Anda mungkin tidak melihat sebarang produk di bawah jenama mereka, tetapi dua usahawan tempatan ini bekerjasama untuk membawa makanan jalanan ‘asing’ ke bazar Singapura, bermula dengan Bazar Raya Geylang Serai.
Encik Shahrudy Sahrudin, 41 tahun, dan rakan niaganya, Cik Rosnani Jumaat, 40 tahun, merupakan penggerak di sebalik kehadiran Roti Awan dari Pulau Pinang ke bazar yang dinanti-nantikan pada 2025.
Walaupun mereka bukan pemilik jenama itu, kededuanya berjaya memujuk pemilik Roti Awan, Cik Hasniza Salleh, 38 tahun, supaya membuka gerai di bazar yang berlangsung sehingga 30 Mac itu.
“Ia masih di peringkat awal, tetapi tanda-tandanya cukup memberangsangkan,” kata Encik Shahrudy kepada Berita Harian (BH).
Menurut beliau, matlamat utama mereka bukan sekadar menjual makanan, malah mencipta pengalaman baru untuk pelanggan setempat.
“Kami mahu orang Singapura mencuba sesuatu yang segar dan menarik, sambil terus menyokong industri makanan jalanan yang semakin berkembang,” jelas beliau.
Jika percubaan itu berjaya, Encik Shahrudy merancang membawa lebih banyak jenama makanan dari luar negara ke bazar Singapura menerusi syarikat Caffeine & Foam, yang dimiliki secara bersama dengan Cik Rosnani.
Menurut Encik Shahrudy, beliau terdorong membawa jenama makanan luar ke Singapura setelah melihat kejayaan beberapa jenama makanan jalanan lain yang semakin berkembang.
Lawatannya ke Pulau Pinang pada Disember 2023 mengukuhkan keyakinannya untuk membawa Roti Awan ke Singapura.
“Saya sendiri mencuba Roti Awan di Pulau Pinang dan mendapat idea membawanya ke sini.
“Jadi, saya terus menghubungi Cik Hasniza melalui media sosial dan mengemukakan cadangan perniagaan,” jelasnya.
Namun, untuk membawa jenama luar ke Singapura bukan mudah. Dari segi logistik, mereka perlu memastikan produk memenuhi piawaian tempatan dan merancang operasi harian gerai di bazar.
Encik Shahrudy juga perlu meyakinkan Cik Hasniza jenamanya boleh berjaya di Singapura.
“Beliau agak ragu-ragu pada mulanya, tetapi setelah berbincang dan membentangkan pelan perniagaan, beliau akhirnya bersetuju,” kata beliau.
Dari segi kewangan, Encik Shahrudy dan Cik Rosnani mengeluarkan modal sebanyak $25,000 untuk menampung kos sewa gerai, serta pembayaran kepada Cik Hasniza untuk pembelian bahan mentah dan kos penghantaran dari Malaysia ke Singapura.
“Kami tidak mengambil produk mereka dan hanya memainkan peranan sebagai ejen jualan. Sebaliknya, kami membayar pemilik Roti Awan untuk mendapatkan hak menjual produk ini di Singapura.
“Selain bayaran royalti sebanyak tujuh peratus kepada pemilik Roti Awan, semua jualan dan keuntungan daripada gerai bazar adalah milik kami sepenuhnya,” jelas Encik Shahrudy.
Walaupun Roti Awan merupakan projek sulung mereka di bawah jenama Caffeine & Foam, mereka mempunyai visi lebih besar.
Mereka berhasrat membawa lebih banyak jenama makanan jalanan terkenal ke Singapura, termasuk Thailand hingga sejauh Mexico.
Malah, mereka sudah merancang untuk menyertai acara seterusnya pada Mei atau Jun ini dengan membawa satu lagi jenama makanan dari luar negara.
Sebagai sebahagian daripada komitmen sosial mereka, sebahagian daripada keuntungan jualan Roti Awan di Bazar Raya Geylang Serai juga akan disalurkan kepada My Inspiring Journey (MIJ), sebuah organisasi yang membantu kanak-kanak keperluan khas di Singapura.
Sebanyak tujuh peratus daripada keuntungan mereka akan disalurkan kepada MIJ untuk membantu mereka meneruskan kerja amal yang mereka lakukan.
Dengan inisiatif itu, Encik Shahrudy berkata perniagaan tersebut bukan sahaja membawa inovasi kepada industri makanan jalanan di Singapura, bahkan menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Bagi kami, perniagaan bukan sekadar mencari keuntungan, tetapi juga tentang memberi kembali kepada masyarakat.
“Harapan kami adalah agar setiap pembelian bukan hanya memuaskan selera, bahkan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg