Aturan dan mekanisme kawal selia teknologi yang memberi kesan sejagat tidak boleh dimonopoli oleh segelintir negara yang berkuasa serta syarikat teknologi gergasi, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau merujuk kepada peranan kecerdasan buatan (AI) dan syarikat-syarikat teknologi yang semakin meningkat dalam konflik serta diplomasi sejagat.

Menurutnya sebagai negara kecil, Singapura berpendapat konsensus di peringkat sejagat harus merangkumi semua negara, termasuk negara-negara kecil dan negara sedang membangun.

Berucap semasa acara Minggu Siber Antarabangsa Singapura di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 15 Oktober, beliau menjelaskan:

“Kebanyakan daripada kita – malah negara kuasa besar sekalipun – tidak akan mempunyai monopoli keseluruhan terhadap rantaian teknologi atau tech stack. Pasti akan wujud tahap saling kebergantungan.”

Rantaian teknologi merujuk kepada alat perisian, bahasa pengaturcaraan, kerangka kerja, dan prasarana yang digunakan untuk membangunkan serta menjalankan sesuatu aplikasi.

Beliau menambah bahawa teknologi sedang berkembang dengan begitu pesat jika dibandingkan dengan keupayaan untuk mengawalnya.

Sungguhpun keupayaan untuk mengawal teknologi baharu seperti AI secara berkesan masih belum setara di peringkat sejagat, pihak pemerintah tetap memikul tanggungjawab utama terhadap keselamatan negara, undang-undang antarabangsa dan keputusan berkenaan penggunaan kekerasan, katanya.

Di sebalik peluang yang terkait dengan bidang teknologi, wujud risiko besar yang berkaitan, tambah beliau.

Ia termasuk kehilangan kawalan manusia ke atas sistem berautonomi dan penyalahgunaan teknologi oleh pihak yang berniat jahat bagi melakukan kegiatan jenayah seperti penipuan dan serangan perisian tebusan atau ransomware.

Ini selain teknologi yang mengganggu ekonomi dan meningkatkan ketidaksamaan serta perpecahan dalam masyarakat.

“Ini merupakan cabaran asas yang tidak mungkin dapat diselesaikan secara bersendirian oleh mana-mana pemerintah… mahupun mana-mana syarikat teknologi.

“Kita memerlukan satu pakatan baharu antara pemerintah, syarikat teknologi, dan masyarakat antarabangsa yang lebih luas,” ujarnya.

Dr Balakrishnan turut memberi penekanan bahawa penglibatan lebih mendalam bersama firma teknologi amat penting, terutama bagi teknologi AI canggih masa hadapan atau dikenali sebagai frontier AI.

Ini memandangkan terdapat sebilangan kecil syarikat yang sedang membangunkan keupayaan dengan kesan yang luas terhadap keselamatan antarabangsa.

Beliau berkata: “Kita memerlukan penilaian risiko yang dikongsi bersama, telus dan jelas.

“Kita perlu membangunkan norma dan mekanisme kawalan bersama supaya kita dapat mempercepat kemajuan teknologi serta meraih manfaatnya, di samping menangani risiko yang wujud.”

Ini bukan bermaksud inovasi itu disekat, tetapi sebaliknya meningkatkan tahap kepercayaan, keselamatan, dan jaminan supaya inovasi dapat berkembang, tambah beliau.

Walaupun mencapai konsensus mengenai perkara sedemikian bukanlah sesuatu yang mudah dalam persekitaran geopolitik semasa, terdapat kemajuan yang telah dicapai dalam membina konsensus antarabangsa berhubung norma bagaimana pihak-pihak tertentu harus bertindak.

Sebagai contoh, Singapura mempengerusikan kumpulan kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi dari 2021 hingga 2025.

Pengalaman tersebut menunjukkan bahawa, walaupun dalam dunia yang semakin berpecah belah pada masa ini, adalah tidak mustahil untuk mencapai konsensus dan menetapkan norma-norma, ujar Dr Balakrishnan.