Rakyat Singapura berumur 60 tahun dan ke atas kini boleh mendapatkan vaksin bagi menangani virus berjangkit yang menjejas saluran pernafasan dan boleh menyebabkan komplikasi kepada warga emas.
Dipanggil, ‘Arexvy’, ia melindungi warga daripada virus sinsitium pernafasan atau Respiratory Syncytial Virus (RSV), dibangunkan oleh gergasi farmaseutikal Britain, GSK.
Suntikan itu telah diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 10 Mei dan melindungi pengguna daripada penyakit saluran pernafasan bawah, yang menimbulkan risiko lebih besar kepada orang dewasa yang lebih tua, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Vaksin GSK itu, yang pertama untuk virus tersebut, boleh didapati di Singapura.
Permohonan untuk kegunaannya bagi mereka yang berumur antara 50 dengan 59 tahun masih dalam semakan, kata HSA sebagai menjawab pertanyaan ST.
Bagi warga Singapura berumur 60 tahun ke atas, vaksin itu boleh didapati di beberapa klinik doktor perubatan umum (GP) dan pakar, kata GSK sebagai menjawab pertanyaan tetapi ia tidak mendedahkan senarai klinik tersebut.
Semakan ST mendapati beberapa klinik mengenakan bayaran antara $320 dengan $350 untuk vaksinasi itu, yang berbentuk satu dos suntikan ke otot.
RSV, yang menjejaskan paru-paru dan saluran pernafasan, adalah serupa dengan jangkitan pernafasan lain seperti influenza dan selesema biasa.
Gejala termasuk batuk, demam, hidung berair dan sakit badan, dan dalam kes yang teruk, boleh mengakibatkan radang paru-paru dan bronkiolitis – keradangan saluran udara kecil jauh di dalam paru-paru.
Pakar-pakar mengesyorkan agar warga emas, terutama mereka yang mengalami masalah pernafasan, mendapatkan vaksin tersebut.
Profesor Paul Tambyah, Presiden Persatuan Antarabangsa untuk Penyakit Berjangkit, berkata: “Ia nampaknya boleh mencegah radang paru-paru, yang boleh menjadi masalah utama bagi mereka yang mempunyai penyakit paru-paru kronik atau lemah imuniti.”
Dr Leong Hoe Nam, doktor penyakit berjangkit dari Rophi Clinic, berkata virus itu menyebabkan lebih banyak kematian berbanding influenza dan risiko kemasukan ke hospital melebihi Covid-19 dan selesema.
Penghidap penyakit jantung atau paru-paru, seperti penyakit gangguan pernafasan kronik (COPD) atau kegagalan jantung kongestif, berdepan risiko lebih tinggi dijangkiti kes RSV teruk, tambahnya.
Namun terdapat laporan, vaksin tersebut membawa risiko keadaan neurologi yang jarang didapati, sindrom Guillain-Barre, apabila sistem imun seseorang menyerang saraf di bahagian luaran.
Mereka yang mempunyai sejarah penyakit itu harus mempertimbangkan risiko dan faedah vaksin tersebut dengan doktor mereka, kata Profesor Tambyah.
“
“Ia nampaknya boleh mencegah radang paru-paru, yang boleh menjadi masalah utama bagi mereka yang mempunyai penyakit paru-paru kronik atau lemah imuniti.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg