Kesemua Anggota Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) harus memberi tumpuan kepada matlamat lebih luas dalam merealisasikan keselamatan dan keamanan sejagat, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Apatah lagi di tengah-tengah keadaan global yang kian dicengkam bahaya.
Dr Balakrishnan berkata, disebabkan cengkaman bahaya itu, anggota tetap PBB harus melaksanakan pendekatan berpada-pada terhadap penggunaan kuasa veto mereka.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan PBB pada 25 September di New York.
Anggota Tetap PBB merangkumi Amerika Syarikat, China, Perancis, Russia dan Britain atau juga dikenali sebagai P5.
“Trend peningkatan penggunaan veto mencadangkan bahawa kita tidak boleh menyerahkan hal (veto) ini kepada anggota P5 untuk secara sukarela mengubah tingkah laku mereka.
“Keanggotaan PBB yang lebih luas mesti mencapai persetujuan mengenai cara veto dilaksanakan pada masa hadapan dan Singapura bersedia membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut dalam sesi Perhimpunan Agung.
“Pendekatan (yang sepatutnya) bukanlah untuk melanggar mandat Majlis, tetapi untuk mengawal tindakan yang menghalang Majlis ini daripada memenuhi mandatnya,” jelas Dr Balakrishnan.
Misalnya pada Mei 2024 dalam Perhimpunan Agung PBB, majoriti besar negara menegaskan bahawa Palestin berhak menjadi anggota penuh, satu langkah yang disekat Amerika menggunakan kuasa vetonya.
Palestin kini merupakan negara pemerhati, bukan anggota – suatu pengiktirafan kenegaraan yang diberikan Perhimpunan Agung PBB pada 2012.
Dr Balakrishnan turut menekankan bahawa lebih banyak usaha harus dilakukan Majlis Keselamatan untuk mencegah konflik.
Menggariskan pendekatan yang boleh diambil, beliau mengusulkan agar Majlis Keselamatan bekerjasama rapat dengan badan PBB lain untuk “memudahkan amaran dan tindak balas awal”.
Beliau menyambut baik rangka tindakan ‘Perikatan Buat Masa Hadapan’ yang disepakati anggota PBB pada 22 September dalam segmen pembukaan Perhimpunan Agung PBB, sebagai satu usaha ke arah memudahkan amaran dan tindak balas awal itu.
“Namun demikian, Majlis Keselamatan perlu memberi reaksi lebih pantas dengan tindak balas lebih kukuh apabila Setiausaha Agung menggunakan Artikel 99, khususnya terhadap malapetaka kemanusiaan dan kekejaman besar-besaran,” tambah beliau.
Artikel 99 menyatakan bahawa Setiausaha Agung boleh mengetengahkan kepada Majlis Keselamatan apa-apa jua perkara yang pada pendapatnya boleh mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Di samping memberi ucapan di Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan PBB itu, Dr Balakrishnan turut menghadiri Pertemuan Menteri Ehwal Luar Kumpulan 20 (G20) yang kedua pada hari yang sama atas undangan Menteri Ehwal Luar Brazil, Encik Mauro Vieira, dalam kapasiti Brazil sebagai tuan rumah G20 2024.
Semasa berucap, Dr Balakrishnan mengutarakan sokongan kukuh Singapura terhadap ‘Seruan untuk Bertindak bagi Reformasi Tadbir Urus Global’ kerana ia “melengkapkan usaha PBB untuk mengukuhkan tadbir urus sejagat”.
Beliau turut bertemu Perdana Menteri yang juga Menteri Ehwal Luar Pihak Berkuasa Palestin, Dr Mohammad Mustafa, dan menyampaikan kebimbangan Singapura terhadap isu kemanusiaan yang serius di Gaza.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 26 September, Dr Balakrishnan berkata:
“Singapura kekal sedia untuk melakukan lebih banyak lagi. Kami mengulangi gesaan untuk gencatan senjata segera bagi kemanusiaan serta pembebasan semua tebusan tanpa syarat, serta-merta dan selamat.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg