Singapura akan melabur $138 juta dalam penyelidikan dan pembangunan makanan sepanjang lima tahun bagi memperkukuh daya tahan terhadap risiko iklim dan gangguan bekalan dunia.

Agensi Makanan Singapura (SFA) akan membiayai penyelidikan ramalan risiko, teknologi memanjangkan jangka hayat makanan dan pengurusan bekalan simpanan, selain empat bidang sedia ada: akuakultur, pertanian, makanan masa depan dan keselamatan makanan.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata pada 27 Oktober bahawa perubahan iklim semakin menyukarkan pengeluaran makanan, menjadikan pertanian mampan dan berdaya tahan semakin penting.

Berucap di Sidang Kemuncak Inovasi Pertanian dan Makanan Asia Pasifik di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, beliau menyifatkan jerebu semasa sebagai peringatan kesan perubahan iklim terhadap rantau ini.

Menurutnya, amalan seperti penyaliran tanah gambut dan pembakaran terbuka boleh menjejas kesuburan tanah, ekosistem, daya penghasilan pertanian, mata pencarian dan keselamatan makanan.

“Amalan ini akhirnya boleh menjejas daya penghasilan pertanian, mata pencarian dan keselamatan makanan dalam jangka panjang,” tambah beliau.

Singapura mengimport lebih 90 peratus makanannya.

“Kita tidak boleh mengelak gangguan bekalan dunia hanya dengan meningkatkan pengeluaran makanan setempat.

“Sebaliknya, kita mesti memperkukuh daya tahan melalui sistem makanan yang pelbagai dan mampu menyesuaikan diri,” kata Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.

Strategi Singapore Food Story 2 menggariskan empat teras: mempelbagaikan import, menjamin perdagangan makanan melalui kerjasama antarabangsa, menyimpan stok dan menghasilkan makanan setempat, serta memperkukuh keupayaan menghadapi gangguan bekalan.

“Bagi negara kecil dengan sumber terhad seperti Singapura, inovasi penting untuk mengatasi kekangan serta memperkukuh daya tahan dan daya saing sektor pertanian dan makanan kita,” katanya.

Pembiayaan $138 juta di bawah pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2030 (RIE2030) menyusuli peruntukan $144 juta pada 2020 dan $165 juta pada 2025.

Cik Fu berkata RIE2030 akan menumpukan usaha memperkukuh daya tahan makanan Singapura serta mempercepat pembangunan dan penggunaan penyelesaian yang membawa manfaat nyata kepada industri.

Penyelidikan akuakultur akan menumpukan pembiakan benih dan anak ikan lebih bermutu yang sesuai dengan iklim tropika setempat, peningkatan mutu makanan dan kesihatan ikan, serta peningkatan sistem penternakan bagi meningkatkan produktiviti ladang setempat.

Dalam bidang pertanian, saintis akan membangunkan saka benih sesuai dengan iklim tropika serta teknologi penanaman tepat bagi meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan penggunaan tenaga.

Bagi makanan masa depan, penyelidikan dalam biologi kejuruteraan, teknologi proses biologi, pemakanan dan sains deria akan diperkukuh bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran, kemampuan harga dan mutu pemakanan.

Dalam bidang keselamatan makanan, usaha akan ditumpukan terhadap pengukuhan keupayaan Singapura mengenal pasti dan menilai ancaman baharu terhadap keselamatan makanan, serta membangunkan kaedah penilaian risiko lanjutan seperti Metodologi Pendekatan Baharu (New Approach Methodologies) dan Penilaian Risiko Generasi Seterusnya (Next Generation Risk Assessment) bagi melindungi kesihatan awam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SFA, Encik Leong Der Yao, berkata RIE2030 akan memperkukuh penyelidikan dan kerjasama bagi menghasilkan penyelesaian berguna berskala besar.

SFA, JAPFA tingkatkan akuakultur tropika

SFA menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat pertanian dan makanan bersepadu terkemuka di Asia, Japfa bagi penyelesaian berguna dalam bidang kesihatan hidupan akuatik dan pendigitalan.

Kedua-dua bidang ini penting untuk meningkatkan daya tahan dan daya penghasilan ladang.

Bidang yang boleh diteroka bersama termasuk pemantauan dan pengenalpastian penyakit menggunakan kecerdasan buatan (AI), pembuatan keputusan dalam pengurusan ladang serta kebolehkesanan.

Kedua-dua pihak akan meneroka bagaimana keupayaan penyelidikan Singapura dapat memperkukuh kepakaran komersial, operasi dan digital Japfa serta perniagaan akuakulturnya.

Japfa, yang beribu pejabat di Singapura, beroperasi di Indonesia, Vietnam, India, Myanmar dan Bangladesh.

Kerjasama itu turut melibatkan institusi penyelidikan dan rakan industri bagi mengesan penyakit dan risiko alam sekitar lebih awal serta meningkatkan pengurusan ladang.

Pengarah Japfa merangkap Ketua Pegawai Operasi (COO) bagi Perkhidmatan Korporat Bersama, Cik Gabriella Santosa, menekankan penyelesaian berasaskan keadaan setempat dan teknologi terkini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SFA, Encik Damian Chan, berkata kerjasama itu akan mempercepat penggunaan penyelesaian berguna dalam akuakultur digital dan pengurusan penyakit.