Topik diikuti
Pergi ke BHkuVivian: S’pura enggan jadi sasaran dasar tarif AS
Vivian: S’pura enggan jadi sasaran dasar tarif AS
Washington dijangka lancar langkah tarif global baharu
Vivian: S’pura enggan jadi sasaran dasar tarif AS
MANILA: Singapura sedang berusaha untuk menjelaskan kepada Amerika Syarikat bahawa ia “bukan sasaran” dasar tarif Washington, serta ingin mengelak daripada turut terjejas sama atau menjadi kebinasaan lingkungan dasar tersebut.
Ini sedang pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menaikkan tarif ke atas rakan dagang di seluruh dunia.
Demikian menurut Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, kepada media pada 23 Julai, selepas menamatkan siri mesyuarat selama seminggu di Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean di Manila.
Dr Balakrishnan berkata beliau telah membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat dua hala bersama Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio.
“Anda dan saya sedia maklum bahawa pentadbiran Amerika, atas sebab-sebab politik dalamannya sendiri, perlu meningkatkan hasil tarif.
“Saya tidak akan mendedahkan butiran perbincangan saya, tetapi saya sedang cuba mencari jalan untuk menegaskan Singapura bukan sasaran Amerika – bukan sama sekali,” kata Dr Balakrishnan, sambil menambah bahawa beliau dan Encik Rubio telah mengadakan “perbincangan yang baik, terbuka dan telus”.
“Beliau memahami kita, beliau mengenali Singapura, dan beliau sememangnya seorang yang mempunyai pengalaman luas dalam kedua-dua bidang diplomasi serta ekonomi.
“Saya telah menegaskan bahawa Amerika mempunyai lebihan dagangan terhadap kita, malah ia semakin meningkat. Atas dasar itu, sebenarnya tiada asas secara teknikal atau ekonomi untuk mengenakan tarif ke atas kita.”
Perbincangan itu diadakan sehari sebelum tamat tempoh caj tambahan import sementara 10 peratus oleh pentadbiran Encik Trump.
Selepas ia tamat, Washington dijangka melancarkan langkah tarif global baharu.
Pentadbiran Encik Trump telah memberi isyarat bahawa tarif lebih khusus di bawah Seksyen 301 mungkin akan menyusul, sekali gus membenarkan duti dikenakan terhadap negara-negara yang didapati terlibat dalam amalan perdagangan tidak adil susulan satu siasatan.
Singapura menolak dakwaan bahawa ia terlibat dalam amalan perdagangan tidak adil, termasuk penggunaan buruh paksa dalam rantaian bekalan, dan telah memberitahu Amerika bahawa ia tidak menerima amalan sedemikian.
Selain perbincangan Singapura dengan Washington, Dr Balakrishnan berkata ketidaktentuan mengenai tarif Amerika telah mengukuhkan keperluan untuk Asean memperdalam penyepaduan ekonomi dan meningkatkan daya tahan mereka.
Semasa ditanya mengenai keutamaan Singapura apabila ia menyandang jawatan Pengerusi Asean pada 2027, beliau menggariskan tiga tema luas, iaitu mengekalkan pemusatan Asean, membina ketahanan dan mengukuhkan penyepaduan rantau.
Meskipun persaingan semakin sengit antara Washington dengan Beijing, Dr Balakrishnan berkata kedua-dua kuasa besar itu telah menjalani mesyuarat minggu ini dalam keadaan “berhati-hati, berhemah dan membina”.
Beliau menyambut baik hakikat bahawa tiada pihak yang cuba memaksa negara-negara Asean untuk membuat pilihan antara mereka, sambil menambah bahawa kedua-duanya memahami rantau ini kekal mengutamakan pembangunan ekonomi, akses kepada teknologi dan perdagangan bebas.
“Ini adalah masa untuk berhati-hati. Ini adalah masa untuk bekerjasama. Ini adalah masa, terutamanya bagi kuasa pertengahan dan kita di (rantau) Asean, untuk menegaskan undang-undang antarabangsa, amalan kerjasama, berusaha berlandaskan penyertaan pelbagai hala, dan tidak mengamalkan tindakan sepihak atau bersifat paksaan,” kata Dr Balakrishnan.
Dr Balakrishnan turut memuji Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, dan Setiausaha Hal Ehwal Luar, Cik Ma Theresa Lazaro, kerana memimpin blok serantau itu dalam melalui “tempoh agak bergolak” di tengah-tengah peperangan, gangguan rantaian bekalan dan persaingan antara kuasa-kuasa besar.
“Cara terbaik untuk meningkatkan daya tahan adalah dengan bekerjasama, menyatukan ekonomi kita, bagi memastikan kita tidak panik dan tidak meletakkan halangan atau sekatan sesama kita,” katanya.