Meskipun telah menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan agama kepada pesalah wanita Islam di Penjara Changi selama lebih dua dekad, Ustazah Laila Abu Hassan, masih tidak menunjukkan sebarang tanda ingin berhenti atau mengurangkan usahanya.

Namun sebaliknya, asatizah berusia 68 tahun itu masih bersemangat dan berharap dapat kekal menabur bakti selagi hayat dikandung badan.

Atas usaha murni Ustazah Laila, beliau telah diiktiraf dengan Anugerah Kesukarelawanan dan Kedermawanan Presiden 2026 bagi Anugerah Insan Baik (People of Good), kategori Warga Emas, yang disampaikan Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Nasional (NVPC) di Hotel Raffles pada 7 Oktober.

Beliau merupakan antara 17 penerima anugerah yang menerima penghargaan daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Anugerah Insan Baik mengiktiraf individu yang memberi sumbangan luar biasa dan menumpukan masa, bakat, harta dan/atau suara mereka secara sukarela untuk memberi kesan positif dalam masyarakat.

“Saya bersyukur sangat kepada Allah kerana Allah pilih saya, tapi anugerah ni sebenarnya bukan untuk saya.

“Saya tujukan kepada wanita dalam kumpulan sokongan saya dan kejayaan saya adalah daripada kejayaan mereka juga,” kongsi Ustazah Laila kepada Berita Harian (BH).

Menjawab soalan mengapa beliau ingin terus berbakti, Ustazah Laila berkata golongan pesalah memerlukan seseorang yang percaya kepada mereka, dan beliau mahu menjadi individu itu.

Oleh itu, tiga kali seminggu pada setiap Selasa, Rabu, dan Jumaat, beliau akan mendampingi pesalah wanita di sebalik jeriji besi.

Di situ beliau mempelajari erti kehidupan, kekuatan dan ketabahan.

“Saya tidak lihat mereka sebagai penjenayah atau pesalah dadah, tapi saya lihat perjuangan seorang ibu atau isteri.

“Bila kaunseling dengan mereka, saya rasa macam mana kalau orang nak judge atau nak hukum mereka.

“Apabila tengok apa yang mereka lalui, saya sedar nak berubah itu bukan perkara senang,” kata ibu tiga anak itu.

Ustazah Laila melahirkan penghargaan kepada Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), sebuah program oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), atas sukatan pelajaran dan panduan nilai-nilai bagi mempermudahkan proses kaunseling dan bimbingan.

Menurut beliau, panduan yang disediakan Fitrah itu amat berguna apabila mendampingi pesalah. Panduan itu menonjolkan himpunan doa harian, amalan asas Islam dan bimbingan praktikal.

Yang penting, kata Ustazah Laila, adalah untuk bersikap terbuka, mendengar dengan penuh empati dan tidak menghakimi pesalah, “kerana kita tidak pernah tahu cabaran yang sedang mereka hadapi”.

Bagi mengekalkan rangka sokongan untuk pesalah, Ustazah Laila telah menubuhkan Nisa Hope Network, kumpulan sokongan pemulihan bagi bekas pesalah wanita, pada 2018.

Ini didorong oleh kesedaran bahawa sistem sokongan amat diperlukan di luar penjara.

Beliau melihat Nisa Hope Network seolah-olah sebagai satu jambatan yang membolehkannya membantu bekas pesalah – dan bekas pesalah juga dapat membantu satu sama lain.

Kumpulan sokongan yang hampir berusia 10 tahun itu kini mempunyai sekitar 50 sukarelawan aktif namun telah membantu ratusan bekas pesalah dalam proses pemulihan dan penyepaduan semula mereka ke dalam masyarakat.

“Bila kita dapat dapat bantu seorang wanita, maka kita dapat ‘angkat’ satu keluarga dan bila kita dapat ‘angkat’ satu keluarga maknanya kita telah menguatkan satu komuniti,” ujar Ustazah Laila.