Wajah baru akhbar BH direka semula agar lebih kemas, mudah dibaca
Wajah baru akhbar BH direka semula agar lebih kemas, mudah dibaca
Diberi amanah untuk membentuk wajah baru akhbar Berita Harian (BH), Artis Eksekutif BH, Encik Mohd Samad Afandie, mempunyai misi yang jelas.
Reka bentuk BH, yang bakal diterbitkan dalam saiz kompak mulai 24 Mac, perlu memenuhi cita rasa serta tabiat pembaca yang berubah.
“Ramai yang mahu berita mereka disampaikan dengan cepat dan jelas,” ujarnya.
Sejajar dengan perubahan tersebut, susun atur baru BH menampilkan tipografi yang lebih kemas, visual yang lebih fokus serta penggunaan ruang yang lebih strategik.
Ini sedang akhbar BH beralih daripada format lembaran lebar (broadsheet) kepada edisi kompak yang saiznya sekitar separuh daripada sebelumnya.
Pendekatan ini diharapkan akan menjadikan sajian berita lebih mudah dihadam, sesuai dengan rentak kehidupan moden yang serba pantas.
Bagi edisi kompak, Encik Samad turut memperkenalkan palet warna yang diinspirasikan daripada tona ‘espresso coffee’, iaitu gabungan warna coklat, zaitun dan warna bumi, sebagai identiti visual baru untuk halaman Sukan dan Gaya Hidup.
“Pilihan warna ini bukan sekadar estetika, tetapi sebahagian daripada pengalaman membaca yang ingin saya terapkan. Ia lebih mesra mata, lembut dan tidak meletihkan mata pembaca.
“Dalam dunia yang semakin pantas dan penuh gangguan, saya lihat membaca akhbar sebagai satu detik yang lebih peribadi bagi saya – seperti menikmati secawan kopi di waktu pagi, jadi warna-warna ini membawa perasaan yang sama dalam reka bentuk baru: hangat, santai dan kontemporari – agar pengalaman membaca terasa lebih selesa dan intim,” katanya.
Encik Samad, yang berusia 62 tahun, berkata edisi kompak ini bukan sekadar perubahan dalam saiz akhbar, bahkan bertujuan untuk mempertingkatkan pengalaman membaca.
Arah visual ini turut diinspirasikan oleh keperluan memastikan akhbar tradisi BH terus kekal relevan dalam dunia yang semakin pantas dan semakin menekankan elemen visual.
Beliau turut mengemukakan persoalan: “Sekiranya pembaca boleh tatal atau scroll maklumat pada skrin telefon bimbit yang kecil, mengapa akhbar kompak tidak boleh menawarkan pengalaman yang lebih menarik dan selesa?”
“Cabaran utama dalam edisi ini adalah untuk mempertimbangkan dengan teliti, daripada bilangan perkataan hinggalah kepada tajuk.
“Susun atur juga perlu cukup fleksibel untuk menempatkan iklan, foto serta elemen visual lain, sambil memastikan wartawan dan pereka halaman dapat menyampaikan cerita dengan jelas dan berkesan,” katanya yang mempunyai pengalaman bertugas lebih 20 tahun di BH.
“Walaupun ruangnya lebih kecil, format ini masih mampu memberi pengetahuan dan pemahaman tentang sesuatu peristiwa dengan konteks yang jelas,” tambah beliau, yang menerima Anugerah Infografik Iklim Terbaik (Perak) daripada Persatuan Dunia bagi Akhbar dan Penerbit Berita (WAN-Ifra) pada 2025.
Sepanjang proses pembangunan reka bentuk tersebut, pasukan BH melalui pelbagai percubaan susun atur sebelum memuktamadkan struktur halaman yang paling sesuai untuk format kompak.
Dalam usaha memperhalusi reka bentuk ini, rujukan turut dibuat kepada beberapa penerbitan lain yang telah beralih kepada format kompak, termasuk akhbar terbitan SPH serta akhbar antarabangsa seperti The Guardian.
“Walaupun BH kini dalam format kompak, jiwa akhbar ini tetap besar – dipupuk sejak berzaman dengan kesabaran, darah dan keringat, serta keyakinan bahawa BH masih penting untuk masyarakat,” kata Encik Samad lagi. – Farah Dhabitah Abu Samah
“
Pilihan warna ini bukan sekadar estetika, tetapi sebahagian daripada pengalaman membaca yang ingin saya terapkan. Ia lebih mesra mata, lembut dan tidak meletihkan mata pembaca... saya lihat membaca akhbar sebagai satu detik yang lebih peribadi bagi saya – seperti menikmati secawan kopi di waktu pagi, jadi warna-warna ini membawa perasaan yang sama dalam reka bentuk baru: hangat, santai dan kontemporari – agar pengalaman membaca terasa lebih selesa dan intim.
