Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Video tular di VivoCity cetus debat sikap terhadap kurang upaya, pengasuh

Dec 5, 2024 | 6:04 PM
Encik Suresh Vanaz (dengan beg kanvas hijau) cuba menghalang lelaki yang mencabarnya untuk gaduh, daripada memasuki lif. Beliau dicabar apabila mundur keluar dari lif sambil menarik kerusi roda adiknya, Encik Seelan, dan hampir melanggar lelaki itu.
Encik Suresh Vanaz (dengan beg kanvas hijau) cuba menghalang lelaki yang mencabarnya untuk gaduh, daripada memasuki lif. Beliau dicabar apabila mundur keluar dari lif sambil menarik kerusi roda adiknya, Encik Seelan, dan hampir melanggar lelaki itu. - Foto TANGKAP LAYAR IMGUR

Apa yang bermula sebagai satu acara bahagia sekeluarga ke Sentosa bagi Encik Suresh Vanaz dan adiknya, Encik Seelan, berakhir dengan insiden kurang menyenangkan di VivoCity. Ini juga mencetuskan pertengkaran hangat dan perdebatan di media sosial.

Pada 1 Disember, satu insiden di VivoCity menjadi perhatian netizen selepas video yang menunjukkan pertengkaran itu tular.

Video tersebut, dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial, telah disunting untuk menggambarkan bahawa Encik Suresh, 45 tahun, berada dalam keadaan marah dan bersalah. Ia disertai kapsyen yang memberi gambaran buruk terhadapnya, menyebabkan kecaman luas daripada netizen pada awalnya.

Namun, apabila Encik Suresh menjelaskan apa yang berlaku, cerita sebenar mula terungkai.

View post on TikTok

Dalam penjelasannya kepada Berita Harian juga, Encik Suresh menceritakan bahawa insiden itu berlaku ketika beliau dan adiknya, Encik Seelan, 40 tahun, berkerusi roda kerana menghidapi palsi serebrum (cerebral palsy), cuba keluar dari lif.

Menurut Encik Suresh, kawasan luar lif di tingkat B2 ramai orang kerana mereka ingin masuk lif, dan Encik Suresh meminta mereka memberi laluan untuknya mundur keluar sambil menarik kerusi roda adiknya.

Sedang beliau masih mundur, Encik Suresh berkata bahawa beliau hampir terlanggar seorang lelaki, yang ingin masuk ke dalam lif.

Lelaki itu menjadi marah dan menyuruhnya “lihat betul-betul”. Lelaki itu juga mencabarnya untuk bergaduh, menyebabkan ketegangan dan pertengkaran antara dua individu itu. Apabila Encik Suresh cuba menghalang lelaki itu memasuki lif, beliau ditahan empat individu lain dan lelaki itu kemudian berjaya masuk ke dalam lif.

Pertengkaran tersebut menyebabkan adik Encik Suresh menangis, dan ini menambahkan lagi rasa marah Encik Suresh terhadap keadaan tersebut dan beliau akur pada saat itu, beliau hampir hilang kawalan emosinya.

“Saya bertindak balas kerana apa yang lelaki itu lakukan adalah salah, tetapi saya juga ingin mengetengahkan bagaimana layanan terhadap pengasuh di Singapura. Walaupun badan saya besar tetapi saya juga insan biasa yang mempunyai perasaan. Mengapa saya dan adik saya tidak diberi penghormatan yang sepatutnya?

“Menjadi pengasuh sudah cukup mencabar, apa lagi pengasuh sepenuh masa kepada adik saya,” katanya kepada wartawan. Encik Suresh kongsi bahawa beliau telah menjadi pengasuh kepada adiknya lebih 30 tahun selepas kematian ibu bapanya.

Mengulas mengenai sikap kebaikan dan sifat empati, Encik Suresh bercakap: “Kekurangan kesedaran dan pertimbangan terhadap mereka yang memerlukan bantuan mobiliti di ruang awam sangat mengecewakan. Saya telah mengalami situasi sebegini di tempat lain berulang kali, dan jelas sekali pendidikan tentang empati dan aksesibiliti amat diperlukan.”

“Kebaikan juga mainkan peranan. Ia penting untuk menghargai orang yang menolak kerusi roda misalnya, berikan ruang kepada kami. Ini adalah kepekaan yang perlu dipertimbangkan. Kita perlu mendidik masyarakat kita, atau mungkin pemerintah boleh bantu merealisasikan perkara ini.”

Susulan kritikan terhadapnya, video yang dimuat naik pada awalnya dipadam oleh penggunanya. Namun, Encik Suresh yang masih terkesan dengan insiden tersebut telah membuat aduan polis terhadap wanita itu, menyeru lebih banyak tanggungjawab dalam cara video seperti ini dikongsi di media sosial.

Berita Harian telah menghubungi pihak polis dan mereka telah mengesahkan bahawa aduan itu telah diterima.

Reaksi warganet terhadap video-video ini rata-rata setuju bahawa lebih pemahaman perlu diberikan terutama kepada mereka yang ingin keluar lif.

Seorang pengguna TikTok UM berkata: “Saya setuju dengan Suresh. Bagi mereka yang ingin keluar, keutamaan harus diberikan agar mereka dapat keluar sebelum orang boleh masuk. Ini saling berbudi bahasa. Namun, ramai yang seringkali bergegas masuk sebelum orang dapat keluar dan ini tidak masuk akal.”

Pengguna MommyLoveTherapy pula berkata: “Saya harap video Suresh akan mendekati lebih pengguna lain agar lebih ramai tahu bahawa tanggungjawab sebagai seorang pengasuh tidak mudah. Kita harus lebih peka.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg