Walaupun sudah tiga tahun (sejak 2022) mengendalikan syarikat pengurusan acara, Spendour Events, yang mengusahakan jualan di pusat beli-belah, Cik Nur Asyiqin Jumato, 40 tahun, biasanya tidak berani mengadakan acara melebihi tempoh seminggu.
Namun, buat kali pertama sempena bulan mulia Ramadan, beliau mengorak langkah berani dengan menganjurkan acara jualan selama dua minggu di pusat beli-belah, Causeway Point.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Asyiqin berkongsi bahawa keyakinannya melanjutkan tempoh jualan didorong kepercayaan usahawan yang menyewa reruai dan sudah bersamanya sejak awal lagi.
Dengan kerjasama syarikat penganjur acara NOMAD Ventures, mereka akan mengadakan sehingga dua acara di pusat beli-belah yang berbeza hampir setiap bulan.
Lokasi seperti Waterway Point, Jurong Point, Century Square, East Point dan Lot One turut menjadi pilihan menganjurkan acara jualan, berpandukan demografik setiap lokasi dan keupayaannya ‘memancing’ pelanggan.
Walaupun pada awalnya hanya bergerak dengan empat penjual, Spendour Events, kini mampu mengisi ruang yang disediakan dengan sehingga 40 reruai bagi setiap acara.
Bagi Cik Asyiqin, matlamat Spendour Events bukan sekadar merebut peluang perniagaan, bahkan menyediakan wadah untuk membantu peniaga kecil-kecilan membina jenama mereka.
Selain membangunkan Spendour Events, sejak 2008, Cik Asyiqin juga merupakan pemilik syarikat busana, Ilham Empire, yang menjual pakaian tradisional Melayu untuk kaum lelaki dan wanita daripada saiz kecil hinga 8XL.
“Pada waktu itu, hampir tiada pemilik dalam kalangan masyarakat Melayu yang mengadakan acara jualan di pusat beli-belah. Kebanyakan acara diterajui pengusaha kaum lain.
“Saya mahu mengumpulkan usahawan Melayu/Islam tempatan kita, membantu mereka mendapatkan ruang perniagaan di pusat beli-belah di seluruh Singapura untuk menyerlahkan jenama Melayu,” jelasnya.
Ramai telah berjaya membina perniagaan stabil menerusi Spendour Events, yang secara langsung, mengukuhkan kepercayaan antara pengasasnya dengan pelbagai peniaga.
“Dalam setiap acara yang saya adakan, sekurang-kurangnya setengah daripada mereka adalah pemilik jenama tetap.
“Dengan keyakinan yang diberikan oleh mereka, saya cadangkan agar kami mengusahakan acara jualan dengan tempoh lebih panjang,” kata beliau.
Antara peniaga yang mengikuti acara Spendour Events termasuk Panna Cotta by Rohimini, yang menjual pencuci mulut berasal dari Italy; Btweens, yang menjual baju kanak-kanak hingga 12 tahun; Marisa, yang menjual kuih-muih sempena Hari Raya; dan Qissoh, yang meniaga buku kanak-kanak daripada pelbagai penulis antarabangsa.
Namun, bak peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Dalam setiap usaha, pasti wujud kesukaran.
Salah satu cabaran utama yang Cik Asyiqin hadapi ialah mencari vendor yang komited.
“Banyak perkara yang perlu diuruskan, dari segi pemasaran, mengatur bayaran oleh pihak peniaga dan pusat beli-belah, serta menjaga kesejahteraan pelbagai pihak.
“Mengejar pihak peniaga untuk bayaran deposit adalah satu tugas yang saya tidak gemari,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Cik Asyiqin tegas mengurus tanggungjawabnya yang kini lebih besar.
“Saya sedar akan tanggungjawab yang semakin besar, tetapi saya berpegang teguh pada amanah yang diberikan dan akan terus berusaha sebaik mungkin,” kata beliau.
Dengan pengalaman lebih sedekad dalam bidang keusahawanan, Cik Asyiqin turut menasihatkan usahawan baru agar tidak takut untuk bermula secara kecil-kecilan dahulu.
Meninjau masa depannya, Cik Asyiqin bercita-cita untuk memperluaskan lagi acara Spendour Events ke lebih banyak lokasi dan menarik lebih ramai peniaga.
“Saya sendiri bermula dengan modal hanya $500. Perniagaan ini penuh dengan cabaran, tetapi daripada kegagalan, kita belajar,
“Apabila peniaga sertai Spendour, saya mahu mereka rasa seperti sebahagian daripada keluarga besar kami. Kita jaga satu sama lain.
“Dengan itu, saya menggalakkan semua peniaga agar memulakan perniagaan mereka melalui acara sebegini bagi mengembangkan rangkaian profesionalisme mereka,” ujarnya.
“
Saya mahu mengumpulkan usahawan Melayu/Islam tempatan kita, membantu mereka mendapatkan ruang perniagaan di pusat beli-belah di seluruh Singapura untuk menyerlahkan jenama Melayu.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg