Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hong Tat: S’pura boleh manfaat kepercayaan, sedia tangani krisis bagi peluang pertumbuhan baru

Jun 5, 2025 | 3:06 PM
 Encik Chee Hong Tat,  Nags Sankaranarayanan,
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat (kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nomura Asia-Pasifik, Encik Nags Sankaranarayanan, dalam satu sesi perbincangan sempena Forum Pelaburan Nomura Singapura pada 4 Jun. - Foto NOMURA

Kebimbangan semakin meningkat bahawa pengambilan pekerja di Singapura – terutama dalam kalangan lulusan baru – mungkin perlahan, apabila pelabur dan syarikat menangguhkan keputusan pelaburan susulan ketidaktentuan dasar tarif Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Namun begitu, reputasi Singapura sebagai hab kewangan yang dipercayai akan membolehkannya terus menarik pelaburan, bakat dan teknologi dari seluruh dunia.

Sebuah pasukan petugas baru yang ditubuhkan untuk membantu syarikat dan pekerja bersiap sedia menghadapi ketidaktentuan juga telah meletakkan Singapura pada kedudukan yang kukuh untuk menangani krisis ini, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 4 Jun.

Berucap di forum pelaburan anjuran syarikat kewangan, Nomura, yang diadakan di Hotel Ritz-Carlton, Encik Chee – yang juga Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) – berkata meskipun langkah syarikat mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam persekitaran semasa boleh difahami, ia mungkin menjejas peluang pekerjaan jika diamalkan secara meluas.

“Kami bimbang,” kata Encik Chee, sambil menekankan kelembapan berterusan boleh memberi kesan kepada peluang pekerjaan, termasuk bagi pelajar yang bakal menamatkan pengajian.

Akses kepada pembiayaan turut menjadi kebimbangan yang semakin ketara, jelas Encik Chee.

“Terdapat syarikat yang sebenarnya mempunyai perniagaan, produk serta perkhidmatan yang berdaya maju, tetapi disebabkan ketidaktentuan (semasa), mereka mungkin berdepan lebih banyak kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan.”

Encik Chee berkata demikian sebagai menjawab soalan yang diajukan Ketua Eksekutif Nomura Asia-Pasifik, Encik Nags Sankaranarayanan, berhubung kesan perang dagang Amerika-China terhadap Singapura serta penilaian pemerintah terhadap keadaan semasa, lapor The Straits Times (ST).

Menurut Encik Chee, kegiatan perkilangan tempatan kini mencatat tahap terendah dalam beberapa bulan, menandakan kebimbangan syarikat terhadap ketidaktentuan semasa.

Meskipun masih ada keperluan untuk menyediakan sokongan bagi menghadapi ketidaktentuan ini – khususnya dalam aspek seperti pembiayaan dan pengambilan pekerja – usaha itu sahaja tidak memadai.

Ini kerana syarikat dan pekerja juga perlu melihat ke depan serta bersedia menghadapi persekitaran perniagaan dengan cabaran dan peluang baru.

Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), yang diumumkan pada April, ditubuhkan untuk tujuan ini.

“Kami mempunyai satu pasukan (Sert) yang meneliti cara untuk membantu syarikat dan pekerja, serta menyediakan beberapa bantuan tambahan di samping apa yang telah kami umumkan dalam Belanjawan awal tahun ini (2025),” kata Encik Chee.

Pasukan petugas itu juga membantu syarikat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berubah dengan mengenal pasti peluang baru serta cabaran yang mungkin timbul, selain membekalkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk kekal relevan, tambah beliau.

Sementara itu, MAS sentiasa mengkaji semula peraturan dan proses di Singapura untuk mengenal pasti halangan kepada perniagaan serta meningkatkan daya tarikan Singapura kepada syarikat dan pelabur.

“Kita ada perkhidmatan baru, model perniagaan baru, dan keperluan baru, maka penting untuk kami (MAS) kekal selari dengan perubahan tersebut bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos perniagaan,” kata Encik Chee.

Usaha juga sedang dijalankan untuk memperkukuh pasaran modal Singapura, dengan MAS kini mendapatkan maklum balas mengenai cadangan untuk memperkemas keperluan pendedahan maklumat dan meluaskan saluran capaian pelabur semasa tempoh Tawaran Awam Awal (IPO).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg