BH siap sedia alih ke format kompak pada 24 Mac
Langkah dalam usaha saji pengalaman membaca lebih segar, moden
Pasukan Berita Harian (BH) sedang menggiatkan persiapan akhir bagi beralih ke edisi kompak, yang dijadual terbit pada 24 Mac, sebagai sebahagian daripada proses transformasi akhbar ini.
Langkah itu menandakan fasa penting dalam sejarah akhbar berbahasa Melayu tunggal di Singapura, dalam usaha menyajikan pengalaman membaca yang lebih segar dan moden, kata Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.
“Seluruh pasukan kami, daripada wartawan di lapangan, hingga ke meja penyuntingan dan pereka grafik, kini memberikan tumpuan bagi memastikan peralihan ke format kompak ini berjalan lancar.
“Wartawan kami sedang menyiapkan kandungan khas yang disesuaikan dengan format baru, manakala pasukan penyunting dan pereka grafik pula sedang memperhalusi susun atur serta reka letak yang lebih segar dan moden,” kata Encik Nazry.
Matlamat utama BH, katanya lagi, adalah untuk memastikan setiap halaman bukan sahaja mudah dibaca dan menarik secara visual, malah tetap memelihara mutu kewartawanan yang menjadi tunjang kepercayaan masyarakat selama ini.
Sebelum, Encik Nazry telah mengumumkan format baru akhbar BH, yang ditubuhkan pada 1957, daripada lembaran lebar (broadsheet) kepada saiz kompak, semasa majlis Anugerah Jauhari, 7 November lalu.
Dalam ucapan di majlis itu, beliau menyatakan pertukaran format cetak merupakan kesinambungan kepada transformasi menyeluruh BH yang bermula sejak 2023.
Sepanjang tempoh tersebut, BH telah menyusun semula bilik berita dan mengoptimumkan aliran kerja.
Akhbar BH turut mewujudkan pasukan media sosial khusus, yang mengetengahkan gaya penceritaan baru seperti podcast, video, dan bahan penerangan.
Selain mempertingkatkan kandungannya, BH memperkukuh penglibatan pembaca dengan menubuhkan unit khusus yang dinamakan Audiens dan Perkembangan.
Menjelang peralihan ke format kompak, pembaca boleh menjangkakan edisi terakhir bagi akhbar mingguan Berita Minggu (BM) dalam format broadsheet yang akan diterbitkan pada 15 Mac.
Ini disusuli dengan naskhah terakhir BH dalam format broadsheet pada 23 Mac, sebelum versi kompak rasmi mula menemui pembaca pada 24 Mac.
Dalam format baru itu, pembaca boleh menjangkakan antara lain reka bentuk yang lebih mesra pembaca, laporan lebih mudah dihadam serta penulisan dengan analisis yang lebih mendalam.
Di samping itu, format kompak akan menonjolkan penceritaan visual yang lebih mantap, seiring penyepaduan cetak-ke-digital yang lancar, melalui kod QR.
Peralihan kepada format kompak itu didorong oleh maklum balas pembaca yang menginginkan reka bentuk lebih mesra pengguna.
Tinjauan BH sebelum ini menunjukkan lebih 86 peratus pembaca BH menyambut baik langkah ke arah format saiz kompak.
BH turut berkongsi rancangan format akhbar baru itu dengan pengiklan sedia ada dan berpotensi dalam acara khas pada 21 Januari.
Dalam usaha mendekati masyarakat dengan lebih berkesan, edisi kompak juga akan memberi lebih ruang kepada isu masyarakat, gaya hidup dan analisis semasa yang relevan dengan pembaca Singapura.
Walaupun formatnya berubah, BH beriltizam untuk mengekalkan kedudukannya sebagai sumber berita utama yang dipercayai oleh masyarakat Melayu/Islam di sini, kata Encik Nazry.
“
“Seluruh pasukan kami, daripada wartawan di lapangan, hingga ke meja penyuntingan dan pereka grafik, kini memberikan tumpuan bagi memastikan peralihan ke format kompak ini berjalan lancar. Wartawan kami sedang menyiapkan kandungan khas yang disesuaikan dengan format baru, manakala pasukan penyunting dan pereka grafik pula sedang memperhalusi susun atur serta reka letak yang lebih segar dan moden.”
