Ustaz Syakir Pasuni ganti Ustaz Nor Razak sebagai Pendaftar ROMM mulai 1 Feb
Ustaz Syakir Pasuni ganti Ustaz Nor Razak sebagai Pendaftar ROMM mulai 1 Feb
Pendaftar Pernikahan Orang Islam, Ustaz Nor Razak Bakar, 60 tahun, bakal mengundurkan diri daripada jawatan tersebut pada 31 Januari ini.
Jawatan beliau akan diambil alih oleh Ustaz Syakir Pasuni, 42 tahun, yang telah menyertai Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan berkhidmat sebagai Kadi dan Timbalan Pendaftar sejak Mac 2018.
Berkhidmat sebagai Timbalan Pendaftar di ROMM sejak 1996, dan kemudian menjadi Pendaftar pada 2019, Ustaz Nor Razak telah banyak menyumbang kepada usaha pengukuhan hubungan perkahwinan dalam kalangan masyarakat.
Berkongsi perasaannya, beliau berkata:
“Saya berasa sedih untuk meninggalkan tempat yang telah lama saya berkhidmat, hampir separuh daripada usia saya. Lebih-lebih lagi, apabila meninggalkan teman-teman yang telah sama-sama bertugas dengan saya sepanjang ini.”
Di bawah kepimpinannya, ROMM telah dengan jayanya mengelolakan program Bersamamu yang dilancarkan sejak Julai 2019.
Program itu bertujuan menyokong pasangan Islam dengan memberi bimbingan sebelum pernikahan dan dilanjutkan hingga dua tahun selepas pernikahan mereka.
Sokongan dan bimbingan itu diberikan Kadi atau Naib Kadi yang bertanggungjawab dalam urusan pernikahan mereka.
Hingga hari ini, program Bersamamu telah membantu lebih 36,000 pasangan Islam.
Ustaz Nor Razak telah mengemudi usaha pemantapan program Bersamamu melalui satu kerjasama bersama Pergas Solace Care pada Ogos 2023.
Kerjasama itu bermatlamat menyalur sokongan kepada pasangan wanita melalui bimbingan daripada asatizah wanita.
“Saya yakin Pendaftar seterusnya mampu membawa ROMM ke taraf yang selanjutnya. Saya pasti program Bersamamu ini dapat ditingkatkan dengan lebih proaktif, khususnya pada bahagian bimbingan selepas perkahwinan,” jelas Ustaz Nor Razak.
Ustaz Syakir, yang bakal menggantikan Ustaz Nor Razak sebagai Pendaftar baru mulai 1 Februari ini, telah berkhidmat sebagai Naib Kadi selama sembilan tahun sejak April 2008 sebelum menyertai ROMM sebagai Timbalan Pendaftar pada 2018.
Sepanjang perkhidmatan beliau di ROMM, Ustaz Syakir telah berperanan penting dalam melakarkan struktur program Bersamamu.
Malah, beliau juga turut berperanan dalam mengukuhkan kebolehan profesional bagi Kadi dan Naib Kadi.
Ini termasuk penubuhan wadah seperti sesi amalan masyarakat yang memangkinkan penyebaran ilmu dengan lebih giat demi perubahan ke arah kebaikan.
“Saya bersyukur dan merendah hati atas pelantikan bagi jawatan ini. Saya kekal komited untuk meneruskan dan membina daripada asas kukuh oleh para Pendaftar sebelum ini, ” kata Ustaz Syakir.
Dalam satu hantaran di Facebook, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata ROMM merupakan institusi penting di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).
Menurutnya, Pendaftar memainkan peranan penting dalam menyimpulkan ikatan yang teguh demi perkahwinan yang kukuh dan stabil.
Dr Faishal menyampaikan ucapan penghargaannya kepada Ustaz Nor Razak atas perkhidmatannya.
“Terima kasih kepada Ustaz Nor Razak atas sumbangan dan khidmat bakti beliau selama 26 tahun. Dedikasi dan keprihatinan beliau akan terus menjadi sumber inspirasi kepada kita semua.”
“Saya menantikan kerjasama yang rapat bersama Ustaz Syakir Pasuni sambil kami terus memperkukuh sokongan untuk keluarga Islam di Singapura,” tambah Dr Faishal.

