Syarikat Melayu setempat digalak memanfaatkan sumber yang ada dan program latihan dalam meningkatkan operasi serta pendekatan kepada pelanggan menerusi perkhidmatan perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Justeru, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, menggesa syarikat tersebut memanfaatkan geran sedia ada di sini.
Demikian semasa acara Penyelesaian Digital dan Kemahiran Insaniah dalam Mengatasi Cabaran F&B yang diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) anjuran SSA Academy dan SkillsFuture Singapura (SSG) pada 1 Ogos, Encik Fahmi berkata:
“Penting bagi pemilik jenama ini memahami bantuan sedia ada daripada pemerintah.
“Ini termasuk geran seperti Geran Pembangunan Perusahaan dan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG).”
Beliau juga menekankan bahawa kemahiran seperti berkomunikasi secara berkesan perlu dipertingkat dalam kalangan kakitangan mereka sebagai usaha menarik pelanggan.
“Acara ini bertujuan menunjukkan usaha yang boleh dilakukan bukan sahaja dari sudut kemahiran, bahkan sokongan pemerintah.
“Apa yang penting ialah mereka juga perlu mempertingkatkan kemahiran mereka, seperti cara berkomunikasi dengan lebih berkesan,” tambah Encik Fahmi.
Acara tersebut dihadiri lebih 50 peserta, termasuk sekitar 30 peserta daripada sektor F&B halal yang terdiri daripada pemimpin industri, usahawan dan pakar industri.
Antara lain, mereka berpeluang menjalin rangkaian hubungan, berkongsi pandangan mengenai perniagaan dan mengikuti perbincangan panel.
Panel perbincangan termasuk pemilik restoran Kucina, Cef Gero DiMaria; pengasas Crave Nasi Lemak dan pemilik Selera Nasi Lemak, Encik Abdul Malik Hassan; serta pengasas Brandtok, Encik Sam Heedy.
Brandtok adalah syarikat perunding pemasaran TikTok yang pakar dalam mencipta kandungan video tular untuk jenama.
Melalui sesi perkongsian itu, ia bertujuan memberi idea baru dan pandangan kepada pemilik perniagaan yang berhasrat mempertingkat imej jenama digital, termasuk di media sosial.
Salah seorang peserta sesi itu ialah Encik Andy Idris, 35 tahun, yang baru bertapak dalam perniagaan jualan air dari balang, yang dinamakan Balang Kepalang enam bulan lalu.
Sebagai pemilik perniagaan baru, beliau menghadiri acara itu untuk mengetahui secara lebih terperinci selok-belok perniagaan, termasuk memasarkan produk.
“Dengan berbagai-bagai nasihat yang ada di luar sana, saya ingin mempelajari dengan lebih terperinci cara yang terbaik bagi perniagaan saya.
“Sebelum ini, saya tidak tahu kandungan yang dimuat naik ke platform Instagram dan sebagainya, masing-masing perlu cara tersendiri.” kata Encik Andy.
Encik Andy juga bertanya kepada Encik Sam cara-cara terbaik menerbitkan video di wadah media sosial tanpa menunjukkan muka.
“Luaskan sumber idea dan lihat pereka dari luar negara seperti Khairul Aming, pempengaruh media sosial yang dikenali oleh cara beliau mengenalkan diri dalam video,” ujar Encik Sam.
Selain melebihkan kandungan mereka di wadah sosial media, acara itu turut memberi ilham kepada Encik Andy mengembangkan proses penjualan melalui wadah dalam talian seperti Oddle Eats.
Beliau turut mempunyai matlamat membuat pesanan secara automatik, yang kini dilakukannya secara manual di Instagram.
Pemilik Mahmud’s Tandoor, Encik Muhammad Siraj Abdul Aziz, 35 tahun, dan Cik Nasyirah Parveen Mahmud Hussin, 32 tahun, pula berkata ada faedah membawa perniagaan mereka ke wadah digital.
Pasangan itu, yang mula menjual ayam tanduri secara sambilan dari rumah di tengah-tengah pandemik pada 2020, kini mempunyai kedai fizikal. Mereka kini mempunyai 13,000 pengikut di Instagram.
“Ramai menggunakan telefon bijak semasa Covid-19. Mereka sama ada berselera untuk mencuba makanan baru, atau sedang mencari makanan semasa bekerja dari rumah pada ketika itu.
“Ini adalah peluang untuk kami mempromosikan perniagaan kami, jadi kami mulakan promosi di Instagram dan Facebook,” kata Encik Siraj.
Kini, reruai Mahmud’s Tandoor terletak di sebuah lokasi yang dikongsi dengan peniaga lain, di Curbside Crafters, 730 North Bridge Road, pada April 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg