Topik diikuti
Pergi ke BHkuVivian: Kejayaan S’pura berkait rapat dengan kemajuan Indonesia
Vivian: Kejayaan S’pura berkait rapat dengan kemajuan Indonesia
Kejayaan Singapura berkait rapat kepada kemajuan, kestabilan serta keamanan Indonesia yang disifatkan sebagai tonggak utama bagi Asean dan dunia, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Beliau turut menyatakan keyakinan penuh Singapura terhadap masa depan Indonesia, sambil menegaskan bahawa kejayaan negara itu amat penting “memandangkan masa depan kedua-dua negara saling berkait rapat”.
Menurut Dr Balakrishnan, keyakinan itu turut dicerminkan melalui tindakan nyata, dengan Singapura kekal sebagai pelabur asing terbesar di Indonesia sejak 2014, dan begitu juga dengan pelaburan dana negara Singapura ke Indonesia.
Ini di samping 26 Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah ditandatangani kededua negara semasa Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia, antara Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dengan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, pada Julai lalu.
Ia sekali gus mencerminkan skop kerjasama yang amat luas bagi memajukan hubungan strategik kededua negara, serta komitmen kukuh daripada peringkat pemimpin tertinggi hingga ke akar umbi, ujar Dr Balakrishnan.
Beliau berkata demikian selepas perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Encik Arrmanatha Nasir, dalam satu sidang media bersama di Jakarta pada 27 Oktober.
“Saya ingin menegaskan bahawa Singapura mempunyai keyakinan penuh terhadap masa depan Indonesia. Kami mahu Indonesia berjaya kerana masa depan kami saling berkait rapat.
“Kejayaan Singapura turut bergantung kepada kemakmuran, kestabilan dan keamanan Indonesia.
“Indonesia merupakan tonggak utama bagi rantau kejiranan ini, untuk Asean dan untuk dunia,” ujar beliau.
Berucap selepas Encik Arrmanatha, yang turut menzahirkan keyakinan penuh negaranya terhadap Singapura menjadi Pengerusi Asean pada 2027, Dr Balakrishnan berkongsi bahawa pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya itu amat bermakna.
Antara perkara yang telah mereka bincangkan ialah perancangan Asean dan isu semasa.
Ini di samping usaha kededua negara untuk meneruskan momentum dan hasil daripada Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia dengan mereka telah menandatangani perjanjian pelbagai bidang antaranya ekonomi, tenaga, pertahanan, kerjasama digital, alam sekitar serta pembangunan modal insan.
Di samping itu, kededua Dr Balakrishnan dan Encik Arrmanatha turut membincangkan mengenai isu jerebu rentas sempadan – yang berlaku dek kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Beliau akur dengan Encik Arrmanatha bahawa rakyat Indonesia adalah pihak pertama yang menderita akibat kebakaran itu, terutamanya masyarakat di Sumatera dan Kalimantan.
Lantas, Singapura juga berdiri teguh bersama Indonesia, dan percaya ini adalah masalah bersama dan satu isu yang paling baik ditangani secara kolektif.
“Saya juga ingin memberi penghormatan kepada ribuan anggota kecemasan dan anggota bomba Indonesia yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak beberapa minggu lalu dalam keadaan yang amat sukar serta bahaya.
“Malah, saya tahu ada antara mereka yang mengalami kecederaan agak parah, dan kami mendoakan kesembuhan mereka. Mereka ini adalah wira yang berada di barisan hadapan,” ujar Dr Balakrishnan.
Beliau menambah bahawa Singapura juga menghargai usaha Encik Prabowo untuk menyelesaikan masalah tersebut dan mempertanggungjawabkan syarikat yang menyebabkan kebakaran hutan dan tanah di sana.