Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, mengesahkan hubungan kukuh dan stabil yang dijalin antara Singapura dengan Amerika Syarikat susulan beberapa pertemuan peringkat tinggi yang diadakannya di Washington, D.C., namun menarik perhatian terdapat ketidakpastian yang kian meningkat, selari dengan peralihan aturan dunia.
Bercakap dengan media Singapura menerusi Zoom bagi menggulung lawatan beliau ke Washington pada 7 Jun, Dr Balakrishnan berkata sistem global yang dibina atas dasar berbilang hala, perdagangan terbuka serta aliran bebas pelaburan dan modal sepanjang 80 tahun lalu kini sedang berubah.
Singapura, jelasnya, telah makmur di bawah aturan dunia terdahulu dan kini perlu cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran ini.
“Tempoh paling berisiko adalah... tempoh peralihan daripada satu aturan dunia kepada yang seterusnya.
“Ini adalah masa di mana kita perlu sentiasa berwaspada, sentiasa membuka mata dan telinga, dan bertindak dengan cepat apabila ada perubahan.
“Adalah penting juga untuk kerap berinteraksi secara terbuka dan membina bersama rakan sejawat, khususnya dengan kuasa besar yang mempunyai kepentingan strategik amat besar kepada kita,” ujarnya.
Dalam lawatannya dari 4 hingga 7 Jun itu, Dr Balakrishnan antara lain bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, serta pegawai kanan pentadbiran, ahli Kongres dan tokoh penting lain.
Lawatan itu juga merupakan lawatan menteri pertama Singapura ke Amerika sejak kedua-dua pemerintah memulakan penggal baru.
Dr Balakrishnan berkata beliau telah mengadakan perbincangan meluas tentang isu tarif, termasuk kesan tarif pada ekonomi terbuka seperti Singapura, dan rakan sejawatnya memahami perspektif beliau.
Walaupun beliau yakin bahawa langkah terkini Amerika dari segi tarif dan perdagangan tidak disasarkan kepada Singapura, beliau melahirkan keprihatinan tentang kesannya secara tidak langsung.
“Sebarang kesan terhadap perdagangan global, atau sebarang geseran dalam sistem, akan mempunyai kesan pada ekonomi terbuka seperti (Singapura), di mana jumlah dagangan kita adalah tiga kali berbanding Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) kita,” kata Dr Balakrishnan.
Tambahnya, adalah terlalu awal untuk menganggap isu tarif ini sudah selesai sepenuhnya, dengan rundingan dua hala dijangka mengambil masa.
Dalam pada itu, Dr Balakrishnan turut menekankan pentingnya kehadiran strategik Amerika di rantau Asia Pasifik.
“Amerika mempunyai lebih banyak pelaburan di Asia Tenggara berbanding jumlah pelaburannya di India, China, Jepun dan Korea digabungkan.
“Oleh itu, mereka mempunyai kepentingan yang amat besar di rantau ini,” kata beliau.
Tambahnya, aliran perdagangan dan pelaburan dua hala telah mewujudkan peluang pekerjaan, bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di Amerika.
“Saya rasa perdagangan dan pelaburan dua hala di Asia Tenggara telah mewujudkan kira-kira setengah juta pekerjaan di Amerika dan ini merupakan pekerjaan yang berkualiti,” ujar Dr Balakrishnan.
Dalam pertemuannya bersama pegawai kanan pentadbiran Amerika dan ahli Kongres, Dr Balakrishnan turut menyampaikan penghargaan Singapura terhadap sokongan dwipartisan yang membolehkan hubungan dua hala antara Singapura dengan Amerika berkembang maju dalam pelbagai bidang.
Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk terus menjalinkan hubungan yang membina serta memperkukuh kerjasama dalam bidang tradisional seperti pertahanan, selain meneroka bidang baru seperti teknologi kritikal, menurut kenyataan MFA.
Sebelum lawatannya ke Washington, Dr Balakrishnan berada di London, di mana beliau bertemu dengan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel Britain, Encik David Lammy, untuk membincangkan hubungan ekonomi, isu geostrategik dan bidang kerjasama yang berpotensi untuk diteroka bersama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg