Menteri Ehwal Luar, Encik Vivian Balakrishnan, akan ke Kuala Lumpur, Malaysia, untuk menghadiri Pertemuan Menteri Luar Asean (AMM) ke-58, Persidangan Pasca Kementerian (PMC) dan Pertemuan Menteri Luar (FMM) Asean Plus Three ke-26.
Ini di samping Sidang Kemuncak Timur Asia (EAS) FMM dan Forum Serantau Asean (ARF) ke-32, dari 8 hingga 11 Julai.
Dalam satu kenyataan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 8 Julai, ia menyatakan kehadiran Encik Vivian dan menteri ehwal luar lain di AMM mengesahkan komitmen mereka terhadap perpaduan Asean dan “membincangkan cara memperkembangkan penyepaduan dan pembinaan komuniti Asean”.
Ini di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan geoekonomi, tambah MFA.
“Para menteri akan terus membincangkan usaha Asean bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pertumbuhan baru seperti ekonomi digital, tenaga hijau dan ketersambungan rantaian bekalan, sejajar dengan tema tuan rumah Malaysia iaitu ‘Inklusiviti dan Kemampanan’,” ujar MFA.
Selain AMM, para menteri akan mengadakan perbincangan bersama Rakan Kongsi Dialog dalam PMC termasuk Australia, China, Canada, dan Jepun, antara lain, bagi menilai kerjasama semasa.
MFA turut menyatakan Encik Vivian akan bertukar pandangan bersama rakan sejawatan bagi perkembangan serantau dan antarabangsa terkini di APT FMM, EAS FMM dan ARF untuk “membincangkan cara menegakkan ketenteraman dan stabiliti serantau”, di samping mempromosikan perkembangan mampan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg