Dalam dunia yang penuh cabaran, setiap individu memerlukan pedoman hidup yang kukuh.
Bagi umat Islam, agama bukan sekadar ibadah seperti solat dan puasa, bahkan satu sistem kehidupan menyeluruh yang merangkumi aspek sosial, ekonomi, pendidikan, kekeluargaan dan kepimpinan.
Segala panduan ini berpandukan Al-Quran dan sunah Rasulullah saw.
Seperti firman Allah swt dalam Surah Al-Isra’, ayat 9: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus...”
Penghayatan Islam secara menyeluruh melahirkan individu berakhlak dan masyarakat harmoni serta terhindar daripada kerosakan sosial dan moral.
Kefahaman ini harus dipupuk sejak awal melalui pendidikan agama yang menyeluruh.
Ia bermula dengan asas fardu ain, akhlak dan adab, yang menjadi teras dalam membentuk umat yang berilmu, bertakwa dan diberkati.
Antara perumpamaan Rasulullah saw sebutkan, ilmu dan petunjuk diibaratkan seperti hujan yang menyuburkan bumi – ada tanah yang menyerap dan menumbuhkan manfaat, dan ada pula yang gersang.
Pesanan Baginda menggariskan kepentingan memahami dan menyebarkan ilmu agama agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Berdasarkan semangat ini, pelbagai daya usaha telah digerakkan oleh asatizah dan institusi di bawah naungan Kumpulan Kerja Pendidikan Islam (IEWG), termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Andalus, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Perdaus serta beberapa pusat dan penyedia khidmat pendidikan Islam yang lain.
Usaha ini bertujuan menarik minat masyarakat supaya mendalami Islam daripada peringkat asas hingga lanjutan.
Salah satu daya usaha utama ialah ‘LearnIslam Fest 2025’, yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Julai di Singapore Expo, Dewan 5B dari 12 tengah hari hingga 10 malam.
Bertema, ‘Semai Benih Keimanan’, acara ini bertujuan melahirkan generasi peka agama yang memahami serta mengamalkan ajaran Islam dalam konteks moden.
Antara tarikan utama termasuk forum ‘ADIL Knowledge Retreat’ oleh Dr Rania Awaad bertajuk, ‘Mencari Ketenangan dalam Kecelaruan’, perkongsian inspirasi bersama selebriti tempatan, Aisyah Aziz, dan Ustazah Nur Hidayah Azman.
Persembahan oleh kumpulan nasyid Inteam, serta pelbagai program menarik seperti ‘Fiqh Perancangan Harta’, tunjuk cara masakan oleh Cef Gero Omar, dan pertandingan Al-Quran kanak-kanak juga diadakan.
Acara ini juga mengetengahkan program seperti aLIVE, ADIL, ADIL Self-Paced Learning (SPL) dan ADIL Knowledge Retreat (AKR) sebagai saluran pendidikan Islam sepanjang hayat untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Penekanan turut diberikan kepada kepentingan pembelajaran daripada institusi bertauliah bagi mengelakkan fahaman ekstrem dan memastikan kesatuan ummah.
‘LearnIslam Fest 2025’ merupakan jambatan ilmu dan amal dalam membentuk masyarakat Islam Singapura yang progresif dan berdaya tahan.
Sertailah acara ini bersama keluarga dan rakan-rakan demi menyemai benih keimanan dalam diri dan masyarakat kita.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web, https://learnislam.sg/learnislam-fest/, atau ikuti laman @LearnIslam.SG di Instagram.
Penulis ialah Pegawai Projek di Jabatan Pendidikan, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dan sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Dakwah dan Usuluddin di Universiti Islam Madinah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg