Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kaji keberkesanan program ‘Bersamamu’, ‘Perjalanan Bersamamu’

Nov 6, 2024 | 5:59 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata antara matlamat kajian itu ialah menilai kesan program pementoran dan pendampingan perkahwinan, Bersamamu dan Perjalanan Bersamamu (JoY).
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata antara matlamat kajian itu ialah menilai kesan program pementoran dan pendampingan perkahwinan, Bersamamu dan Perjalanan Bersamamu (JoY). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) sedang menjalankan kajian bagi menilai keberkesanan program pementoran dan pendampingan perkahwinan Bersamamu dan Perjalanan Bersamamu (JoY).

Kajian yang kali pertama dijalankan itu bermula September 2024 dan akan berlangsung hingga Disember 2025.

Dapatannya dijangka dibentangkan dalam sebuah laporan menjelang Mei 2026.

Ini diumumkan MCCY dalam satu kenyataan pada 6 November.

Dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), kajian itu akan dikendali oleh pengkaji dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), diketuai Ketua Program Keselamatan Awam SUSS, Profesor Madya Razwana Begum, sebagai Ketua Pengkaji.

MCCY berkata kajian itu akan disasarkan kepada 210 pasangan yang bakal atau baru berkahwin di bawah program Bersamamu dalam bentuk tinjauan dan temu bual. Ia turut disasarkan kepada mentor di bawah program JoY dan kadi/naib kadi di bawah Bersamamu.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkongsi bersama Berita Harian bahawa salah satu matlamat kajian itu ialah menilai dan membandingkan sejauh mana program itu menjejas kepuasan dalam perkahwinan dan daya tahan pasangan.

“Kami menerima respons baik daripada pasangan dan keluarga mereka, yang memberikan sokongan hebat bagi program Bersamamu. Lebih sekadar anekdot sahaja, kami berpendapat dengan sokongan baik ini, adalah baik kami memulakan satu kajian… bagi mendapatkan data kualitatif dan kuantitatif.

“Di samping itu, kami ingin lihat (bagaimana kajian ini) dapat membantu dalam pembangunan program Bersamamu bagi jangka panjang,” ujarnya di luar Persidangan Keluarga Asia di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 6 November.

Sidang dua hari pada 6 dan 7 November itu dianjurkan bersama MSF dan SUSS sebagai wadah bagi penggubal dasar, pengkaji, dan pengamal industri di rantau ini “bertukar pengetahuan dan memupuk kerjasama lebih besar” bagi mengukuhkan fabrik kekeluargaan Asia.

Berucap dalam sidang itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menekankan pendekatan Singapura dalam melakar dasar sosial – berteraskan prinsip keluarga, langkah proaktif, daya kekuatan dan pelibatan seluruh masyarakat. Kesemua prinsip itu tidak wujud berasingan tetapi saling mendukung satu sama lain, ujarnya.

Mengenai rancangan selepas dapatan kajian itu dihasilkan, Dr Faishal berkata ada peluang melakukan penyelidikan lanjut dari segi kajian longitud, iaitu mendampingi pasangan terlibat dengan lebih dekat. Ini di samping memperkukuhkan lagi kerjasama antara pihak berkepentingan, seperti cendekiawan, sektor swasta dan sektor awam.

Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, berkata dalam satu sidang media pada 10 Oktober bahawa keberkesanan program serta daya usaha M Kuasa Tiga (M³) akan dinilai dan impaknya akan diukur.

Hampir 30,000 pasangan Islam telah meraih manfaat daripada Program Bersamamu, yang disokong ROMM dan M³, sejak ia dimulakan pada Julai 2019.

Ia melibatkan kadi atau naib kadi sebagai sumber sokongan dan nasihat bagi pasangan dari sebelum bernikah hingga dua tahun pertama perkahwinan.

Program itu antara inisiatif di bawah Bidang Tumpuan 1 (FA1) M³, iaitu untuk menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Program JoY dilancarkan pada 2021 oleh MSF dan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM), dengan Jurunikah Berlesen memberi bimbingan kepada pasangan baru berkahwin pada tahun pertama perkahwinan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg