapai sasaran infak Ramadan turut dirasakan masjid yang sedang mengumpul dana bagi projek peningkatan masjid seperti Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Pengerusi masjid di Bedok Reservoir itu, Encik Mohamed Faizul Othman, berkata ada anggota jemaah memilih untuk menderma bagi projek peningkatan masjid kerana “infaknya yang lebih berpanjangan”.

“Kami ada menerima jemaah yang datang ke pejabat kami untuk menderma dan mereka akan tanya tentang jenis dana yang sedang kami kumpul.

“Kami beritahu bahawa kami mengumpul dana bagi program tajaan Ramadan dan projek peningkatan masjid. Kebanyakan mereka pilih untuk menderma bagi projek peningkatan masjid kerana infaknya yang lebih berpanjangan,” kata Encik Mohamed Faizul.

Sedar akan cabaran itu, masjid tersebut telah melancarkan program tajaan Ramadannya lebih awal dari biasa iaitu pada hujung Januari, sekitar sebulan setengah sebelum Ramadan.

Hingga 4 Mac, iaitu seminggu sebelum Ramadan bermula, masjid itu telah berjaya mengumpulkan $40,000, namun masih jauh daripada sasarannya sebanyak $232,000.

Cabaran mengumpul derma bagaimanapun tidak hanya dirasakan pihak masjid menjelang Ramadan.

Wadah menderma secara digital kebangsaan, giving.sg, mencatat kemerosotan dalam jumlah derma buat kali pertama pada 2023 selepas kenaikan selama empat tahun berturut-turut.

Kemerosotan itu dikatakan antara lain disebabkan inflasi dan keprihatinan terhadap kos sara hidup.

Sasaran bergantung
kepada keperluan

Sasaran tajaan Ramadan yang diletakkan masjid berbeza-beza bergantung kepada keperluan masjid.

Masjid En-Naeem di Hougang misalnya menyasarkan mengumpul $200,000.

Ia memerlukan $44,000 untuk pengagihan bubur, $92,000 untuk juadah berbuka puasa dan sahur, $15,000 untuk kurma dan minuman, $23,000 untuk program dakwah, $15,000 untuk penyelenggaraan dan prasarana, serta $11,000 untuk perbelanjaan lain seperti makanan untuk keluarga memerlukan dan rumah penjagaan.

Masjid Hang Jebat, masjid kecil di Jalan Hang Jebat dekat kawasan Queenstown, pula berharap dapat mengumpulkan $60,000 bagi menampung kos kegiatan Ramadan.

Masjid Sultan pula menyasarkan untuk mengumpul sekitar $450,000 bagi membiayai jamuan berbuka dan sahur bagi lebih 45,000 jemaah yang ia jangkakan.

Ia meletakkan kos sekitar $10 seorang, sama seperti bagi Ramadan 2023.

Masjid Darussalam pula menyasarkan mengumpul $150,000 bagi menampung perbelanjaan Ramadan yang termasuk perkhidmatan bas ulang-alik dari dua blok ke masjid itu.

Ia juga merancang mengagihkan aiskrim pada malam Ramadan pertama dan pada setiap hujung minggu bagi menarik ibu bapa datang menunaikan tarawih di masjid bersama anak-anak mereka.

Sasar setiap lapisan
masyarakat

Justeru dalam usaha mengumpul dana bagi menampung kos operasi dan kegiatan Ramadan, masjid berusaha menjangkau kepada setiap lapisan masyarakat, daripada yang muda dan mahir menggunakan teknologi, kepada yang tua yang lebih selesa menderma secara tunai.

Bagi menyasarkan golongan muda, Masjid Assyakirin di kawasan Taman Jurong telah menghasilkan beberapa video kreatif lagi lucu untuk laman media sosialnya.

Salah satu daripadanya diilhamkan daripada babak filem, Seniman Bujang Lapok, tetapi dengan mesej pentingnya mengawal nafsu dalam bulan Ramadan.


Pautan ke portal derma masjid itu tertera di akhir video, bagi menggalak penonton menyumbang kepada usaha mengumpul dananya.

Di portal itu, derma hanya boleh dibuat secara dalam talian seperti melalui pemindahan bank atau PayNow.

Di Masjid Sultan pula, selain mengumpul dana secara tradisional seperti melalui tabung masjid, orang ramai juga boleh menderma melalui pelbagai saluran digitalnya seperti di laman web, melalui PayNow dan kod QR.

“Di dalam talian, kami secara aktif mempromosikan kelebihan menyumbang semasa Ramadan, dan mempamerkan saluran sumbangan kami di pelbagai wadah media sosial.

“Bagi meningkatkan lagi akses, kod QR dan Nombor Entiti Unik (UEN) kami dipaparkan dengan jelas pada skrin siaran langsung,” kata pengurus Masjid Sultan, Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha.

Masjid Alkaff Kampung Melayu pula menawarkan khidmat pengambilan derma dari rumah bagi membolehkan warga emas yang lebih selesa menderma secara tunai, tetapi tidak dapat ke masjid untuk menderma di tabung atau pejabat atas sebab kesihatan dan sebagainya.

Dengan pilihan tersebut, individu yang mahu menderma itu hanya perlu menelefon masjid dan menyatakan hajat mereka.

Seorang asatizah dari masjid itu kemudian akan ke rumah individu tersebut dan mengambil wang yang ingin disumbang.

“Asatizah yang datang itu tidak sekadar datang mengambil duit, malah turut mendoakan penderma,” kata Encik Mohamed Faizul sambil menambah masjid itu menawarkan khidmat tersebut sejak 2022.

Masjid Darussalam turut menawarkan khidmat pengambilan derma dari rumah tetapi bagi sumbangan $500 ke atas.

“Kami pun menyediakan sampul surat yang mempunyai maklumat peribadi untuk jemaah isikan, dan pilihan bentuk sumbangan untuk Ramadan 2024.

“Sampul surat itu boleh dimasukkan ke dalam tabung dan pihak masjid akan menyediakan resit yang akan dikirim melalui pos.

“Ini bagi penderma yang kurang mahir dalam IT (Teknologi Maklumat) atau yang datang untuk menyumbang di luar waktu pejabat,” kata Ustaz Rashid.

Masjid itu turut menambah baik teks di dalam khutbah kedua yang disampaikan semasa solat Jumaat untuk mendorong jemaah memberi sumbangan derma, tambah beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >