Dalam satu pertemuan bersama Menteri Pertahanan Nasional Vietnam, Jeneral Phan Van Giang, di Hanoi pada 19 Disember, Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, telah mengesahkan semula hubungan pertahanan yang mesra antara Singapura dengan Vietnam.
Ini dilakukan dalam kunjungan kerja dua hari Encik Zaqy yang menghadiri Ekspo Pertahanan Antarabangsa Vietnam (Videx) Kedua di kota tersebut.
Satu kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 19 Disember, menyatakan bahawa dalam pertemuan tersebut, Jeneral Giang turut menyampaikan penghargaannya kepada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di atas bantuan kemanusiaan yang diberi kepada Vietnam menyusuli kejadian Taufan Yagi.
Videx diadakan dua tahun sekali dan menyatukan pengeluar, pembekal dan agensi pertahanan dan keselamatan menerusi paparan bahan pameran dan seminar teknikal.
Dalam rangka kunjungannya ke Vietnam, Encik Zaqy juga menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 pasukan tentera Vietnam People’s Army dan ulang tahun ke-35 Pesta Pertahanan Nasional All People pada 20 Disember.
Encik Zaqy juga akan mengunjungi Jawatankuasa Nasional Bagi Respons Kejadian, Bencana, Mencari dan Menyelamat (Vinasarcom) sekitar tengah hari.
Menurut Mindef, kunjungan Encik Zaqi menggariskan hubungan pertahanan yang mesra antara Singapura dan Vietnam.
“Kededua badan pertahanan berinteraksi secara tetap menerusi lawatan, dialog dua hala dan pertukaran pendapat profesional di peringkat atasan.
“Interaksi saling membawa manfaat ini memperkukuh hubungan profesional antara kededua negara,” jelas kenyataan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg