Singapura sedang mempertimbangkan untuk menyokong pembangunan dan pengeluaran vaksin influenza mRNA baharu di sini. 

Langkah itu akan meningkatkan tahap kesediaan negara ini dalam menghadapi pandemik dengan ketara dan menjadi kunci untuk membantu Singapura mengharungi wabak seterusnya, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung. 

Kementerian Kesihatan (MOH) berharap dapat bekerjasama dengan organisasi seperti syarikat penyelidikan perubatan Hilleman Laboratories yang mempunyai ibu pejabat dan kemudahan pembuatannya di Singapura untuk membangunkan vaksin mRNA baharu.

Vaksin mRNA, yang mula-mula digunakan secara meluas dalam usaha menentang Covid-19, memainkan peranan kritikal dalam mengekang penularannya.

Vaksin sebegitu berkemungkinan menawarkan fleksibiliti terbesar dari segi pembangunan dan masa untuk sampai ke pasaran, kata Encik Ong dalam satu temu bual bersama The Straits Times (ST) dan Lianhe Zaobao (ZB).

Teknologi vaksin mRNA membolehkan vaksin direka dan dihasilkan dengan lebih pantas berbanding vaksin tradisional, menjadikannya pilihan yang baik untuk membanteras wabak yang cepat merebak.

“Saya rasa berguna untuk cuba sesuatu berasaskan platform mRNA, dan anda perlu menghasilkannya untuk keperluan masa aman dan memastikan kemudahan itu sentiasa bersedia untuk beroperasi,” jelasnya.

“Mari kita hasilkan vaksin yang biasa digunakan. Influenza adalah satu kemungkinan.”

Mengenai kesediaan menghadapi pandemik, beliau berkata Singapura “50 peratus” bersedia dan bahawa “banyak lagi kerja penting perlu dilakukan”.

Secara kritikal, ini bermakna membina keupayaan pembuatan dan pembangunan vaksin.

“Saya rasa ia yang paling penting kerana apabila anda mempunyai patogen jenis Penyakit X dalam pandemik seterusnya, satu-satunya cara bagi dunia untuk keluar daripadanya adalah dengan memiliki vaksin yang berkesan.”

Penyakit X merupakan nama yang diberikan kepada satu wabak pada masa depan yang disebabkan oleh patogen yang tidak diketahui.

“Dengan vaksin yang berkesan, kita boleh menjangkakan pengalaman serupa dengan cara kita menangani wabak Covid-19 – beri vaksin, buka semula, kemudian keluar daripada wabak itu.”

Beliau memberi contoh usaha organisasi penyelidikan dan pembangunan vaksin berpangkalan di Singapura, Hilleman Laboratories, dalam membangunkan dan menghasilkan vaksin menentang strain ebolavirus Bundibugyo yang jarang berlaku, namun sedang merebak dengan pantas di Republik Demokratik Congo (DRC).

“Saya berharap usaha bersama Hilleman ini membawa kita ke tahap 60 peratus. Jika kita dapat menghasilkan vaksin mRNA influenza, saya rasa kita akan lebih bersedia,” tambah Encik Ong.

Beliau berkata kemudahan Hilleman di Singapura akan menghasilkan bahan bagi ujian klinikal awal, dan sekiranya ujian itu berjaya, kapasiti pengeluaran domestik tahunannya berpotensi mencecah 12 juta dos produk ubat. 

Bergantung pada keperluan, ia akan membuat susunan bagi pemindahan teknologi kepada pengeluar berskala lebih besar di rantau ini.

“Inilah kesediaan dalam tindakan: sains sedia ada, kemudahan yang sentiasa bersedia beroperasi, dan rakan kongsi dipercayai untuk meningkatkan skala – semuanya mempercepat tindak balas terhadap ancaman.

“Ini boleh menjadi satu pendekatan untuk berdepan Penyakit X pada masa depan,” ujar Encik Ong.

Sementara itu Encik Ong berkata Singapura berhasrat menggalas sebahagian tugas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila pandemik membawa maut seterusnya melanda, dengan menyertai barisan negara yang boleh membantu mempercepatkan proses meluluskan vaksin.

Langkah ini akan melibatkan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bertindak sebagai badan kawal selia untuk meluluskan vaksin baharu semasa penularan wabak.