Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Burger tanduri jadi pilihan pasangan niaga

Pada masa kini, pintu depan tidak semestinya dijadikan sebagai pintu masuk ke kedai. Adakala, strategi perniagaan menyebabkan pintu belakang digunakan sebagai pintu masuk – sekali gus memberikan pengalaman unik kepada pelanggan. BERITA HARIAN menemui dua pemilik kedai makan di kawasan Kampong Gelam yang menawarkan pintu belakang kedai untuk menyambut pelanggan.
Nov 18, 2023 | 5:30 AM
MULA NIAGA: Encik Muhammad Siraj Abdul Aziz dan Cik Nasyirah Parveen Mahmud Hussin, membuka Mahmud’s Tandoor di lokasi yang dikongsi dengan peniaga-peniaga lain, di Curbside Crafters, 730 North Bridge Road, pada April 2023. 
MULA NIAGA: Encik Muhammad Siraj Abdul Aziz dan Cik Nasyirah Parveen Mahmud Hussin, membuka Mahmud’s Tandoor di lokasi yang dikongsi dengan peniaga-peniaga lain, di Curbside Crafters, 730 North Bridge Road, pada April 2023.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menutup perniagaan dari rumah (HBB) selama setahun kerana kelahiran anak sulung pada 2022 membuat pasangan suami isteri jadi rindu untuk berniaga semula.

Pasangan itu, Encik Muhammad Siraj Abdul Aziz, 34 tahun, dan Cik Nasyirah Parveen Mahmud Hussin, 31 tahun, telah menjual ayam tanduri secara sambilan di tengah pandemik pada 2020.

Watch on YouTube

Menggunakan resepi tanduri ayam milik bapa Cik Nasyirah dari Pakistan, pasangan itu memberikan cita rasa moden dan memperbaharui resepi tersebut sehingga terciptalah ‘burger tanduri’.

Mengendalikan perniagaan dari rumah selama sekitar setahun dan kemudian berhenti untuk hampir setahun lagi memberi kesedaran kepada pasangan itu bahawa mereka rasa seronok berniaga bersama.

Mereka juga telah memasarkan perniagaan menerusi penglibatan dalam acara menjual makanan seperti di Artbox dan Twilight Fest dan mereka telah menerima sambutan yang memberangsangkan.

“Dulu lepas kerja pada Jumaat, kami mula buat persiapan pesanan burger tanduri untuk dihantar pada Sabtu dan Ahad. Isnin, kerja seperti biasa dan Jumaat malam, rutin berniaga mula lagi,” kongsi Encik Siraj.

Cik Nasyirah menambah, mereka pun tidak faham bagaimana pada masa itu mereka berdua mempunyai tenaga untuk bekerja sepenuh masa sambil berniaga.

Pada masa itu Cik Nasyirah seorang guru manakala Encik Siraj seorang penulis.

Selepas lahir anak pertama, pasangan itu berasa sesuatu yang tidak lengkap dalam diri mereka setelah tidak lagi berhenti sekitar setahun.

Membulatkan tekad dan meninggalkan pekerjaan sepenuh masa mereka, Encik Siraj dan Cik Nasyirah berjuang sebagai peniaga dan membuka Mahmud’s Tandoor di lokasi yang dikongsi dengan peniaga lain, di Curbside Crafters, 730 North Bridge Road, pada April 2023.

Walaupun resepi ayam tanduri adalah dari Pakistan, kentang goreng mereka pula diilhamkan perisa rempah masala, bagi melambangkan Encik Siraj yang berbangsa India.

“Kami telah mengubah suai resepi tanduri daripada bapa Syirah kerana mendapati rempah dan perisa tanduri asal terlalu kuat untuk cita rasa orang Singapura. Tetapi perap tanduri kami tetap menggunakan hingga 15 jenis rempah,” kongsi Encik Siraj.

Mahmud’s Tandoor menyediakan dua jenis burger – OG Baked Tandoori Burger dan Crispydoori Burger. Satu ayamnya dibakar dan satu lagi digoreng.

Harga kededua burger bermula daripada $12.

Kentangnya juga diberikan dua pilihan, kentang masala sahaja ataupun kentang masala ditambah ayam tanduri bersama sos mayo harissa dan sos pudina yang dinamakan Loaded Fries.

Pilihan kentang jika dibeli berasingan bermula daripada harga $4.

MAHMUD’S TANDOOR: Kotak kiri ialah Crispydoori Burger bersama Loaded Fries ($17) dan kotak kanan ialah OG Baked Tandoori Burger dengan Masala Fries serta sos mayo harissa ($15).
MAHMUD’S TANDOOR: Kotak kiri ialah Crispydoori Burger bersama Loaded Fries ($17) dan kotak kanan ialah OG Baked Tandoori Burger dengan Masala Fries serta sos mayo harissa ($15). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Walaupun ruang kedai mereka kecil dan terletak di hujung Curbside Crafters, ia juga bersebelahan pintu belakang. Dengan itu, Encik Siraj dan Cik Nasyirah telah menggunakan pintu belakang itu sebagai tempat masuk langsung ke kiosk mereka.

Pelanggan boleh mengakses ke kiosk itu menerusi Kandahar Street dan masuk dari pintu belakang.

MAKAN DI RUANG BELAKANG KEDAI: Wartawan Kaki Makan, Dahlia Zulkifli (kiri) dan Nur Syuhrah Hassan (kanan) menjamu selera di ruang belakang Mahmud’s Tandoor menerusi laluan Kandahar Street. Ia juga boleh diakses dari depan di 730 North Bridge Road.
MAKAN DI RUANG BELAKANG KEDAI: Wartawan Kaki Makan, Dahlia Zulkifli (kiri) dan Nur Syuhrah Hassan (kanan) menjamu selera di ruang belakang Mahmud’s Tandoor menerusi laluan Kandahar Street. Ia juga boleh diakses dari depan di 730 North Bridge Road. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Kami telah tambahkan kerusi meja di luar jika pelanggan ingin makan dengan suasana yang lebih unik. Jika tidak, mereka juga boleh duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan Crubside Crafters,” kata Cik Nasyirah.

Menu di Mahmud’s Tandoor terhad tidak seperti tempat makan lain dan ini adalah satu langkah yang disengajakan oleh pemilik.

Encik Siraj menjelaskan mereka ingin menawarkan menu sedemikian kerana tidak mahu ia menjejas mutu.

“Seperti rangkaian makanan segera kecil Amerika misalnya In-N-Out, Chick-fil-A, francais mereka tidak besar. Mereka dianggap kecil dan mempunyai peminat dan pengikut setia.

“Itulah antara matlamat kami, agar ada peminat yang akan ikut perkembangan dan juga makanan kami kerana mutu hidangan kami memuaskan hati mereka.

“Bagi kami, perniagaan ini bukan sahaja perkembangan untuk menjadi lebih besar. Malah, mungkin kami boleh buka lebih gerai atau kiosk kecil untuk berikan khidmat yang kami rasa selesa,” jelas Encik Siraj apabila ditanya apakah rancangannya untuk Mahmud’s Tandoor pada masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg