Usahawan teknologi dan jutawan terkenal Bill Gates, yang berada di Singapura, dilihat meninjau gerai penjaja dan bercakap dengan pemilik gerai di Pusat Makanan Newton pada petang 6 Mei.
Beliau kemudian duduk dan menikmati hidangan tempatan, termasuk nasi ayam, sate, sup bebola ikan, carrot cake, roti perata, jus limau nipis dan jus tebu.
Pelalu-lalang merakam video dan foto, dan ramai yang mula teruja melihat Gates mencuba makan durian. Sebuah video sudah pun dimuat naik ke media sosial menunjukkan kehadirannya menarik perhatian pengunjung lain, yang mula mengerumuninya.
Gates yang memakai sarung plastik di tangan, mengangkat buah durian dan menghidunya; tanpa menunjukkan muka ‘jelek’ malah, beliau kemudian mengambil sebiji durian dan memakannya.
Dalam video itu, Bill Gates berhenti seketika seperti mengamati buah itu, dan mencubanya sekali lagi.
Lawatan Gates ke pusat penjaja itu mengakhiri lawatannya selama dua hari di Singapura, yang termasuk pertemuan dengan pemimpin Singapura dan pelbagai acara yang mengundang beliau sebagai penceramah.
Pada 5 Mei, beliau mengumumkan pada Sidang Kemuncak Filantropi Asia 2025 yang diadakan di Marina Bay Sands, bahawa Yayasan Gates, sebuah pertubuhan tidak mengaup keuntungan yang dipengerusikannya, akan membuka pejabat di Singapura.
Penubuhan kehadiran organisasi itu di Singapura disokong oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Pada hari yang sama, Gates juga bertemu dengan Perdana Menteri Lawrence Wong, serta Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan Teo Chee Hean.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg