Usaha SalamSG Gives sebar keceriaan pada penghuni rumah sewa
Usaha SalamSG Gives sebar keceriaan pada penghuni rumah sewa
1,100 penerima bantuan kempen Ramadan Muis terima sumbangan biskut Raya, kek dan baucar fidyah
Lazimnya, tempoh persiapan menjelang Aidilfitri disambut dengan penuh keriangan bagi kebanyakan individu.
Namun bagi pasangan Encik Adam, 45 tahun, dan Cik Roza, 49 tahun (bukan nama sebenar), suasana itu sebaliknya membawa keresahan.
Antara persoalan yang sering menghantui fikiran mereka adalah sama ada kewangan mereka mencukupi untuk menyediakan suasana Raya yang sempurna buat dua anak lelaki mereka yang menghidap autisme.
“Saya mahu anak-anak istimewa saya tetap merasai kegembiraan Hari Raya sama seperti kanak-kanak lain,” luah Cik Roza ketika Berita Harian (BH) mengunjungi rumah sewa dua biliknya di Yishun pada 14 Mac.
Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, pendapatan Encik Adam sebagai pekerja penghantaran dan pencari nafkah tunggal ternyata tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian.
Apatah lagi, kededua anak mereka yang berusia 9 dan 10 tahun itu masih perlu menggunakan lampin pakai buang.
Bagi mereka, sebarang bentuk sokongan membawa sinar harapan.
Keluarga Encik Adam merupakan antara 1,100 penerima bantuan kempen Ramadan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), SalamSG Gives, yang menerima sumbangan seperti biskut Raya, kek, serta baucar fidyah.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pakej sokongan Ramadan bernilai $4.3 juta yang diagihkan Muis pada 2026 bagi membantu golongan memerlukan.
“Saya bersyukur kerana ini sedikit sebanyak meringankan beban saya... dengan wang yang diterima, saya dapat beli barang dapur dan siapkan masakan Raya buat anak-anak,” ujar Cik Roza yang telah menerima bantuan kewangan Muis sejak 2021.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam – yang juga penasihat akar umbi GRC Nee Soon – turut turun padang menggembleng tenaga bersama relawan yang hadir serta berinteraksi dengan penerima bantuan di Yishun Street 22.
Mereka turut disertai oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.
Kakitangan dan relawan Masjid Darul Makmur yang terletak di Yishun, telah bekerjasama bagi menjayakan usaha SalamSG Gives dan pada masa yang sama mendekati penerima zakat.
Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abd Manaf berkata:
“Tahun ini (2026), kami telah menggembleng tenaga dengan relawan masjid untuk sama-sama menerapkan nilai 3S – syukur, sopan dan santun. Kami harap inisiatif ini dapat diperluaskan untuk sama-sama memberi manfaat kepada lebih ramai penerima bantuan, zakat dan juga masyarakat umum.”
Ditemui BH, pegawai pembangunan sosial Masjid Darul Makmur, Ustazah Nur Insyirah Ibrahim berkata usaha begini penting bagi memastikan golongan kurang bernasib baik tidak rasa terpinggir.
“Mereka adalah golongan berpendapatan rendah. Apabila mereka terima bantuan, mereka sangat menghargai.
“Melalui inisiatif ini, kita dapat memberitahu mereka bahawa kesusahan mereka boleh diatasi bersama dengan sokongan Muis, masjid dan masyarakat lain,” ujarnya.
Sejak awal Februari, masjid-masjid di Singapura termasuk Masjid Darul Makmur, Masjid Al-Iman, Masjid Mujahidin, Masjid Jamae Chulia, Masjid Kampong Delta dan Masjid Al-Abdul Razak telah menganjurkan acara SalamSG Gives bagi meraikan semangat memberi dan kesukarelawanan masyarakat.
Kakitangan Muis juga telah pergi dari pintu ke pintu untuk menyampaikan habuan biskut Hari Raya kepada penerima zakat, penerima bantuan jangka panjang ComCare dan penduduk dari institusi serta rumah kebajikan berbeza.
Mengulas, Dr Faishal berkata:
“Kemurahan hati yang ditunjukkan oleh masyarakat Islam kita melalui sumbangan zakat mencerminkan semangat sebenar nilai-nilai Islam – iaitu saling mengambil berat dan memastikan tiada sesiapa ketinggalan.”
Secara keseluruhan, Muis mengagihkan pakej sokongan Ramadan bernilai $4.3 juta, bertujuan membantu kepada lebih 10,500 individu memerlukan sepanjang bulan.
Pakej tersebut terdiri daripada dana zakat bernilai $3.5 juta dan sumbangan fidyah bernilai $800,000.

