Ada keindahan dalam merakam detik-detik yang berlalu pantas.
Namun kehidupan ini, seperti arus yang tiada henti, terus mengalir meskipun kita ingin membekukan serpihannya dalam bingkai kenangan.
Berjinak-jinak dengan video singkat di media sosial sejak 2022, Encik Ezdhir Edris, 27 tahun, kerap merakam detik-detik dalam kehidupan sehariannya.
Daripada bersiap-siap untuk hari tersebut, bersenam, mahupun masa yang diluangkan bersama neneknya, Cik Zaleha Eman, 90 tahun.
Kehadiran neneknya dalam video itu, biasanya secara spontan, mendapat sambutan baik daripada warganet; ramai yang meluahkan rasa keakraban dan kenangan manis bersama datuk nenek mereka
Encik Ezdhir, yang bekerja sebagai pegawai imigresen di Singapura, serta pelajar sambilan dalam jurusan pemasaran, memberitahu Berita Minggu (BM) sambutan itu akhirnya mendorongnya memperkenalkan siri video yang dikenali sebagai nenek series.
Cucu keenam daripada 10 cucu, Encik Ezdhir mengenang kembali bagaimana neneknya sentiasa memanjakan mereka – sering mengunjungi anak dan cucu dari Simei ke Yishun untuk membantu urusan rumah tangga.
“Ketika saya kecil, beliau suka mengusik dan bergurau dengan saya. Apabila beliau mula tinggal bersama kami, beliau akan memasak makanan kegemaran saya,” kongsi beliau, yang juga anak ketiga daripada empat beradik.
Melalui penghasilan siri tersebut – sarat dengan dialog santai, monolog spontan, dan interaksi manja, beliau mula melihat hubungan dengan neneknya dari sudut berbeza.
“Saya menjadi lebih ingin tahu tentang kehidupan nenek sebelum saya dilahirkan kerana beliau telah menjalani kehidupan yang sukar, kehilangan suaminya dan terpaksa membesarkan empat anak bersendirian.
“Ini menunjukkan kekuatan wataknya dan nilai-nilai yang ditanamkan kepada anak-anaknya untuk berdikari dan membina keluarga mereka sendiri,” kata Encik Ezdhir.
Baginya, mencipta kandungan tentang neneknya bukan sekadar menambat hati dan selera penonton, malah peluang mempelajari nilai disiplin, ketekunan dan kesedaran tentang apa yang diinginkannya dalam hidup.
Semasa merakam siri itu, beliau menyedari perubahan terbesar dalam videonya adalah cerita yang paling menarik minatnya – kehidupan nenek dan masa lalunya.
Meskipun beliau kongsi akan kesukaran generasinya dalam memahami dan berhubung dengan generasi terdahulu, TikTok menjadi cara Encik Ezdhir merapatkan jurang antara masa lalu dengan kini.
“Pada mulanya, apabila saya memuat naik video-video ini, saya rasa puas dengan komen, tontonan dan hasil kerja keras saya.
“Tetapi apabila saya mula melihat makna di sebalik cerita yang saya kongsikan, saya sedar – ia bukan lagi tentang saya.
“Apabila orang komen bahawa mereka berharap dapat menikmati masa bersama nenek seperti saya, barulah saya sedar keistimewaan yang saya ada.
“Hidup ini tentang menghargai perkara-perkara kecil,” kata Encik Ezdhir, yang melihat proses menghasilkan kandungan TikTok sebagai cara untuk menjaga kesihatan mental dan berdamai dengan dirinya sendiri.
Ketika ditanya sama ada kandungan TikTok itu juga satu cara untuk mengenang hubungan dengan neneknya, Encik Ezdhir menjawab:
“Matlamat utama saya adalah menggambarkan hubungan yang tulus dan asli dengan nenek saya.
“Kerana, saya rasa, apabila kita semakin dewasa, kita kurang menghabiskan masa dengan datuk nenek kita kerana sibuk dengan kerja dan kehidupan peribadi.
“Akhirnya, kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg