Vena Energy yang berpangkalan di Singapura menyasarkan untuk memulakan pembinaan pada 2026 bagi projek solar dan bateri 2 gigawatt (GW) di Kepulauan Riau, Indonesia dan berharap dapat membekalkan elektrik ke Singapura sebelum 2030, kata ketua eksekutif, Encik Nitin Apte.
Projek itu mencerminkan cita-cita yang semakin meningkat dan skala pelaburan tenaga hijau di rantau ini, kata Encik Apte kepada The Straits Times.
Pemaju projek tenaga boleh diperbaharui itu mempunyai pelaburan besar meliputi angin darat dan solar, angin luar pesisir dan penyimpanan bateri.
Ia juga sedang mencari untuk meningkatkan pengeluaran hidrogen hijau.
Beliau berkata projek Kepulauan Riau akan meliputi antara 2,000 hektar dengan 2,200 hektar, melibatkan kabel dasar laut ke Singapura dan akan disiapkan secara berperingkat menjelang 2032.
Sistem penyimpanan bateri itu dijangka mampu menyimpan tenaga melebihi 8 gigawatt-jam, menjadikannya yang terbesar di Asean.
Pada awal Ogos, Vena Energy berkata ia menandatangani persetujuan untuk bekerjasama dengan Shell Eastern Trading di Singapura, di mana Shell akan meneroka projek mengimport sebahagian kuasa boleh dibaharui yang dijana oleh projek hibrid Riau yang diusulkan.
Encik Apte berkata Vena Energy merancang untuk mengeksport sehingga 2.5 terawatt jam (TWh) bekalan elektrik setahun ke Singapura; dan Shell sedang mengadakan perbincangan dengan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) berhubung lesen import.
Jumlah ini mewakili kurang 5 peratus penggunaan elektrik keseluruhan Singapura pada 2021, iaitu 53.5 TWh, menurut perangkaan EMA.
Singapura merancang untuk mengimport sehingga 4GW elektrik rendah karbon menjelang 2035 dan EMA sedang menimbangkan jumlah projek yang luas berdasarkan dokumen yang dikemukakan bagi usaha mengundang usulan yang ditutup pada akhir Disember 2023.
Dimulakan pada 2021, Vena Energy mempunyai 80 projek dengan kapasiti operasi keseluruhan 2.7GW di tujuh negara di Asia-Pasifik.
Pada 2022, Vena Energy menambah 10 projek, yang bersama menjana 562 MW, kepada portfolio operasinya.
“Kami sedang mendapatkan permintaan yang dua tiga kali ganda lebih tinggi berbanding lima tahun lalu,” kata Encik Apte.
“Kami sedang menyaksikan proses yang dipercepat dan saiz projek yang lebih besar.”
Beliau memberikan dua sebab landskap dasar dan pelaburan bagi tenaga hijau telah dipertingkat di rantau ini.
“Satu ialah dari segi ekonomi,” kata beliau merujuk kepada kos tenaga boleh dibaharui yang telah menjunam.
“Dan kedua, kita tidak boleh lagi menafikan perubahan iklim.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg