Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsia meningkat, tubuh kekal kuat: Warga emas kongsi manfaat senaman dan persahabatan
Tinjauan mendapati kebanyakan warga emas percaya bahawa kemerosotan keupayaan fizikal dan fungsi tubuh merupakan sebahagian daripada proses penuaan. Tiga warga Singapura berkongsi bagaimana tindakan kekal aktif dan berhubung dengan orang lain membantu mereka mengelakkan keadaan itu.
Usia meningkat, tubuh kekal kuat: Warga emas kongsi manfaat senaman dan persahabatan
Dengan sebelah tangan berpaut pada dinding, Encik Joseph Wong bergerak perlahan-lahan mengelilingi flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) miliknya.
Selama dua minggu pada Jun 2025, kecederaan buku lali yang terseliuh teruk menyebabkan rutin hariannya menjadi amat sukar.
Pesara berusia 61 tahun yang masih bujang itu tinggal bersama empat kucing, seekor anjing dan dua burung.
Dua kali sehari, beliau membersihkan rumah, memberi makan kepada haiwan peliharaannya dan kemudian membersihkan kawasan yang dikotorkan haiwan tersebut.
Biasanya, semua kerja itu mengambil masa sejam. Namun, akibat kecederaan buku lalinya, beliau memerlukan dua jam untuk menyelesaikannya.
“Sebaik sahaja selesai, saya terlalu letih hingga terpaksa baring dan berehat,” katanya.
Encik Wong masih ingat ketika muda, kecederaan terseliuh seperti itu biasanya hanya menyebabkan kesakitan sehari atau dua.
Namun kali ini, beliau mengambil masa lebih dua minggu untuk pulih. Tempoh pemulihan lebih lama itu membimbangkan Encik Wong.
Beliau menganggapnya sebagai tanda usianya semakin meningkat.
Bagaimanapun, keadaan itu mungkin mempunyai kaitan dengan faktor lain, menurut Profesor Wang Yibin, Pengarah Program Penyelidikan Utama Gangguan Kardiovaskular dan Metabolik di Sekolah Perubatan Duke-NUS.
Profesor Wang berkata tubuh yang mengambil masa lebih lama untuk pulih selepas terjatuh, mengalami kecederaan, atau terkena jangkitan menunjukkan tanda-tanda kerapuhan (frailty), atau mungkin dalam keadaan prakerapuhan (pre-frailty).
Beliau menjelaskan kerapuhan fizikal berlaku apabila tubuh semakin kurang berupaya menghadapi dan pulih daripada penyakit, kecederaan atau tekanan.
Seperti ramai orang lain, Encik Wong tersalah anggap tanda-tanda tersebut sebagai kesan penuaan yang tidak dapat dielakkan.
Satu tinjauan melibatkan lebih 800 responden di Singapura, terdiri daripada individu berusia 50 tahun ke atas dan penjaga, mendapati 73 peratus percaya kerapuhan fizikal merupakan sebahagian daripada proses penuaan yang berlaku secara semula jadi dan tidak dapat dielakkan.
Tinjauan itu dijalankan atas permintaan SPH Media dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).
Responden dipilih daripada Rangkaian Audiens Kantar Profiles, dengan temu bual dijalankan antara Ogos dengan September 2026.
Kantar Profiles ialah sebuah syarikat penyelidikan pasaran bebas.
Kebanyakan responden juga percaya kerapuhan fizikal bermula sekitar usia 60 tahun, dengan 72 peratus mengaitkan keadaan itu dengan peringkat usia tersebut.
“Hakikatnya, banyak fungsi tubuh kita mula merosot seawal usia 30 tahun,” jelas Profesor Wang.
Kebanyakan orang membayangkan kerapuhan fizikal sebagai keadaan seseorang yang tidak stabil ketika berdiri atau berjalan.
Namun, keadaan itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, menurut Profesor Wang Yibin, Pengarah Program Penyelidikan Utama Gangguan Kardiovaskular dan Metabolik di Sekolah Perubatan Duke-NUS.
Profesor Wang berkata terdapat tiga aspek utama kerapuhan:
• Fizikal: Apabila jisim dan kekuatan otot berkurangan, menyebabkan pergerakan semakin sukar.
• Fungsi tubuh: Apabila seseorang lebih kerap jatuh sakit dan mengambil masa lebih lama untuk pulih.
• Kognitif dan psikologi: Apabila daya ingatan, keupayaan berfikir, emosi dan kemampuan menangani tekanan terjejas.
Profesor Wang mengetuai Penyelidikan Mekanisme dan Inovasi Klinikal bagi Diagnosis dan Rawatan Sarkopenia (MAGNET), sebuah inisiatif penyelidikan seluruh negara bernilai $10 juta yang memberi tumpuan kepada kehilangan otot akibat penuaan dan penyakit, atau dikenali sebagai sarkopenia.
Dilancarkan pada 2025, MAGNET mendapat sokongan Yayasan Penyelidikan Nasional Singapura (NRF).
Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk mencegah kerapuhan fizikal?
Salah satu caranya ialah dengan membina jisim dan kekuatan otot melalui latihan yang sesuai.
Wang menjelaskan bahawa sebagai organ terbesar dalam tubuh dari segi berat, otot juga memainkan peranan penting bagi banyak fungsi organ lain, termasuk kesihatan metabolik.
Otot menyimpan tenaga dan bahan penting yang diperlukan tubuh, seperti asid amino, sebelum melepaskannya apabila diperlukan.
Otot juga menghantar isyarat hormon kepada organ lain bagi membantu memastikan pelbagai sistem dalam tubuh berfungsi secara seimbang, ujar Profesor Wang.
Apabila mengalami sarkopenia, warga emas lebih berisiko menghidap masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis dan penyakit jantung.
Beliau menambah bahawa keadaan itu juga boleh mempercepat kemerosotan sistem imun dan kesihatan otak.
Hari-hari penuh manfaat
Kekal aktif ialah antara cara terbaik untuk mencegah kerapuhan fizikal, dan Cik Trindy Ho, 63 tahun, menjadikan kegiatan fizikal sebahagian daripada rutin mingguannya.
Setiap Selasa, pada 9 pagi, beliau menuju ke Pusat Borong Pasir Panjang untuk melakukan kegiatan yang dianggapnya sebagai “senaman” mingguannya.
Di sana, beliau menyertai sekumpulan sukarelawan lain. Biasanya, antara 10 dengan 15 sukarelawan bertugas dalam setiap sesi.
Dengan memakai apron merah, para sukarelawan itu berjalan pantas mengelilingi pusat borong seluas 152,488 meter persegi tersebut, kira-kira sebesar 21 padang bola sepak, sambil menolak troli sepanjang dua meter.
Cik Ho mengangkat sekotak pisang seberat 18 kilogram dengan mudah sebelum menyusunnya di atas troli.
Mereka ialah anggota pasukan penyelamat makanan di bawah Komuniti Mengisi Semula Peti Sejuk SG (FRC), sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan yang dikendalikan sukarelawan.
Pertubuhan itu menyelamatkan hasil tanaman yang tidak terjual dan mengagihkannya semula kepada golongan memerlukan.
Dari satu gerai ke gerai lain, para sukarelawan itu bertanya kepada pengedar sama ada terdapat buah-buahan dan sayur-sayuran yang hendak dibuang.
Cik Ho telah menjadi sukarelawan FRC selama hampir tiga tahun.
Setiap sesi menyelamatkan makanan berlangsung kira-kira empat jam.
“Menjelang akhir sesi, saya biasanya sudah berjalan hampir 8,000 langkah,” kata Cik Ho.
FRC hanya satu daripada beberapa pertubuhan yang menerima sumbangan masa dan tenaga Cik Ho, yang mempunyai dua anak dewasa berusia dalam lingkungan 30-an tahun.
Kira-kira tiga dekad lalu, beliau meninggalkan pekerjaan dalam sektor korporat selepas melahirkan anak pertamanya dan menjadi ejen hartanah.
Waktu kerja lebih fleksibel memberinya peluang melakukan kerja sukarela, yang disifatkannya sebagai cara “menyumbang kembali kepada masyarakat” dan “mengisi masa dengan kegiatan bermakna sambil kekal aktif”.
Selama kira-kira 15 tahun, Cik Ho memandu van untuk Persatuan Khidmat Masyarakat CARE bagi mengumpulkan tabung derma apabila diperlukan.
Pada Mac 2026, beliau mula menjadi sukarelawan di agensi khidmat sosial Lions Befrienders.
Menerusi kegiatan itu, beliau mengunjungi warga emas yang tinggal sendirian untuk bertanya khabar serta memantau kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Apabila tidak melakukan kerja sukarela, Cik Ho membantu menjaga cucu lelakinya yang berusia sembilan bulan di rumah anak perempuannya.
Pergerakan duduk dan bangun dari lantai ketika bermain dengan cucunya, selain mendukung kanak-kanak seberat 10 kilogram itu, turut memberi manfaat kepada kecergasannya.
“Ia juga membantu menguatkan otot tangan saya,” katanya.
Cik Ho dan suaminya, yang juga berusia 63 tahun, mengikuti kelas tarian berpasangan setiap minggu selama 19 tahun.
Beliau turut menyertai sesi Zumba mingguan di kawasan terbuka berhampiran rumahnya, yang ditempah melalui aplikasi mudah alih Healthy 365 oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Dilancarkan pada 2015, Healthy 365 pada mulanya merupakan aplikasi untuk merekodkan jumlah langkah harian.
Sejak itu, fungsinya diperluas untuk merangkumi catatan pemakanan, pemantauan kecergasan serta tempahan kelas senaman dan kegiatan masyarakat percuma.
Cik Ho percaya bahawa seseorang perlu terus bergerak dan melakukan kegiatan fizikal bagi mengekalkan kekuatan otot apabila usia meningkat.
“Sebaik sahaja kita hanya duduk dan tidak melakukan apa-apa, otot kita akan mula menyusut,” katanya.
Lebih kuat apabila bersama
Cik Ho bukan satu-satunya yang berpandangan demikian. Kekurangan kegiatan fizikal dianggap sebagai punca utama kerapuhan fizikal, seperti yang dinyatakan oleh 55 peratus responden dalam tinjauan tersebut.
Singapura kini tergolong sebagai masyarakat sangat tua menurut takrif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan lebih seorang daripada lima warga berusia 65 tahun ke atas.
“Membantu warga emas kekal sihat, berdikari dan aktif selama mungkin menjadi semakin penting,” kata Ketua Divisyen Penuaan Aktif di Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Cik Soh Swee Ping.
Berita baiknya, kerapuhan fizikal bukan sesuatu yang pasti berlaku apabila usia meningkat, tambah beliau.
Bukti menunjukkan keadaan itu boleh dilambatkan melalui kegiatan fizikal secara tetap, pemakanan baik dan hubungan sosial berterusan.
Namun, tidak ramai orang mengaitkan kerapuhan fizikal dengan kekurangan interaksi sosial.
Dalam tinjauan sama, hanya 23 peratus responden mengaitkan kerapuhan fizikal dengan kesunyian atau pengasingan sosial, manakala hanya 11 peratus menganggap pengasingan sosial sebagai salah satu puncanya.
Bagi guru prasekolah Cik Purba Pal, 58 tahun, kekal aktif bukan sekadar menjaga kecergasan, malah merupakan peluang mengeratkan persahabatan.
Dua kali seminggu selepas bekerja beliau keluar bersama beberapa rakannya.
Pada sesetengah malam, mereka menyertai sesi tarian masyarakat di sebuah pusat beli-belah yang ditempah melalui aplikasi Healthy 365.
Pada malam lain pula, mereka berjalan santai di laluan penghubung taman sambil berbual-bual.
“Selepas bekerja, ada kalanya kami berasa sangat letih dan tidak mahu pergi ke gimnasium,” kata Cik Pal.
“Tetapi apabila pergi bersama-sama, kami boleh saling memberi semangat.”
Setiap hari selepas makan malam, beliau juga membawa anjing peliharaannya daripada baka Shetland Sheepdog berjalan selama 20 hingga 30 minit.
Cik Pal menganggap kegiatan itu sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh untuk mengekalkan kesihatan apabila usia meningkat.
“Ia bukan untuk kesihatan sahaja. Jika kita berasa gembira dan terus melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan, tekanan yang dialami juga akan berkurangan,” katanya.
Beliau turut memberi perhatian kepada pemakanannya dengan memastikan pengambilan protein yang mencukupi daripada telur, tauhu, kacang dal dan paneer, sejenis keju segar India.
Menurut Cik Soh daripada AIC, cara pemikiran seperti itu boleh membawa perubahan.
“Apabila orang ramai memahami bahawa kerapuhan fizikal bukan sesuatu yang perlu diterima begitu sahaja, mereka lebih cenderung mengambil langkah awal untuk menjaga kesihatan dan mendapatkan sokongan lebih awal,” katanya.
Encik Wong, yang menjalani latihan kekuatan otot di gimnasium tiga hingga empat kali seminggu, bersetuju.
Alasan beliau mahu mengekalkan kekuatan tubuh berkait rapat dengan kehidupan dan keluarganya.
Setiap Sabtu, beliau bertemu adik-beradik perempuannya untuk menikmati sarapan lewat pagi bersama.
“Saya mahu terus menjaga haiwan peliharaan saya dan keluar bersama keluarga,” katanya.
Encik Wong juga melakukan kerja sukarela setiap minggu di We Care Community Services, sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan.
“Ia membuatkan saya berasa bahawa saya masih dapat menyumbang kepada masyarakat dan masih berguna,” kata Encik Wong.
• Dalam Perspektif merupakan program kandungan berasaskan penyelidikan oleh SPH Media yang menggabungkan penceritaan berteraskan hasil kajian dengan pandangan pakar mengenai isu-isu utama yang membentuk masyarakat.
Dengan kerjasama Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC)
