Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: S’pura bimbang huraian terhad susuli keganasan berterusan di Myanmar

Dec 20, 2024 | 6:34 PM
(Dua dari kiri) Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Asean semasa Perundingan Tidak Rasmi Lanjutan dalam kalangan Negara Anggota Asean mengenai Myanmar pada 20 Disember di Bangkok, Thailand.
(Dua dari kiri) Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Asean semasa Perundingan Tidak Rasmi Lanjutan dalam kalangan Negara Anggota Asean mengenai Myanmar pada 20 Disember di Bangkok, Thailand. - Foto FACEBOOK/VIVAN BALAKRISHNAN

Singapura menyuarakan kebimbangan terhadap keganasan yang berlarutan selama hampir empat tahun selepas rampasan kuasa di Myanmar oleh pihak tentera pada Februari 2021.

Dalam satu kenyataan pada 20 Disember, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, melahirkan kekecewaan Singapura terhadap kemajuan terhad yang dicapai dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang disepakati anggota Asean.

Konsensus tersebut menggesa agar krisis di Myanmar tidak menjejas hasil keputusan Asean.

MFA menekankan kepentingan dialog yang membina dalam kalangan pihak berkepentingan utama Myanmar bagi mencapai penyelesaian terhadap krisis secara aman dan berkekalan.

Kenyataan tersebut dibuat sedang Menteri Ehwal Luar Asean mengadakan perbincangan substantif dalam Rundingan Tidak Rasmi Lanjutan dalam kalangan Negara Anggota Asean mengenai Myanmar pada 19 dan 20 Disember di Bangkok, Thailand.

Dalam satu catatan Facebook pada 20 Disember, Dr Vivian, yang menghadiri rundingan itu, berkata Menteri Ehwal Luar Asean “mengesahkan Konsensus Lima Perkara, yang mesti dihormati oleh pihak berkuasa tentera Myanmar”.

“Keganasan, terutama terhadap orang awam, mesti dihentikan segera.

“Dialog yang membina dalam kalangan pihak berkepentingan utama Myanmar adalah penting untuk mencapai penyelesaian yang aman dan kekal.

“Saya menyeru agar Cik Daw Aung San Suu Kyi dibebaskan segera – ia sangat penting untuk pendamaian kebangsaan,” kata beliau.

Anggota Asean tidak mencapai banyak kemajuan sejak rampasan kuasa di Myanmar pada 2021, dengan tentera sebahagian besarnya mengabaikan Konsensus Lima Perkara sedemikian.

Malah anggota Asean juga berbelah bahagi tentang bagaimana mengadakan perbincangan dengan tentera Myanmar.

Dr Balakrishnan turut menekankan bahawa Singapura akan terus menyokong usaha Malaysia sebagai Pengerusi Asean yang akan datang dan Duta Khasnya berdasarkan Konsensus Lima Perkara dan keputusan pemimpin.

MFA turut menjelaskan Singapura akan menyokong usaha Asean dalam meredakan krisis kemanusiaan di Myanmar.

Konflik di Myanmar bermula sejak Februari 2021, apabila junta tentera merampas kuasa daripada pemerintah yang dipilih secara demokratik.

Pemimpin Asean sebulat suara bersetuju berpegang kepada Konsensus Lima Perkara, iaitu pelan perdamaian dengan tentera Myanmar untuk menghuraikan krisis, dalam satu mesyuarat pada April 2021.

Di samping itu, Dr Vivian mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Ehwal Luar Laos, Encik Thongsavanh Phomvihane, semasa lawatannya di Bangkok.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg