Bagi Cik Azizah Abdul Rahim, usia bukan hambatan untuk beliau menjalani kehidupan yang bermakna.
Pada usia lanjut itu, beliau yang berusia 70 tahun giat meluangkan masanya sebagai sukarelawan di pusat Aces Care di mana beliau membantu dalam mengendalikan talian bantuan Aces HelpLife pusat itu.
Bagi Cik Azizah, ini merupakan salah satu cara baginya untuk keluar berinteraksi dengan orang ramai, selain daripada minatnya untuk membantu golongan warga senja yang seusia dengannya.
“Inilah cara saya menjadi aktif secara mental.
“Saya juga mempunyai banyak masa terluang selepas bersara jadi mengapa tidak menggunakannya dengan melakukan sesuatu yang bermanfaat,” katanya kepada Berita Minggu semasa ditemui di pusat yang terletak di Ang Mo Kio Avenue 1 itu.
Pesara itu sudah berkecimpung dalam bidang kesukarelawanan sejak 13 tahun lalu dan menyertai Aces Care pada 2023, sejak bersara daripada tugasnya sebagai kakitangan pusat panggilan di sebuah syarikat pengangkutan pada 2013.
Khidmat yang diberikan Cik Azizah selaku sukarelawan di pusat itu termasuk menerima panggilan daripada warga emas melalui talian bantuan mereka, Aces HelpLife.
Antara jenis panggilan yang diterimanya termasuk warga emas yang kesunyian dan mahukan teman untuk berbual, manakala ada pula yang inginkan bantuan dalam melakukan hal kerja rumah seperti menukar bal lampu.
Selain itu, beliau turut ‘turun padang’ untuk bertemu golongan warga senja di kawasan sekitar pusat itu melalui beberapa program yang dijalankan, seperti mengagihkan risalah berkaitan kegiatan yang berlangsung.
“Sebagai seorang sukarelawan di sana, saya bebas memilih waktu tugasnya.
“Ini memberi saya kelonggaran untuk melakukan rutin ini mengikut jadual saya,” tambahnya yang meluangkan dua atau tiga hari seminggu selama tiga jam bagi setiap sesi sebagai sukarelawan di Aces Care.
Cik Azizah berkata memandangkan beliau pernah menjadi sukarelawan di pertubuhan lain, ilmu yang pernah ditimbanya sebelum ini dimanfaatkan di pusat tersebut.
“Di Aces, kami perlu belajar untuk menilai intonasi seseorang itu, sama ada mereka sedang bersedih, marah atau gembira setiap kali kami menerima panggilan,” ujarnya, yang juga pernah menjadi sukarelawan di Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).
Menurut beliau, Aces Care menerima sekitar lima panggilan dalam satu syif, dan bergantung kepada keadaan kes, para relawan akan membuat panggilan susulan untuk mengawasi pemanggil itu.
Menceritakan pengalamannya sebagai sukarelawan di pertubuhan tersebut, Cik Azizah berkata beliau berpeluang berinteraksi dengan warga emas lain seusia dengannya daripada pelbagai latar belakang.
Ditanya apakah sebab utama warga emas membuat panggilan ke pusat itu, beliau berkata kesunyian merupakan puncanya.
“Ramai penduduk berusia di sekitar kawasan ini (Ang Mo Kio) hidup sendirian, jadi melalui panggilan inilah mereka dapat berbual dengan orang lain.
“Saya juga menasihati pemanggil untuk keluar dan menyertai program bagi warga emas yang dijalankan di sini, supaya mereka dapat berinteraksi dengan orang lain dan tidak menyendiri sahaja,” jelasnya.
Memetik satu kes yang menyayat hatinya adalah apabila beliau perlu membantu seorang penghidap angin ahmar yang lumpuh separuh badan dan tinggal dalam keadaan yang mencabar, dengan rumahnya dipenuhi pepijat.
“Keadaannya yang memilukan membuat saya rasa hiba, sehingga memberitahu rakan saya untuk membantu dengan apa yang diperlukan,” cerita beliau yang kemudian menyalurkan kes itu kepada Aces Care untuk memberikan bantuan.
Namun, tidak semua interaksi yang beliau lalui pahit sahaja.
Menurut Cik Azizah, antara pengalaman yang tidak dapat beliau lupakan adalah apabila seorang yang pernah beliau bantu mengenalinya di luar waktu tugasan dan mengucapkan terima kasih kerana membantunya.
“Ia merupakan saat yang tidak dapat saya lupakan kerana saya tidak sangka beliau masih mengenali saya,” kata beliau.
Cik Azizah berpandangan, penting bagi golongan warga emas untuk membina hubungan dengan keluarga dan teman-teman serta mereka yang seusia sebagai satu cara untuk mengekalkan kesihatan mental mereka.
“Jika mereka tidak mempunyai hubungan keluarga ataupun teman, ia boleh memberi kesan buruk kepada keadaan mental mereka.
“Justeru kami akan membantu mereka dalam apa jua cara supaya tiada apa yang berlaku,” jelasnya.
Selain daripada melakukan kerja kesukarelawanan, Cik Azizah, yang sudah mendirikan rumah tangga selama 48 tahun dan mempunyai dua orang anak serta enam orang cucu, juga meluangkan masanya mempelajari ilmu agama di masjid berdekatan rumahnya, di samping meluangkan masa bersama keluarganya.
“Saya cuba berkumpul bersama keluarga sekurang-kurangnya seminggu sekali. Sokongan keluarga juga adalah penting bagi saya untuk lebih semangat dalam membantu orang lain,” katanya.
Baginya, rutin sebeginilah yang membantunya membina dan mengekalkan hubungan baik dengan ahli keluarga dan teman-teman sambil mengekalkan kesihatan mentalnya.
“Terdapat kepuasan apabila saya dapat melakukan sesuatu yang memberi manfaat, kepada diri saya dan juga orang lain,” ujarnya.
“
Inilah cara saya menjadi aktif secara mental. Saya juga mempunyai banyak masa terluang selepas bersara jadi mengapa tidak menggunakannya dengan melakukan sesuatu yang bermanfaat.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg