Remaja perempuan Myanmar berusia 15 tahun, yang pas imigresen jangka panjangnya dibatalkan kerana memiliki pod vape mengandungi etomidate (Kpod), kini disiasat atas beberapa kesalahan jenayah lain.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan pada 12 Disember, remaja itu diberi pas khas untuk kekal di Singapura bagi membantu siasatan berhubung pemilikan senjata terlarang dan berbahaya, penglibatannya dalam pergaduhan, serta perbuatannya menyebabkan kecederaan secara sengaja.
Remaja itu merupakan warga asing pertama di Singapura yang kehilangan Pas Lawatan Jangka Panjang (LTVP) kerana memiliki vape mengandungi etomidate, tambah kenyataan MHA dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 8 Disember.
“Siasatan polis masih berjalan. Selepas kesnya selesai, dia akan dihantar pulang dan dihalang daripada memasuki Singapura semula,” kata MHA.
Menurut laporan The Straits Times (ST) sebelum ini, MHA dan HSA berkata remaja itu ditemui memiliki pod vape mengandungi etomidate semasa pemeriksaan rutin polis pada 14 November.
Di bawah rangka kerja antivape yang diperketat dan berkuat kuasa sejak 1 September, pas atau kemudahan imigresen warga asing yang didapati memiliki atau menggunakan vape mengandungi etomidate, atau diuji positif etomidate, mungkin dibatalkan.
Mereka kemudian mungkin akan dihantar pulang dan dihalang daripada masuk semula ke Singapura.
Selain itu, individu yang didapati memiliki, menggunakan atau membeli vape di bawah rangka kerja yang dipertingkat itu juga berdepan hukuman lebih berat.
Pesalah berulang wajib menjalani program pemulihan, dan jika gagal menyelesaikannya, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg