Pesakit yang memilih wad bersubsidi di hospital awam pada masa depan, terutamanya di hospital baru, berkemungkinan besar akan ditempatkan dalam wad dengan maksimum enam katil.
Ini berbanding wad yang menempatkan sehingga lapan katil atau lebih pada masa ini.
Sebelum ini, susun atur wad bagi hospital baru telah diseragamkan menerusi pelancaran rangka kerja baru – Piawaian Reka Bentuk Kemudahan Penjagaan Kesihatan (HFDS) – oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada 9 Disember.
Langkah itu membuka laluan bagi kemungkinan penggabungan dua jenis wad bersubsidi – B2 dan C.
Perbezaan fizikal antara dua wad tersebut “tidak lagi begitu ketara”, menurut MOH pada 2021.
HFDS turut menyeragamkan ciri-ciri lain hospital awam seperti sistem paip dan lif, menurut laporan The Straits Times (ST).
Ini membawa pelbagai manfaat, termasuk membolehkan hospital baru dibina dengan lebih pantas dan dengan kos perbelanjaan yang dijangka lebih rendah.
Hospital Besar dan Komuniti Tengah (TGCH) baru di Tengah Garden Avenue, Menara Perubatan Hospital Tan Tock Seng (TTSH), serta pembangunan semula Hospital Universiti Nasional (NUH) di Kent Ridge merupakan antara projek terawal yang menggunakan HFDS.
Susun atur wad di bawah HFDS, berukuran 8.4 meter kali 8.4 meter, dengan setiap katil serta ruang sekelilingnya dimuatkan dalam grid tersebut.
Susunan ini membolehkan “penyusunan semula ruang dalaman tanpa perubahan struktur utama” dan membolehkan pengubahsuaian, peluasan atau penaiktarafan teknologi pada masa depan.
Rangka kerja itu merangkumi tiga jenis wad umum – kelas A dengan satu katil, kelas B1 dengan empat katil, serta kelas B2 atau C dengan enam katil.
Wad kelas B2 pada masa ini mempunyai sehingga enam katil. Bagi wad kelas C pula, jumlah katil adalah antara lima hingga 12.
HFDS dibangunkan oleh MOH Holdings (MOHH) dan tiga kelompok penjagaan kesihatan awam, dengan mengambil kira amalan terbaik serta pengajaran daripada projek terdahulu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara TGCH, Profesor Madya Victor Koh, ditanya pihak media sama ada hospital itu akan memanfaatkan susun atur wad yang diseragamkan sepenuhnya, dan jika ia hanya akan mempunyai satu jenis wad bersubsidi.
Dr Koh berkata sebagai projek pertama di bawah HFDS, TGCH “masih berada dalam peringkat perancangan dan penerokaan”.
Selain tiada perbezaan fizikal yang ketara antara kedua-dua jenis wad bersubsidi itu, perbezaan kos juga tidak begitu tinggi di kebanyakan hospital.
Contohnya, kos harian bagi warga Singapura di wad kelas C dengan 12 katil di Hospital Besar Ng Teng Fong ialah $51, iaitu $4 lebih rendah berbanding wad B2 dengan enam katil.
Bercakap kepada ST semasa pelancaran HFDS, Pengarah Bahagian Projek Infrastruktur Penjagaan Kesihatan MOHH, Encik Joseph Toh, berkata penting untuk berbelanja secara berhemat apabila menggunakan dana awam.
Oleh itu, projek yang telah dimulakan mungkin tidak dapat diubah suai bagi mematuhi HFDS, untuk mengelakkan pembatalan kerja yang telah dijalankan.
Namun, beliau berkata disebabkan HFDS berasaskan amalan terbaik, sebahagian cirinya mungkin sudah pun diterapkan pada reka bentuk hospital.
Hospital-hospital sedia ada boleh melaksanakan HFDS apabila tiba masanya untuk kerja-kerja pembaikan atau pembaharuan, tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg