Topik diikuti
Pergi ke BHkuVivian: Perpaduan Asean kayu ukur utama kejayaan kepengerusian S’pura pada 2027
Singapura ingin Asean perdalam integrasi ekonomi, perluas kerjasama dengan kuasa besar, pertengahan dunia.
Vivian: Perpaduan Asean kayu ukur utama kejayaan kepengerusian S’pura pada 2027
Meskipun terdapat pertelingkahan dan perselisihan pendapat dalam kalangan negara anggota Asean, cabaran dan risiko yang dihadapi bersama, serta peluang yang dikongsi, jauh mengatasi perbezaan mereka, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Justeru, beliau berkata memastikan kesemua 11 negara anggota kekal bersatu dan Asean terus memainkan peranan utama dalam memacu kerjasama diplomatik, keamanan, keselamatan dan pertumbuhan ekonomi di Asia Tenggara merupakan antara kayu ukur kejayaan Singapura apabila ia menerajui blok serantau itu selaku Pengerusi Asean pada 2027.
Dr Balakrishnan berkata demikian dalam satu sesi dialog di Sidang Kemuncak Masa Depan Asia anjuran SPH Media di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands di Marina Bay Sands pada 27 November.
Sidang tersebut, anjuran SPH Media, turut dibentangkan bersama oleh lima penerbitan utamanya – The Straits Times (ST), The Business Times (BT), Lianhe Zaobao (ZB), Berita Harian (BH) dan Tamil Murasu (TM).
OCBC merupakan penaja utama bagi Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2026, dengan Marina Bay Sands sebagai rakan kongsi lokasi rasmi dan Amazon Web Services sebagai rakan kongsi awan rasmi.
Dua lagi kayu ukur kejayaan, kata Dr Balakrishnan, adalah memperdalam integrasi ekonomi dan perdagangan antara negara anggota, serta memperluas kerjasama Asean dengan kuasa besar dan kuasa pertengahan dunia.
“Kita perlu mengekalkan perpaduan dan peranan utama Asean.
“Ya, kita akan mengalami pertelingkahan dan perselisihan pendapat, namun risiko dan peluang yang dikongsi bersama jauh mengatasi perbezaan kita.
“Justeru, memastikan kesemua 11 negara kita kekal bersama dalam keadaan yang relatif aman dan selamat merupakan kejayaan pertama,” ujarnya.
Singapura akan mengambil alih kepengerusian Asean pada 2027, bertepatan dengan ulang tahun ke-60 penubuhan blok serantau itu.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, termasuk situasi di Myanmar dan konflik sempadan antara Kemboja dengan Thailand, Dr Balakrishnan berkata pemimpin 11 negara Asean masih dapat duduk semeja, membincangkan perbezaan dan merancang masa depan bersama.
Beliau turut menarik perhatian kepada kemajuan besar yang dicapai Asean sejak penubuhannya pada 1967.
Dari sudut ekonomi, Dr Balakrishnan berkata meskipun Asean kini mempunyai gabungan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sekitar AS$4 trilion hingga AS$4.5 trilion, blok itu belum merealisasikan sepenuhnya visinya untuk menjadi sebuah pasaran, zon pelaburan dan pangkalan pengeluaran tunggal.
Keadaan dunia yang semakin tidak menentu menjadikan usaha memperdalam integrasi ekonomi serantau lebih penting, tambahnya.
Ini termasuk meningkatkan perdagangan antara negara anggota, mengurangkan halangan bukan tarif bagi memudahkan rantaian bekalan serantau serta merealisasikan Grid Tenaga Asean (APG).
Malah, menurut Dr Balakrishnan, Asean mampu menjadi pengeksport bersih tenaga sekiranya pelaburan mencukupi disalurkan kepada pembangunan infrastruktur tenaga serantau.
“Mengapa kita mahu berintegrasi? Untuk menarik lebih banyak pelaburan, meningkatkan daya saing dan menyepadukan ekonomi kita.
“Adakah terdapat cabaran dalam merundingkan perjanjian-perjanjian ini? Ya, memang ada. Tetapi jelas sekali kita perlu melakukannya,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Balakrishnan turut menekankan kepentingan Asean memperluas kerjasama dengan kuasa besar dan kuasa pertengahan dunia, tanpa membiarkan rantau ini menjadi medan peperangan proksi atau persaingan yang menguntungkan satu pihak dengan mengorbankan pihak lain.
“Kita tidak mahu dipaksa memilih pihak, sebaliknya kita mahu menjalin hubungan dengan semua pihak,” ujarnya.
Beliau mengakui terdapat perbezaan dalam tahap keakraban dan kebergantungan ekonomi serta politik setiap negara anggota Asean terhadap kuasa besar dunia.
Namun, apa yang penting ialah negara anggota terus bersepakat untuk kekal terbuka dan inklusif, berdagang serta menarik pelaburan daripada semua pihak, di samping memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
“Itulah yang akan menentukan kejayaan Asean dalam jangka sederhana hingga panjang, dan itulah yang sedang kita usahakan.
“Kami (Singapura) akan memainkan peranan kami untuk memastikan usaha ini terus bergerak ke hadapan,” ujar Dr Balakrishnan.