Vivian: S’pura masih pertimbang jemputan AS untuk sertai Lembaga Keamanan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: S’pura masih pertimbang jemputan AS untuk sertai Lembaga Keamanan

Feb 27, 2026 | 7:05 PM

Vivian: S’pura masih pertimbang jemputan AS untuk sertai Lembaga Keamanan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lembaga Keamanan, amerika syarikat
Hampir 50 negara menghadiri mesyuarat Lembaga Keamanan pada 19 Februari, satu inisiatif yang diterajui Amerika Syarikat untuk menyelia pelan damai Gaza bagi fasa seterusnya. - Foto AFP

Singapura masih mempertimbangkan jemputan Amerika Syarikat untuk menjadi anggota rasmi Lembaga Keamanan yang baru ditubuhkan, ujar Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pada 27 Februari.

Sementara itu, pemerintah akan meneroka inisiatif-inisiatif yang diumumkan pada mesyuarat sulung lembaga itu di Washington pada 19 Februari.

Hampir 50 negara menghadiri mesyuarat Lembaga itu – satu inisiatif yang diterajui Amerika untuk menyelia pelan damai Gaza bagi fasa seterusnya.

Menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Gerald Giam (GRC Aljunied), mengenai perkembangan jemputan yang dihantar pada Januari, Dr Balakrishnan berkata Singapura akan terus memainkan peranan konstruktif dalam usaha mencapai keamanan dan pembinaan semula Gaza.

Berucap semasa perbahasan Belanjawan kementeriannya pada 27 Februari, Dr Balakrishnan menegaskan bahawa pendirian Singapura berhubung isu Palestin iaitu penyelesaian dua negara yang dirundingkan kekal sebagai satu-satunya jalan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.

Pendirian ini selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami menentang sebarang percubaan untuk mewujudkan situasi baru di lapangan yang menjejas prospek penyelesaian dua negara. Kami secara konsisten memegang pendirian bahawa penempatan Israel di Tebing Barat adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, Singapura terus menyalurkan bantuan kepada Gaza dengan menyumbang 11 siri bantuan kemanusiaan dan sumbangan melebihi $25 juta.

Menteri Negara (Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim turut menyatakan bahawa Singapura dan rakyatnya telah berganding bahu untuk menyumbang bantuan serta sumbangan kewangan kepada Gaza.

Krisis kemanusiaan, tambahnya, ini telah menyentuh sanubari ramai.

Beliau berkata tindakan rakyat Singapura berganding bahu tanpa mengira kaum dan agama untuk menyokong usaha bantuan, mencerminkan semangat kemasyarakatan ‘we first’ (kita dahulu).

Singapura turut menyokong usaha pembangunan modal insan melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkatkan bernilai $10 juta untuk Penguasa Palestin (PA) sebagai persediaan bagi pembentukan negara Palestin pada masa akan datang.

Beliau menambah bahawa Singapura turut bekerjasama dengan rakan serantau di Timur Tengah seperti Jordan dan Mesir untuk menyokong rakyat Palestin di Gaza, contohnya melalui pelepasan bantuan kemanusiaan dari udara dan sumbangan alat prostetik.

Dr Balakrishnan dan Encik Zhulkarnain juga baru-baru ini menyambut kedatangan Menteri Kewangan dan Perancangan PA, Dr Estephan Salameh, yang berada di Singapura dalam satu lawatan rasmi. 

Dr Salameh menyuarakan penghargaannya terhadap bantuan kemanusiaan dan sokongan pembangunan keupayaan oleh Singapura, kata Encik Zhulkarnain.

Encik Zhulkarnain berkata pemerintah menantikan perkongsian berterusan pengalaman Singapura dengan PA dalam bidang yang menjadi tumpuan dan memberi manfaat kepada mereka.

Semasa perbahasan, Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) telah mengajukan persoalan mengenai situasi di Gaza, manakala Dr Syed Harun Alhabsyi (GRC Nee Soon) dan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) bertanya mengenai sokongan Singapura terhadap usaha kemanusiaan.

Encik Zhulkarnain berkata semangat memberi rakyat Singapura meliputi krisis kemanusiaan lain di seluruh dunia.

Beliau menambah bahawa apabila Asia Tenggara dan Asia Selatan mengalami beberapa bencana alam pada 2025, rakyat Singapura tampil untuk menyumbang bantuan dan menyokong usaha pengumpulan dana oleh Palang Merah Singapura (SRC) dan organisasi kebajikan lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg